jokisenja header

jokisenja header


Saturday, May 28, 2011

NORIZMAN CATAT MASA TERPANTAS DI PUTRAJAYA




Hasrat Norizman Ismail untuk meraih kejuaraan pertamanya musim ini semakin hampir apabila menguasai kedua-dua sesi latihan bebas dan ujian masa pada Pusingan 4 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS yang berlangsung di Presint 3, Putrajaya bersempena dengan Hari Belia Negara, hari ini. 

Pelumba Harian Metro TEQ SCK Honda Racing itu muncul pelumba terpantas pada sesi ujian masa apabila mencatatkan 52.250 saat, 0.012s mengatasi catatan Mohd Zaqhwan Zaidi (Pachie Yuzy Honda Racing) yang mencatatkan 52.262s manakala rakan sepasukan Norizman, Mohd Affendi Rosli di kedudukan ketiga dengan catatan 52.433s.

Sebelum itu, Norizman turut menguasai sesi latihan bebas yang berlangsung pada sebelah pagi apabila muncul mencipta masa terpantas 52.994s.

Di sebalik catatan yang dilakukannya, pelumba 26 tahun itu mengakui masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki bagi menghadapai perlumbaan sebenar esok. Jelasnya, "Corak tunggangan saya masih belum cukup sempurna terutama di selekoh kedua dan ketiga serta di pusingan U. Saya perlu memperbaiki kelemahan ini supaya dapat beraksi dengan lebih pantas," kata naib juara keseluruhan CP130 musim 2010 itu.  

Tahun lalu, Norizman berjaya meraih tiga perlumbaan manakala pada saingan musim ini keputusan terbaiknya setakat ini hanya sekadar di tempat keempat ketika di Pusingan 2 (Batu Kawan), April lepas. "Pada perlumbaan sebenar hari esok, saya cukup bersedia dan mempunyai keyakinan yang tinggi untuk berada di atas podium," jelasnya.

Dalam kategori CP115, Mohd Emir Firdaus Hasan mahu menamatkan kemarau podiumnya sejak tahun 2009 dalam kategori utama apabila mencatatkan masa terpantas pada sesi ujian masa dengan catatan 53.648s yang dilakukannya pada pusingan kelima.

Pelumba M-Seki Liberty Honda Racing itu mengatasi catatan rakan sepasukannya, Sasitharen Sukumaran yang muncul sebagai pelumba kedua terpantas dengan catatan 53.752s manakala Tengku Amirul Haffiruddin (PETRONAS Syntium Moto Yamaha Raceline) muncul pelumba ketiga terpantas dengan catatan 54.026s.

Mengakui begitu inginkan kedudukan podium, Emir Firdaus menjelaskan, "Secara keseluruhannya saya begitu berpuas hati dengan catatan yang dilakukan hari ini. Sejak permulaan musim, prestasi kami terus meningkat terutama ketika di Pusingan 3 (Kuala Terengganu) apabila saya berjaya menamatkan perlumbaan di kedudukan keenam berbanding di kedudukan ke-13 pada dua pusingan sebelum itu. Saya berharap prestasi baik ini akan membantu saya pada perlumbaan sebenar esok. Saya berharap dapat menamatkan penantian saya untuk menjejakkan kaki di podium," jelas pelumba itu yang kali terakhir menjejakkan kaki di podium ketika menduduki tempat ketiga di pusingan ketujuh yang berlangsung di Pekan, Pahang pada 2009.

Sementara itu adik kepada Emir Firdaus, Mohd Emir Fareez Hasan yang beraksi dalam kategori Wira mengikut jejak langkah abangnya apabila muncul pelumba terpantas dengan catatan  54.519s yang dilakukannya pada pusingan keenam.

Pelumba Honda Promax X-Dot Racing itu mengatasi pendahulu keseluruhan ketika ini, Mohd Hafiza Rofa (Faito YSP Racing) dengan kelebihan 0.340s apabila sekadar melakukan catatan terpantas 54.859s yang dilakukan pada pusingan ketujuh manakala Zulsyafiz Rosli (MOS Malaysia Racingf) muncul pelumba ketiga terpantas dengan catatan 55.003s.

Emir, 16 tahun cukup berpuas hati dengan catatan yang dilakukannya apatah lagi ini merupakan kejayaan pertamanya muncul sebagai pelumba terpantas pada sesi ujian masa. "Keyakinan saya semakin hari semakin bertambah. Keadaan jentera juga semakin hari semakin baik. Selepas melakukan masa terpantas ketika sesi latihan bebas pada sebelah pagi, kami tidak melakukan sebarang perubahan terhadap jentera namun masih berjaya menghasilkan catatan yang lebih baik. Saya harap keadaan seperti ini akan berterusan pada hari esok dan dapat menamatkan perlumbaan di kalangan lima pelumba terbaik," kata Emir yang mula menyertai Cub Prix pada tahun 2009.

Dalam Cabaran Honda Wave Junior, Mohd Arif Abdul Rahman muncul pelumba terpantas dengan catatan 58.179s diikuti Mohd Amirul Iqbal mohd Rafid dan Mohd Rabilfirli Azmin dengan 58.580s dan 58.827s masing-masing.

Sementara itu, perlumbaan sulung Piala Yamaha EgoLC PETRONAS menyaksikan Mohd Shafiq Rasol mencatat masa terbaik dengan 1:03.131s manakala Mohd Hafiz Norsuhaimi muncul di tempat kedua dengan 1:03.734s dan Mohd Amirul Rasul di tempat ketiga dengan 1:03.885s.

Pelumba terbaik kategori Privateer pula merupakan Wazir Abdul Razak yang mencatat 56.720s diikuti Mohd Fhahmin Abdul Mutalin dengan 57.098s dan Mazlan Jusoh 57.331s.


Issued by Global PR Sdn Bhd
Copyright to Safe Aim Mutual Sdn Bhd

No comments:

Post a Comment