jokisenja header

jokisenja header


Friday, April 15, 2011

Zaqhwan optimis




MOHD Zaqhwan Zaidi mahu terus mencuri perhatian ramai dengan mempamerkan aksi cemerlang pada Pusingan 2 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas yang berlangsung di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang bermula esok dan Ahad.
Pelumba berusia 16 tahun memulakan karier perlumbaan Cub Prix tahun lalu menampilkan aksi cemerlang apabila menenggelamkan pelumba lebih berpengalaman dalam kategori CP130 pada pusingan pembukaan Kejuaraan di Kangar, bulan lalu.

Zaqhwan yang mewakili Pachie Yuzy Honda Racing menamatkan perlumbaan di tempat ketiga di belakang juara Mohd Ramdan Mohd Rosli dan pemenang tempat kedua, Mohd Zamri Baba, kedua-duanya daripada pasukan Petronas Syntium Moto Yamaha AHM.
Selepas menjejakkan kaki di podium buat pertama kali, Zaqhwan bertambah yakin mampu mengharungi saingan musim 2011 dengan lebih baik seperti mana dilakukannya pada pusingan sebelum ini.

Zaqhwan berkata dia begitu gembira apabila menamatkan perlumbaan dengan menaiki podium dan percaya seluruh anggota pasukan itu sudah bekerja keras untuk menyiapkan jentera musim ini. “Kemenangan itu juga menjadikan kami lebih bersemangat menghadapi perlumbaan berikutnya. Ini merupakan permulaan yang sangat positif dan saya mahu kekalkan momentum sebegini pada perlumbaan akan datang.

“Kini dengan bertambahnya keyakinan diri, saya berani untuk meletakkan sasaran menaiki podium bagi perlumbaan di Batu Kawan. Melalui pemerhatian dan analisis, litar ini yang merangkumi lima selekoh kiri, dua selekoh kanan dan dua selekoh berbentuk ‘S’, tidak begitu teknikal bagi saya dan saya yakin dapat menghasilkan keputusan yang positif sekali lagi. Mekanik kami sudah bekerja keras untuk menyiapkan jentera mengikut kesesuaian litar Batu Kawan dan saya cuba agar tidak mengecewakan usaha mereka itu,” katanya yang mempunyai pengalaman beraksi sebanyak enam pusingan beraksi dalam kategori CP115 tahun lalu sebelum beralih arah menyertai CP130 pada baki empat pusingan terakhir.

Ditanya pelumba manakah yang mampu menghalang hasratnya di Batu Kawan nanti, Zaqhwan menyifatkan bekas juara Batu Kawan seperti Norizman Ismail, Ramdan dan Ahmad Fazli Sham merupakan pesaing utamanya.

Selain itu, dia juga tidak mengetepikan cabaran pelumba berpengalaman seperti Ahmad Fuad Baharudin dan juga Zamri.

Sementara itu, pengurus pasukan, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini turut berbangga dengan pencapaian yang ditunjukkan Zaqhwan dan seorang lagi pelumbanya, Mohd Amirul Musa. “Saya akui pencapaian Zaqhwan sebenarnya di luar jangkaan kami memandangkan dia hanya berada di kedudukan keenam sewaktu sesi kelayakan. Kami sekadar meletakkan sasaran sekurang-kurangnya dapat menamatkan perlumbaan di kalangan lima pelumba terbaik saja. “Selain Zaqhwan, Amirul turut beraksi cemerlang dengan menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh. Kombinasi kedua-dua pelumba ini membolehkan pasukan kami menghuni tangga kedua di kalangan pasukan bertanding dengan mengumpul 25 mata setakat ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment