jokisenja header

jokisenja header


Wednesday, May 18, 2011

Cub Prix akan gegar Putrajaya

PASUKAN serta para pelumba tidak sabar menghadapi PUSINGAN 4 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS yang akan menggegar Putrajaya penghujung bulan ini.

Ia akan menjadi sebahagian daripada agenda sambutan Hari Belia Negara 2011 pada 27 hingga 29 Mei ini.
Presint 3, Putrajaya akan menjadi lokasi kejuaraan tersebut yang akan berlangsung pada 28 dan 29 Mei ini.
Saingan di Putrajaya ini dijangka akan menghadirkan lebih banyak cabaran kepada para pelumba apabila ia akan berlangsung di litar asing sepanjang 1,146.4 meter bagi semua pelumba.
Ia mempunyai tiga selekoh kiri, empat selekoh kanan, satu pusingan-U dan lapan laluan lurus dengan laluan terpanjang sejauh 347 meter.
Pengarah Promosi Safe Aim Mutual (SAM), Ron Hogg (gambar) ketika menjelaskan tentang pusingan yang akan datang berkata: "Ini merupakan kali pertama perlumbaan Cub Prix dilangsungkan di Putrajaya dan pelbagai kemungkinan boleh berlaku nanti, terutama buat pasukan-pasukan dan pelumba-pelumba yang berpusat di Kuala Lumpur atau pun Selangor.
"Tiga pusingan telah berlalu setakat ini, dan kita telah melihat tiga pemenang yang berbeza dalam kategori CP130. Mohd. Ramdan Mohd. Rosli (PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM) menguasai pusingan pembukaan di Kangar, diikuti Ahmad Fazli Sham (Pennzoil Fastrac Racing) di Batu Kawanmanakala Azlan Shah Kamaruzaman (TEQ SCK Honda Racing) muncul juara pada Pusingan 3 di Kuala Terengganu minggu lalu. Dengan keputusan tersebut, saya pasti Pusingan 4 pasti lebih menarik bukan hanya kepada peminat setia Cub Prix tetapi juga buat pasukan-pasukan bertanding."

Pada ketika ini, pelumba berusia 20 tahun, Abdul Muhaimin Roslan (Yamaha Maju Motor Racing) mendahului kedudukan keseluruhan bagi kelas CP130 dengan 44 mata diikuti pelumba berusia 16 tahun, Mohd. Zaqhwan Zaidy (Pachie Yuzy Honda Racing) dengan 37 mata dan Fazli di kedudukan ketiga ketinggalan satu mata di belakang Zaqhwan (36 mata).
Ron menambah: "Saya percaya suasana pusingan akan datang amat mencabar kerana semua 150 pelumba ini tidak pernah beraksi di Putrajaya. Apa yang boleh mereka lakukan kini adalah mengkaji dan menganalisis keadaan litar dan hanya pada hari Sabtu minggu hadapan mereka akan dapat beraksi di sana. Pelumba veteran mungkin mempunyai sedikit kelebihan kerana mereka mempunyai pengalaman namun, masih terlalu awal untuk kita membuat sebarang andaian. Bagi saya, pelumba-pelumba yang cepat menyesuaikan diri dan berjaya mendapatkan pelarasan jentera yang tepat akan mempunyai kelebihan di litar ini nanti," katanya.
Ron turut berharap agar ramai pengunjung akan hadir untuk memeriahkan suasana perlumbaan kelak. "Ini merupakan kali pertama Cub Prix berlangsung berhampiran dengan bandar-bandar besar di Lembah Klang. Sebelum ini, ia hanya berlangsung di Litar Sepang dan tidak ramai dapat hadir memandangkan kedudukannya yang agak jauh. Kali ini ia diadakan berdekatan dengan bandar-bandar utama dan dilangsungkan bersempena dengan sambutan Hari Belia Negara. Kami berharap lebih ramai peminat dapat hadir menyaksikan perlumbaan jentera dua roda terulung dalam negara ini seperti mana kejayaannya di lokasi-lokasi Cub Prix yang lain.
"Selain daripada menyaksikan perlumbaan, peminat-peminat boleh berkunjung ke bahagian promosi yang bermula pada hari Sabtu (28 Mei). Pelbagai aktiviti menarik disediakan untuk pengunjung-pengunjung. Antaranya pandu uji jentera, pameran motosikal, sesi fotografi, sesi karaoke dan pelbagai permainan yang menarik.

1 comment:

  1. ak kene wat assigment bout cub prix..but then haram ak tau pasal benda ni..!!!!!

    ReplyDelete