Thursday, May 5, 2011
TIADA REHAT BUAT PELUMBA CUB PRIX
Pusingan pembuka tirai Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS (ARRC) baru sahaja berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang minggu lalu namun para-pelumba tidak boleh berehat panjang memandangkan Pusingan 3 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS akan berlangsung di Stadium Sultan Mizan Gong Badak, Kuala Terengganu kini menghampiri pada 13 dan 14 Mei ini.
Mohd Rozaliman Zakaria (ZAR Racing Motorsports), Shahril Izzuwan Mohd Noor (PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM) dan Mohd Amirul Musa (Pachie Yuzy Honda Racing) pastinya lebih bermotivasi kali ini setelah mencipta kejayaan di ARRC menguasai pentas podium kategori Underbone 115cc manakala pelumba-pelumba yang beraksi baik dalam perlumbaan sokongan (Cabaran Bawah 17 dan Pengeluar Tempatan 135cc) turut berada pada tahap serupa.
Pengarah Promosi Safe Aim Mutual Sdn Bhd (SAM), Ron Hogg berkata keputusan yang diperolehi pelumba dan pasukan tempatan pasti akan menambahkan keyakinan mereka untuk menghadapi pusingan akan datang di Kuala Terengganu.
"Kejuaraan masih di peringkat awal lagi dan Pusingan 3 kali ini akan bergerak ke pantai timur tanah air. Pelumba-pelumba yang bakal beraksi dalam kategori CP130, CP115 dan Wira sudah pasti mahu menebus kegagalan mereka dan mengutip seberapa banyak mata yang mampu.
"Bagi mereka yang mengambil bahagian di PETRONAS ARRC dan mencapai keputusan yang baik pasti mempunyai sedikit kelebihan memandangkan kejayaan yang dicapai itu akan menyumbang kepada peningkatan tahap keyakinan diri dan kekuatan mental mereka," kata Ron.
Ron turut menambah, "Keyakinan diri di kalangan para pelumba merupakan antara faktor penting kepada kejayaan mereka. Apabila pelumba berada pada keadaan terbaik, mereka mampu untuk mencapai keputusan yang diinginkan dan tidak ada apa yang mampu menyekat prestasi mereka.
"Saya berharap semua pelumba yang mengambil bahagian di ARRC dapat menimba banyak pengalaman terutama dari aspek-aspek strategi dan teknik tunggangan di mana mereka dapat mempraktikkan apa yang telah mereka pelajari ke dalam Cub Prix," jelas Ron.
Pada ketika ini, Ahmad Fazli Sham (Pennzoil Fastrac Racing) sedang mendahului kedudukan keseluruhan CP130 dengan mengutip 33 mata, diikuti Abdul Muhaimin Roslan (Yamaha Maju Motor Racing) dengan 31 mata dan Mohd Zaqhwan Zaidi (Pachie Yuzy Honda Racing)ketiga, 26 mata.
Dalam kategori CP115, Zaidy Mohd Zaifaizal (Motul Yamaha YY Pang) sedang mendahului kedudkan keseluruhan dengan mengumpul 41 mata diikuti Shahril kedua (35 mata) dan ketiga adalah rakan pasukan Zaidy, Adli yang mengumpul 31 nata.
Bagi kategori Wira Bawah-17, Zulsyafiz Rosli (MOS Malaysia Racing) mendahului pelumba-pelumba lain dengan 41 mata diikuti Fariznazreen (Motul Yamaha YY Pang) dan Mohd Izzat Zaidi Mohd Salehan di kedudukan kedua dan ketiga dengan 40 dan 26 mata masing-masing.
Issued by Global PR Sdn Bhd
Copyright to Safe Aim Mutual Sdn Bhd
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment