jokisenja header

jokisenja header


Monday, May 23, 2011

Misi kekal kedudukan

MOHD Hafiza Rofa menanam tekad untuk mengekalkan kedudukan sebagai pendahulu kategori Wira menjelang pusingan keempat Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas 2011 yang berlangsung buat pertama kali di Presint 3, Putrajaya sempena Hari Belia Negara, hujung minggu ini.
Pelumba pasukan Faito YSP Racing itu kini berkongsi kedudukan pendahulu bersama Nurahmad Fariznazreen (Motul Yamaha YY Pang Racing) dengan kutipan 50 mata. Pelumba MOS Malaysia Racing, Zulsyafiz Rosli pula ketiga dengan 44 mata.

Walaupun ini musim pertama beraksi bersama pasukan profesional dalam kategori Wira, Hafiza mencipta kejutan apabila berjaya menang dua daripada tiga pusingan sekali gus mengetepikan pelumba lebih berpengalaman seperti Mohd Adib Rosley, Mohd Khairul Adli Azhar dan Mohd Amin Mohd Azahar.
Puas dengan kemenangan pada pusingan pembuka musim di Kangar dan di Kuala Terengganu (Pusingan 3) baru-baru ini, pelumba berusia 15 tahun itu berkata: “Ini musim pertama bersama Faito YSP Racing dan apa yang kami catat setakat ini menakjubkan. Mekanik bekerja keras mencari pelarasan enjin dan pelumba juga sentiasa berusaha meningkatkan tahap kecergasan dan kemahiran tunggangan. Kami melakukan latihan dan ujian hampir setiap minggu sama ada di Subang Jaya ataupun Melaka.” “Segala usaha yang mereka curahkan memberi motivasi kepada saya untuk terus beraksi dengan baik. Kalau boleh saya tidak mahu mengecewakan mereka.” Pelumba kelahiran Terengganu itu memulakan karier melalui Cabaran Yamaha 135LC tahun lalu dan pada masa sama turut beraksi dalam kategori Wira secara persendirian.

Mengulas sasarannya pada perlumbaan minggu ini, Hafiza mensasarkan menaiki podium lagi.

“Misi saya pada minggu ini adalah untuk menjarakkan jumlah pungutan mata. Saya mahu mendahului kedudukan secara bersendirian dan untuk mencapainya, keputusan di atas podium penting. Saya begitu berharap Fariznazreen tidak akan menghabiskan perlumbaan di depan saya,” katanya.
Sementara itu, pengurus Faito YSP Racing, Lee Waye Siang sama sekali tidak menjangkakan Hafiza dapat mempamerkan prestasi begitu baik awal musim ini. “Ini musim pertama Hafiza bersama kami. Pada asalnya ini tahun untuknya menimba pengalaman namun apa yang dilakukannya setakat ini melebihi jangkaan apabila meraih kemenangan pada Pusingan 1. Kami gembira dengan keputusan dicapainya dan mengaku dia beraksi dengan begitu baik,” kata Lee yang tidak meletakkan sebarang sasaran buat Hafiza.

No comments:

Post a Comment