jokisenja header

jokisenja header


Thursday, April 14, 2011

Pelumba tempatan sedia gegar Batu Kawan


 

Pengurus pasukan YY Pang, Pak Yong You memberi semangat kepada pelumba taruhannya, Zaidy Mohd Zaifaizal. (gambar arkib)

KUALA LUMPUR - Pelumba Motul Yamaha YY Pang, Zaidy Mohd Zaifaizal dan Mohd Rozaiman Mohd Said, tidak sabar untuk beraksi di kampung halaman apabila Pusingan 2 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS akan berlangsung di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang pada 16 dan 17 April ini.

Mempunyai misi berbeza, Zaidy yang mencatat keputusan baik apabila menduduki tempat ketiga di Kangar bulan lepas pastinya mahu sekali lagi menjejakkan kaki di podium manakala Rozaiman mahu memperbaiki aksi buruknya apabila sekadar menamatkan perlumbaan di tempat kelapan.

Kedua-dua pelumba CP115 itu percaya beraksi di hadapan penyokong sendiri pada perlumbaan minggu ini memberikan satu kelebihan buat mereka untuk merampas kedudukan podium, selain turut mempunyai rekod cemerlang di litar sepanjang 1.263 kilometer itu musim lalu di mana Rozaiman menamatkan perlumbaan di tempat ketiga dan Zaidy keempat.

“Sasaran saya untuk pusingan akan datang adalah untuk muncul juara. Saya berkeyakinan dapat melakukannya kerana Stadium Batu Kawan merupakan gelanggang saya dan seringkali menjalani latihan di sini. Selain daripada itu, seluruh keluarga saya dan juga rakan-rakan pasti akan hadir untuk memberikan sokongan,” kata Zaidy yang pernah muncul juara keseluruhan kategori Wira tahun 2008.

Tambahnya, “ Permukaan litar di sini juga turut diperbaharui. Ini akan menjadikan litar ini lebih selesa dan perlumbaan pasti lebih menarik. Saya tidak sabar untuk memulakan perlumbaan minggu ini.”

Sementara itu, Rozaiman berkata, “Motul Yamaha YY Pang merupakan antara pasukan terkuat dalam kategori ini dengan membariskan empat pelumba kesemuanya. Saya harap dengan strategi berpasukan yang kuat akan dapat membantu saya menaiki podium untuk menebus kesilapan bulan lepas.

“Di sebalik kelebihan sebagai pelumba tuan rumah, perlumbaan ini sudah tentu tidak semudah yang disangka memandangkan Shahril juga berasal dari Pulau Pinang dan turut biasa dengan keadaan litar ini. Tambahan pula, beberapa pelumba lain juga perlu di beri perhatian seperti pelumba Yamaha CKJ Sukimi, Mohd Syawalludin Mohd Zaki dan Mohd Haiekal Akmal Zakaria yang mendapat tempat keempat dan kelima pada pusingan lepas,” kata pelumba berusia 22 tahun itu.

Beberapa pelumba lain yang berasal dari Pulau Pinang turut perlu diberi perhatian seperti  Elfy Rizal Zainol, Mohd Rafiuddin Rosle dan Mohd Hafizul Hamid dari pasukan AAP Mazoil Faito Honda Racing serta Mohd Amirul Azizi yang membawa cabaran Pachie Yuzy Honda Racing.

No comments:

Post a Comment