jokisenja header

jokisenja header


Wednesday, April 27, 2011

Raceline guna cara berbeza


KETIKA kebanyakan pasukan menggunakan tenaga dan kepakaran tempatan, pendekatan berbeza digunakan Petronas Syntium Moto Raceline bagi menghadapi saingan Kejuaraan Motosikal Asia Petronas (ARRC) yang akan membuka tirainya di Litar Sepang Antarabangsa (Litar Utara) pada 29 April hingga 1 Mei ini.
Pengurus pasukan, Barry Leong (gambar kecil) akan mempertaruhkan gandingan dua pelumba junior, Hafizh Syahrin Abdullah dan pelumba Australia, Michael Jones untuk membawa cabaran di dalam kategori SuperSports 600cc.

Gandingan kedua-dua pelumba berusia 17 tahun ini adalah hasil kerjasama program pertukaran di mana kedua-duanya akan bergandingan sebagai satu pasukan dan saling berkongsi pengetahuan serta pengalaman mereka untuk mencapai keputusan lebih cemerlang.
Melalui program kerjasama ini Hafizh berpeluang menerima pendedahan di peringkat antarabangsa dengan menyertai Kejuaraan Australian Formula Xtreme dan sebaliknya Jones pula berpeluang menimba pengalaman di pentas Petronas ARRC.

“Memandangkan Hafizh berbakat besar dan usianya masih muda, tujuan program penukaran ini bertujuan meningkatkan kemahirannya terhadap jentera 600cc. Masih banyak aspek yang perlu dipelajari, tapi untuk menghantar dia beraksi bersendirian di luar negara memerlukan kos yang amat tinggi. Oleh itu, kami memilih untuk bekerjasama dengan rakan kami di Australia kerana mereka turut mempunyai objektif yang sama untuk Mike.

“Melalui jalinan kerjasama ini, kedua-dua pelumba dapat berkongsi pengetahuan yang dapat membantu perkembangan karier masing-masing. Saya serta mekanik kami juga turut berpeluang menerima pendedahan sama,” katanya.
“Kerjasama ini tidak hanya memberi peluang kepada pelumba dan kru menimba lebih banyak pengetahuan, malah ia turut dapat membantu pasukan untuk menguruskan kewangan dengan lebih baik.

“Kami akan menanggung kos perlumbaan secara bersama. Jika di ARRC, pihak kami akan menanggung kos seperti logistik, jentera, dan alat ganti, namun apabila kami ke Australia untuk menyertai Kejuaraan FX, mereka pula akan menanggung perbelanjaan berkenaan.” Menilai kemampuan tahun kedua Hafizh menunggang jentera Yamaha YZF-R6, Barry berkata, sukar buatnya untuk membuat penilaian kerana perlumbaan pertama hanya akan mula minggu ini, namun beliau percaya anak didiknya itu mampu menempatkan diri di kalangan enam pelumba terbaik.

“Sasaran ini adalah realistik kerana bilangan pelumba berpengalaman dan baru adalah seimbang. Bagi Mike pula, walaupun mempunyai banyak pengalaman dalam pertandingan yang lebih kompetitif, namun ini aksi pertamanya di ARRC, jadi kami perlu tunggu dan lihat apa yang akan berlaku hujung minggu ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment