Saturday, April 16, 2011
ZAMRI CATAT CATAT REKOD MASA TERPANTAS DI BATU KAWAN
Mohd Zamri Baba bermula dengan cemerlang apabila mencipta masa terpantas pada Pusingan 2 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2011 di Stadium batu Kawan, Pulau Pinang, hari ini.
Pelumba PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM itu mempamerkan aksi terbaik dengan mencatatkan 54.418s untuk mengatasi catatan rekod sepusingan terpantas 55.148s milik Azlan Shah Kamaruzaman (Harian Metro TEQ SCK Honda Racing) yang dilakukan pada tahun lepas. Abdul Muhaimin Roslan (Yamaha Maju Motor Racing) di kedudukan kedua dengan catatan masa 54.856s diikuti Ahmad Fazli Sham (Pennzoil Fastrac Racing) 54.926s.
Walaupun yakin dapat beraksi dengan baik, Zamri sebenarnya tidak menyangka dapat mencipta masa terpantas berikutan keadaan cuaca di sebelah petang kurang baik di tambah dengan masalah kegagalan untuk mendapatkan pelarasan yang terbaik untuk jentera Yamahanya.
"Pada asalnya kami mempunyai dua pelarasan berbeza dan selepas menguji kedua-duanya, ,kami mengambil keputusan untuk menggunakan setting pada latihan bebas kedua. Walau bagaimanapun, tiba-tiba cuaca berubah dan kami sepasukan berpendapat lebih wajar jikalau menggunakan pelarasan sesi latihan bebas pertama tadi. Agak mengejutkan apabila pelarasan tersebut membolehkan saya mencatat masa terpantas hari ini sekaligus memecah rekod masa terpantas sepusingan Batu Kawan," ujar Zamri.
Pelumba berusia 28 tahun itu turut menambah, "Syukur kami masih ada peluang untuk betul-betul menguji dan mengenal-pasti pelarasan mana lebih sesuai digunakan."
Pada masa yang sama, Zamri juga berharap dapat mengakhiri kemarau kemenangannya, "Musim lalu saya menamatkan empat perlumbaan di tempat kedua dan di Pusingan 1 bulan lalu perkara sama turut terjadi. Saya betul-betul berharap boleh muncul juara di sini kerana sudah terlalu lama saya tidak merasai kegembiraan kemenangan.
Sementara itu pelumba Sarawak, Ahmad Abdul Kadir mengejutkan pesaing-pesaingnya apabila muncul sebagai pelumba terpantas CP115. Pelumba APIDO Yamaha Boon Kui Racing itu mencatatkan 56.201s pada pusingan ke-14, 0.061s di hadapan pemenang Pusingan 1 di Kangar bulan lepas, Shahril Izzuwan Mohd Noor (PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM) manakala pelumba kelahiran Pulau Pinang, Mohd Rozaiman Mohd Said (Motul Yamaha YY Pang Racing) ketiga dengan catatan 56.346s.
Di sebalik kejayaan mencipta masa terpantas, Ahmad bagaimanapun masih kurang berpuas hati dengan catatan yang dilakukannya. Beliau berpendapat, jentera Yamahanya masih mempunyai beberapa kekurangan dan pelumba itu tidak mahu terlalu yakin bagi menghadapi ujian saringan dan perlumbaan akhir esok.
"Saya cukup gembira kerana mencipta masa terpantas namun catatan ini akan lebih baik jika pelarasan jentera berada dalam keadaan terbaik. Spoket yang digunakan tidak begitu sesuai dengan keadaan litar ini selain turut menghadapi masalah dengan karburetor jentera Yamaha saya. Mekanik pasukan akan mencari jalan terbaik bagi menyelesaikan masalah ini," katanya.
Ahmad menambah, "Tidak dinafikan saya gembira dengan permulaan yang baik ini namun tidak mahu terlalu gembira memandangkan ini hanya sesi ujian masa. Hari esok masih ada ujian saringan dan perlumbaan akhir, jadi saya tidak mahu terlalu yakin terutama untuk bersaing dengan ramai pelumba-pelumba yang hebat."
Dalam kategori Wira, pelumba MOS Malaysia Racing, Mohd Zulsyafiz Rosli mencatat masa terpantas di kalangan 46 pelumba yang beraksi dalam kategori ini. Zulsyafiz mencatatkan 57.898s diikuti juara Wira 2010, Mohd Adib Rosley (Motul Yamaha YY Pang Racing) dengan 57.998s dan Mohd Solehin Mohd Sukor (Honda Promax X-Dot Racing ketiga dengan 58.047s.
Sama seperti Ahmad, pelumba berusia 16 tahun itu juga tidak berpuas hati dengan pencapaiannya. Pelumba itu cuba untuk mencipta masa yang lebih pantas namun kemalangan di selekoh 4 pada pusingan keenam menghalangnya.
"Walaupun muncul pelumba terpantas, saya tidak begitu gembira dengan catatan yang dilakukan. Secara peribadi, ia masih kurang pantas memandangkan saya tidak mengatasi catatan terpantas yang dilakukan tahun lalu," katanya.
Tambah Zulsyafiz, "Selepas melakukan masa terbaik, saya berusaha untuk mencipta masa yang lebih pantas namun kemalangan di selekoh 4 menjadi penghalang kepada saya selepas itu. Saya cuba bangkit dan meneruskan perlumbaan tetapi handle jentera saya mengalami kerosakan dan mustahil untuk saya melakukannya."
Menyentuh mengenai sasaran di pusingan kelayakan dan perlumbaan esok, Zulsyafiz menjelaskan, "Kejayaan hari ini menjadikan saya bertambah yakin untuk menghadapi perlumbaan esok. Saya harap dapat memenangi perlumbaan minggu ini. Sejak mula menyertai perlumbaan pada 2008, saya masih gagal memenangi sebarang Kejuaraan."
Dalam Cabaran Honda Junior, Mohd Azim Mohd Rosli muncul pelumba terpantas dengan catatan 1:01.922s yang dilakukannya pada pusingan kelima diikuti Mohd Rabilfirli Azmin yang mencatatkan 1:02.466s dan Mohd Amirul Iqbal Rafi, 1:02.515s.
Sementara itu, Mohd Fhahmin Abdul Mutalib mencatat masa 1:00.187s untuk muncul sebagai pelumba terpantas kategori Persendirian diikuti Wazir Abdul Razak dengan 1:00.575s dan Khairil Amri Mohd ketiga, 1:00.647s.
Issued by Global PR Sdn Bhd
Copyright to Safe Aim Mutual Sdn Bhd
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment