PELUMBA satu pengeluar (one-make) Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas musim lalu bersiap-sedia untuk memberikan aksi terbaik pada penampilan kedua mereka dalam kategori Wira musim ini di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang, hujung minggu ini.
Penunggang remaja itu, Mohd Hafiza Rofa (Faito YSP Racing), Nurahmad Fariznazreen (Motul Yamaha YY Pang), Mohd Izzat Zaidi Salehan dan Mohd Syafiq Abdul Samad adalah lepasan Cabaran Yamaha 135LC 2010 manakala Mohd Hafizuddin Azahar (Ride It Right Racing Team) berasal daripada Cabaran Honda icon 2010.
Walaupun kurang pengalaman, musim lalu pelumba itu cukup berani membuat penampilan dalam kategori Wira di samping berlumba dalam kelas satu pengeluar. Bagi mereka, pembabitan dalam kedua-dua kelas itu membantu mereka menimba pengalaman selain membuat persiapan lebih bagi menghadapi musim ini.
Usaha mereka jelas membuahkan hasil apabila Hafiza mencatat kemenangan Wira pertama pada perlumbaan pembuka tirai musim 2011 di Kangar, Perlis bulan lalu. Fariznazreen juga cemerlang apabila berjaya menduduki tempat kedua manakala Zulsyafiz Rosli muncul tempat ketiga. Izzat Zaidi dan Hafizzuddin tidak kurang hebatnya apabila menamatkan saingan masing-masing di tempat keenam dan ketujuh.
Puas dengan dengan prestasi masing-masing, penunggang itu berharap lebih cemerlang pada pusingan 2 di Litar Stadium Batu Kawan.
Hafiza, 15, berkata: “Pada 2010 saya bersaing dalam dua kategori iaitu Cabaran Yamaha 135LC dan Wira. Ia bukan tugas mudah memandangkan ia tahun pertama saya dalam Cub Prix tapi rela melakukannya kerana membantu saya memenangi pusingan pertama di Kangar.” Hafiza yang menduduki tangga kedua keseluruhan Cabaran Yamaha 135LC 2010 berkata, aksi kelas Wira tahun lalu membantunya musim ini.
“Musim lalu, pembabitan dalam kelas Wira untuk menimba pengalaman dan melakukan persiapan untuk musim ini. Walaupun penat bersaing dalam dua kategori, saya tidak tertekan berlumba kerana keputusan baik bukan objektif utama berbanding perlumbaan satu pengeluar. Sebaliknya, misi saya adalah memahami jentera dan meningkatkan skil berlumba apabila bersaing dengan pelumba lebih berpengalaman.
“Saya harap rentak ini dikekalkan bagi Pusingan 2 kerana ingin membuktikan kemenangan Pusingan 1 bukan berdasarkan nasib baik semata-mata,” jelas Hafiza.
Sementara itu, Fariznazreen turut bersetuju dengan Hafiza dan berkata: “Perlumbaan satu pengeluar umpama pengenalan kepada Cub Prix di mana jentera diselaras secara adil dan semua peserta tidak mempunyai pengalaman berlumba. “Ini langkah bagus untuk membina karier tapi tidak memadai kerana standard saingan semakin meningkat.
“Walaupun gagal mencapai keputusan baik musim lalu, ia membantu saya memahami cabaran bakal ditempuhi musim ini. Saya bertuah mempunyai rakan sepasukan, Mohd Adib Rosley yang hebat untuk membantu saya.”
No comments:
Post a Comment