ZAQHWAN (depan) tidak berasa gerun bersaing dengan pelumba lebih berpengalaman malah mahu terus mencipta kejutan pada pusingan kedua di Batu Kawan hujung minggu ini.
MOHD. Zaqhwan Zaidi mahu terus mencuri perhatian dengan tekad untuk mempamerkan aksi cemerlang pada Pusingan 2 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS yang akan berlangsung di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang pada 16 dan 17 April ini.
Pelumba berusia 16 tahun itu yang memulakan karier Cub Prix tahun lepas menampilkan aksi cemerlang apabila melakukan kejutan ke atas pelumba-pelumba lebih berpengalaman dalam kategori CP130 pada pusingan pembukaan di Kangar, bulan lepas.Zaqhwan yang mewakili pasukan Pachie Yuzy Honda Racing menamatkan perlumbaan di tempat ketiga di belakang juara perlumbaan, Mohd. Ramdan Mohd. Rosli dan pemenang tempat kedua, Mohd. Zamri Baba - kedua-duanya dari pasukan PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM.
Selepas menjejakkan kaki di podium buat pertama kali, Zaqhwan bertambah yakin untuk mengharungi saingan musim 2011 dengan lebih baik seperti mana yang dilakukannya pada pusingan sebelum ini.
Zaqhwan berkata: “Sungguh menakjubkan dan begitu gembira apabila menamatkan perlumbaan dengan menaiki podium. Saya percaya seluruh ahli pasukan ini telah bekerja keras untuk menyiapkan jentera musim ini. Kemenangan itu juga menjadikan mereka tambah bersemangat menghadapi perlumbaan berikutnya. Ini merupakan permulaan yang sangat positif kepada kami dan saya mahu kekalkan momentum sebegini pada perlumbaan akan datang.
“Kini dengan bertambahnya keyakinan diri, saya berani untuk meletakkan sasaran untuk menaiki podium bagi perlumbaan di Batu Kawan. Melalui pemerhatian dan analisis, litar ini yang merangkumi lima selekoh kiri, dua selekoh kanan dan dua selekoh berbentuk ‘S’, tidak begitu teknikal bagi saya dan saya yakin dapat menghasilkan keputusan yang positif sekali lagi. Mekanik-mekanik telah bekerja keras untuk menyiapkan jentera mengikut kesesuaian litar Batu Kawan dan saya akan cuba agar tidak mengecewakan usaha mereka itu,” tambah Zaqhwan yang mempunyai pengalaman beraksi sebanyak enam pusingan dalam kategori CP115 tahun lepas sebelum beralih arah menyertai CP130 pada baki empat pusingan terakhir.
Ditanya pelumba manakah yang mampu menghalang hasratnya di Batu Kawan nanti, Zaqhwan berkata, “Bekas-bekas juara Batu Kawan seperti Norizman Ismail, Ramdan dan Ahmad Fazli Sham merupakan pesaing utama saya. Selain itu, saya tidak boleh mengetepikan cabaran pelumba-pelumba berpengalaman seperti Ahmad Fuad Baharudin dan juga Zamri. Apa pun yang akan berlaku nanti, saya harap memberikan saingan sengit sehingga ke garisan penamat.”
Sementara itu, pengurus pasukan, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini turut berbangga dengan pencapaian yang ditunjukkan oleh Zaqhwan dan seorang lagi pelumbanya, Mohd. Amirul Musa. “Saya akui pencapaian Zaqhwan sebenarnya di luar jangkaan kami memandangkan dia hanya berada di kedudukan keenam sewaktu sesi kelayakan. Kami sekadar meletakkan sasaran sekurang-kurangnya dapat menamatkan perlumbaan di kalangan lima pelumba terbaik sahaja.
“Selain Zaqhwan, Amirul turut beraksi cemerlang dengan menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh. Kombinasi kedua-dua pelumba ini membolehkan pasukan kami menghuni tangga kedua di kalangan pasukan bertanding dengan mengumpul 25 mata setakat ini,” kata Yuzy.
No comments:
Post a Comment