jokisenja header

jokisenja header


Sunday, April 24, 2011

Sinar baru karier Zaqhwan, Amirul


AMIRUL (kiri) dan Zaqhwan akan membuat penampilan sulung pada ARRC hujung minggu depan di Litar Sepang Utara.

KARIER Mohd. Zaqhwan Zaidi dan Mohd. Amirul Musa dalam sukan pemotoran terus bersinar.
Dua pelumba ini boleh dianggap bertuah apabila diberi peluang mengembangkan karier perlumbaan mereka ke tahap yang lebih tinggi.
Zaqhwan dan Amirul akan beraksi sepanjang musim pada Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS (ARRC) dalam kategori Underbone 115cc.
Penampilan pertama mereka dalam kejuaraan berprestij itu ialah di pusingan pembuka tirai yang akan berlangsung di Litar Sepang Utara hujung minggu ini.
Mereka akan menggalas cabaran pasukan Pachie Yuzy Honda Racing dengan harapan dapat melakar kejutan meskipun menyedari ia tidak semudah yang dijangka.
Yang pasti, mereka begitu teruja dengan peluang yang diberikan itu namun tetap berasa cemas untuk membuat penampilan sulung pada kejuaraan yang mempunyai enam pusingan itu.
Zaqhwan, 16, menjelaskan: "Saya begitu gembira kerana diberi peluang untuk bersaing dengan pelumba-pelumba yang lebih hebat terutama pelumba dari Indonesia yang kita tahu memang handal. Saya akui agak gementar tetapi saya tidak akan menyerah mudah."
"Walau bagaimanapun, pusingan pembukaan akan berlangsung di Sepang dan ini dapat memberikan kelebihan kepada kami kerana sudah biasa dengan keadaan litar ini. Dengan kelebihan yang ada, kami harap dapat menghadapi segala cabaran yang bakal ditempuhi kelak."
Pada kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS, Zaqhwan beraksi dalam kategori CP130.
Perasaan yang sama turut dikongsi Amirul.
"Tahun ini merupakan kali pertama kami beraksi dalam ARRC, jadi kami perlu menggunakan peluang ini untuk menimba pengalaman sebanyak mungkin. Kami perlu memahami keadaan litar serta bekerja keras untuk menyesuaikan diri dengan pelbagai keadaan perlumbaan. Saingan dalam ARRC mungkin berbeza kerana kami perlu berhadapan dengan pelumba Asia yang lain," katanya.
Bagi pengurus pasukan, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini, dia tidak mahu pelumba-pelumbanya berasa tertekan meskipun masih baru dalam saingan ARRC.
"Saya tidak meletakkan sebarang kejayaan. Apa yang lebih penting ialah mereka mampu menamatkan perlumbaan.
"Memandangkan ini merupakan musim pertama mereka beraksi dalam ARRC, objektif utama kami bukanlah untuk mengejar kejayaan sebaliknya mahu membentuk Zaqhwan dan Amirul menjadi pelumba yang lebih matang dan profesional," kata Shahrol Yuzy."
Menurut Shahrol Yuzy, saingan dalam Cub Prix dan ARRC begitu berbeza.
"ARRC lebih selesa berbanding Cub Prix cuma tempoh masa yang lebih lama sewaktu sesi latihan dan perlumbaan sebenar memberikan cabaran yang berbeza kepada semua pelumba."
Menurut Shahrol Yuzy, pada kejuaraan peringkat Asia seperti ini, pelumba-pelumba perlu bekerja lebih keras dan tidak boleh bergantung sepenuhnya terhadap keupayaan jentera.
"Stamina, kematangan dan kemahiran untuk membuat analisis juga memainkan peranan yang begitu penting."

No comments:

Post a Comment