Para penunggang mengambil selekoh semasa pusingan ke-4 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2011 yang berlangsung di Presint 3, Putrajaya pada 29 Mei 2011.
KUALA LUMPUR - Rata-rata peserta memberikan reaksi positif apabila turun buat kali pertama di litar Presint 3, Putrajaya pada pusingan ke-4 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2011 hujung minggu lalu.
Diadakan sempena Hari Belia Negara, pasukan dan penunggang yang turun berentap di litar 1,146 meter menampilkan aksi bertenaga dan penuh dengan aksi menarik.
Pasangan Harian Metro TEQ SCK Honda Racing, Norizman Ismail dan Mohd Affendi Rosli menamatkan perlumbaan dengan keputusan 1-2 bagi kategori CP130.
Manakala, Mohd Emir Firdaus Hasan (M-Seki Liberty Honda Racing) muncul juara dalam CP115 dan Mohd Hafiza Rofa (Faito YSP Racing) pula menjuarai kategori Wira.
Pusingan ke-4 ini turut menyaksikan penyertaan terbanyak dengan 173 pelumba di dalam kategori yang dipertandingkan iaitu CP130, CP115, Wira, Honda Wave Junior Challenge, Yamaha EgoLC PETRONAS Cup dan kategori persendirian.
Turut serta hadir ialah Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak yang melawat ke lokasi perlumbaan berlangsung.
Pengarah Pemasaran afe Aim Mutual Sdn Bhd (SAM), Ron Hogg berkata "Pusingan ini sangat istimewa kerana para penunggang perlu menyesuaikan diri dengan elemen kelajuan dan aspek teknikal untuk meraih kemenangan.
"Ia satu petunjuk baik melihat penunggang lain pula yang berada di atas podium, sekaligus membuktikan musim ini pasti akan lebih sengit."
Saingan di dalam CP130 dijangka akan lebih penuh debaran musim ini memandangkan tiada pelumba berjaya muncul juara dua kali berturut-turut dan pusingan seterusnya di Teluk Intan akan menjanjikan aksi lebih hebat dari para peserta.
No comments:
Post a Comment