BUAT pertama kalinya dalam sejarah Kejuaraan Motosikal Asia Petronas (ARRC), empat pengeluar terbesar motosikal iaitu Honda, Kawasaki, Suzuki dan Yamaha akan bersaing dalam kategori SuperSports 600cc pada pusingan pembuka tirai kejuaraan tersebut yang bakal berlangsung di Litar Sepang Utara) penghujung minggu ini.
Penglibatan jentera Honda, Kawasaki, Suzuki dan Yamaha dalam kategori Underbone 115cc sudah dapat disaksikan sejak tahun lalu yang mana pelumba Indonesia, Hadi Wijaya muncul juara.
Saingan musim ini dijangka lebih menarik apabila lapan negara iaitu Malaysia, Indonesia, Jepun, Thailand, Australia, India, Filipina dan China akan bersaing dalam kategori SuperSports 600cc, manakala 29 lagi pelumba dari Malaysia dan Thailand akan bersaing merebut gelaran juara bagi Underbone 115cc.
Pengarah Promosi Two Wheels Motor Racing (TWMR) Sdn. Bhd., Ron Hogg berkata: "Sukan pemotoran di Asia semakin berkembang dan pihak pengeluar motosikal kini semakin sedar tentang betapa pentingnya penglibatan mereka.
"Kami kagum dan gembira melihat semua pengeluar motosikal utama ini tampil menyahut cabaran untuk beraksi dalam kategori SuperSports 600cc dan Underbone 115cc.
"Dengan sokongan mereka, ARRC Petronas akan terus berkembang dan bakal menjadi perlumbaan paling unggul di rantau Asia Pasifik.
"Pertambahan jumlah pasukan yang menyertai kejuaraan pada tahun ini menjadikannya berada di landasan tepat untuk merealisasikan impian tersebut."
Ron menjelaskan, dengan barisan pelumba handalan, kini peminat-peminat boleh menantikan saingan yang lebih sengit yang mana kejuaraan ini akan mendapat liputan meluas media elektronik di beberapa negara lain.
"Kejuaraan musim ini akan dapat disaksikan oleh ramai penonton apabila ia turut disiarkan secara langsung dan siaran tertunda di beberapa negara lain.
"Setakat ini, Indonesia akan mengadakan siaran langsung melibatkan semua pusingan dan perbincangan juga sedang dilakukan dengan Thailand dan beberapa negara lain.
"Dari segi perlumbaan, saingan musim 2011 ini dijangka semakin sengit. Kebanyakan pelumba mempunyai reputasi yang tinggi dan kami percaya 10 pelumba terbaik kategori SuperSports 600cc boleh menyaingi pelumba-pelumba dalam kelas Moto2 pada perlumbaan MotoGP. Begitu juga dengan para pelumba Underbone 115cc.
"Ketika ini ramai pelumba muda yang beraksi dan sebenarnya mereka sudah bersedia untuk melangkah ke perlumbaan yang lebih kompetitif.
"Pada ketika ini, saya yakin kejuaraan ini menjadi landasan terbaik untuk melahirkan pelumba bertaraf dunia."
Hadir pada majlis pelancaran semalam adalah Pengurus Besar Petronas Motorsports, Anita Azrina Abdul Aziz.
Beliau memuji komitmen para pelumba serta pasukan-pasukan bersaing yang berusaha membawa kejuaraan ini ke peringkat lebih tinggi.
"Tahun 2010 merupakan tahun yang bermakna kepada kami apabila menyaksikan kejuaraan ini semakin melebarkan sayapnya dengan merentasi enam negara melibatkan enam pusingan perlumbaan bermula di Jepun diikuti India dan di Qatar.
"Ini jelas menunjukkan kejuaraan ini menepati statusnya sebagai yang terbaik di rantau ini. Berdasarkan kepada pencapaian itu, sudah pasti lebih banyak perkara yang kami nantikan untuk musim ini," katanya.
No comments:
Post a Comment