jokisenja header

jokisenja header


Sunday, April 10, 2011

Adli jadi harapan 41 Racing

ADLI ketika beraksi pada pusingan pertama di Kangar baru-baru ini.


PASUKAN Suzuki FortyOne (41) Racing menaruh harapan tinggi terhadap Mohd. Khairul Adli Azhar (gambar) untuk mencapai keputusan podium bagi Pusingan 2 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS yang akan berlangsung di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang pada 16 dan 17 April ini.
Adli, 17, yang berjaya menamatkan perlumbaan di tempat keempat pada aksi pembuka tirai di Kangar baru-baru ini merupakan salah seorang pelumba yang paling berpengalaman dalam kategori Wira.
"Pasukan kami menaruh harapan yang tinggi terhadap Adli. Ini kerana dia mempunyai tiga musim bawah kategori Wira manakala satu tahun di kategori Novis.
"Pengalamannya akan memberi dia kelebihan berbanding dengan muka-muka baru di kategori Wira," ujar pengurus pasukan, Nor Azlan Amran.
Selain itu, katanya, Adli juga disokong dengan satu pasukan yang kuat serta jentera yang mantap walaupun ini tahun pertama pasukannya menggunakan jentera Suzuki.
Ini terbukti apabila Adli berjaya menamatkan perlumbaan di tempat keempat walaupun bermula di petak yang kelapan pada pusingan pertama di Kangar sebelum ini.
"Jika dia tidak melakukan sebarang kesilapan, saya yakin dia boleh menamatkan perlumbaan di podium. Saya berharap dia boleh melakukannya di Batu Kawan pada hujung minggu ini.
"Ini merupakan tahun terakhir dia layak berlumba di kategori Wira yang hanya terbuka kepada pelumba 17 tahun ke bawah. Semoga dia tidak melepaskan peluang ini untuk mencipta keputusan yang terbaik.
"Dia harus menumpu sepenuh perhatian terhadap setiap perlumbaan dan harus berwaspada terhadap pencabarnya yang tidak kurang hebatnya seperti Mohd. Adib Rosley (Motul Yamaha YY Pang), Mohd. Amin Mohd. Azahar dan Mohd. Zulsyafiz Rosli dari MOS Malaysia Racing," tegas Azlan lagi.

No comments:

Post a Comment