jokisenja header

jokisenja header


Sunday, May 29, 2011

PUTRAJAYA BAWA TUAH BUAT NORIZMAN



Beraksi di litar baru membawa tuah buat Norizman Ismail apabila muncul juara kategori CP130 pada Pusingan 4 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS yang berlangsung di Presint 3, Putrajaya, hari ini. 

Pelumba Harian Metro TEQ SCK Honda Racing itu menamatkan perlumbaan sebanyak 15 pusingan dengan catatan keseluruhan 13 minit 14.511 saat menewaskan rakan sepasukannya, Mohd Affendi Rosli di tempat kedua dan Ahmad Fazrul Sham (Pennzoil Fastrac Racing) di tempat ketiga.

Affendi yang cuba memberikan saingan terhadap Norizman menamatkan perlumbaan dengan masa keseluruhan 13:17.541s manakala Fazrul jauh ketinggalan di belakang menamatkan perlumbaan dengan catatan 13:20.795s.

Norizman yang bermula di petak pertama setelah menguasai sesi Super Pole pada sebelah pagi mempamerkan prestasi yang begitu baik apabila berada di kedudukan pertama dari mula sehingga ke garisan penamat. Jelasnya, "Selepas mencatat masa terpantas pada sesi ujian masa semalam, saya begitu yakin mampu untuk mencatat kejuaraan di sini. Sebelum memulakan perlumbaan, saya meramalkan hanya Affendi yang mampu memberikan cabaran kepada saya dan ia menjadi kenyataan apabila kami berdua menamatkan perlumbaan jauh di hadapan pelumba lain. Saya mula mengetahui Affendi berada di belakang saya pada pusingan kelima dan selepas pusingan kesepuluh kami berdua sekadar mengekalkan pemanduan konsisten untuk menuju ke garisan penamat," katanya yang masih belum menjejakkan kaki di atas podium pada saingan musim ini."

Norizman turut gembira dengan prestasinya pada minggu ini. Jelasnya, "Keadaan jentera saya begitu baik  sejak hari pertama lagi dan tidak ada banyak perubahan yang dilakukan bagi menghadapi perlumbaan akhir. Saya cukup berpuas hati dan berterima kasih kepada kerja keras pasukan saya dan juga penaja yang banyak membantu untuk mencatat kejayaan hari ini.

"Namun begitu, kemenangan ini agak lambat kerana pada musim lepas saya berjaya menjadi juara pada Pusingan 3 lagi namun kali ini hanya di Pusingan 4 barulah kejayaan berjaya diraih. Saya mahu mengulangi kemenangan pada pusingan selepas ini di Teluk Intan setelah sekadar berada di tempat ketiga pada musim lalu," kata naib juara keseluruhan CP130 musim 2010.

Jumlah 25 mata yang diperolehi Norizman meletakkan pelumba itu sebagai pendahulu keseluruhan dengan 54 mata, enam mata mengatasi Affendi di tempat kedua dengan 48 mata. Ahmad Fazli Sham (Pennzoil Fastrac Racing) yang menamatkan perlumbaan di tempat keenam berada di kedudukan ketiga dengan 46 mata manakala pendahulu sebelum ini, Abdul Muhaimin Roslan (Yamaha Maju Motor Racing) jatuh ke tangga keempat setelah gagal menamatan perlumbaan hari ini kekal dengan 44 mata.

Kejayaan Norizman dan Affendi meletakkan pasukan ini sebagai pendahulu keseluruhan dengan mengumpul 102 mata diikuti Pennzoil Fastrac Racing dengan 84 mata manakala pasukan Yamaha Maju Motor ketiga dengan 76 mata.

No comments:

Post a Comment