jokisenja header

jokisenja header


Monday, April 11, 2011

ROZALIMAN LEBIH YAKIN MASUK MUSIM KEDUA


Satu senario biasa apabila pelumba-pelumba bertukar pasukan setiap kali bermulanya musim baru Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS, namun jarang kita saksikan pelumba berada di paddok dengan menubuhkan pasukan sendiri khususnya pada usia yang muda sebagaimana yang dilakukan oleh Mohd Rozaliman Zakaria.

Penglibatan Rozaliman dalam Cub Prix bermula dengan menjuarai perlumbaan Junior GP Racing Dream pada 2007, diikuti penyertaan dalam kategori Wira pada tahun 2008 sebelum beralih ke kelas yang lebih tinggi ketika baru berusia 18 tahun, dengan menyertai kategori Novis pada 2009 bersama pasukan Maju Motor. Walaupun musim pertama beraksi dalam kelas pertengahan itu, Rozaliman membayangkan dirinya mampu mencipta lebih banyak kejayaan setelah menamatkan keseluruhan musim di kelompok lima pelumba terbaik daripada 45 pelumba keseluruhan.

Walaupun di lihat mempunyai masa depan cerah selepas beraksi dalam pasukan yang berjaya melahirkan kategori Expert sebanyak dua kali, Ahmad Fazli Sham dan adiknya, Ahmad Fazrul Sham dan seorang lagi pelumba muda, Abdul Muhaimin Roslan, Rozaliman mengambil keputusan untuk mengundur diri.

Pelumba kelahiran Terengganu itu bertindak menubuhkan pasukannya sendiri yang dikenali sebagai ZAR Racing Motorsports untuk menyertai saingan pada tahun 2010.

Menubuhkan sebuah pasukan bukanlah satu tugas yang mudah. Bekas pelumba yang beralih arah  menjadi pengurus seperti Yong Ying Hoe (Yamaha Maju Motor Racing) dan Soong Chee Kieong (Harian Metro TEQ SCK Honda Racing) mengambil masa sehingga beberapa tahun sebelum berjaya mencipta nama seperti hari ini.

Tahun lalu, Rozaliman bersama pasukannya melakukan penampilan pertama mereka bersama ZAR Racing Motorsports pada pusingan pembukaan di Alor Setar, Kedah.

Sudah tentu perjalanannya tidak semudah yang disangka. Tampil selaku pasukan baru di pentas CP115 (dulu dikenali sebagai kategori Novis), tidak menghairankan apabila mereka gagal mencapai sebarang keputusan yang baik pada peringkat awal.

Namun, kesungguhan dan semangat tinggi yang ditunjukkan akhirnya mendatangkan kejayaan kepada mereka apabila Rozaliman berjaya menjejakkan kaki di podium sebanyak tiga kali daripada baki enam pusingan perlumbaan terakhir.

Memasuki musim kedua, Rozaliman mempunyai perancangan besar bersama pasukannya. Mari kita mengetahui dengan lebih dekat tentang Rozaliman dan ZAR Racing Motorsports.

Membentuk sebuah pasukan bukan perkara yang mudah. Apakah faktor yang menguatkan semangat anda untuk melakukannya? 

Keghairahan saya terhadap perlumbaan memberi semangat untuk saya terus mengukuhkan ZAR Racing Motorsports. Di tambah lagi dengan pengalaman beraksi di bawah satu bumbung bersama-sama Fazli Sham,  Fazrul Sham dan Muhaimin sebelum itu, ia memberi keyakinan buat saya.

Siapa yang memberikan sokongan untuk membentuk ZAR Racing Motorsports? 

Sokongan terbesar sudah tentu datangnya daripada keluarga saya, kawan-kawan, penaja-penaja dan juga bekas pengurus saya, Yong Ying Hoe. Mereka inilah yang mendorong saya untuk menubuhkan pasukan sendiri. Walaupun saya kurang berpengalaman dan kemahiran serta tidak mempunyai latar belakang teknikal, namun mereka tetap percaya saya mampu untuk melakukannya.

Sekarang pasukan ini sudah berjaya ditubuhkan dan akan mengharungi musim kedua. Apa perasaan anda? 

Saya begitu gembira! Pasukan ini bermula dengan kecil dan kini semakin berkembang hasil kerja keras dan kesungguhan semua pihak yang terlibat. Selain itu, kini kami juga bertambah yakin untuk mengharungi musim baru ini setelah mengutip banyak pengalaman musim lalu.

Ini bermakna kali ini anda memilih untuk berlumba berbanding dengan menguruskan pasukan? Seperti yang saya katakan tadi, saya begitu sukakan perlumbaan. Memandangkan saya masih berkemampuan, saya akan terus berlumba. Mungkin jika saya tidak boleh melakukannya lagi, saya akan berhenti dan mula menumpukan perhatian untuk menguruskan pasukan ini.

Apakah cabaran paling utama yang anda hadapi musim lalu? 

Masalah komunikasi merupakan halangan utama yang kami hadapi. Pada mulanya saya bimbang jika saya tidak boleh berkomunikasi dengan baik memandangkan saya masih muda dan tidak mempunyai pengalaman. Terima kasih kepada seluruh kru pasukan kerana begitu profesional walaupun mereka juga masih baru di arena Cub Prix. Kami dapat bekerjasama dengan baik dan sering bertukar pendapat terutama dari segi pelarasan jentera hinggalah kepada strategi perlumbaan. Mengimbangi tugas pengurusan dan perlumbaan bagi memastikan semuanya berjalan lancar juga begitu mencabar. Ada ketikanya saya berasa amat penat namun hasil yang diperolehi membuatkan saya begitu berpuas hati.

Apakah harapan anda untuk musim kedua di Kejuaraan Cub Prix? 

Sudah tentu kami mengharapkan keputusan yang lebih baik. Seperti pasukan-pasukan baru yang lain, kami masih mentah dan begitu banyak perkara yang perlu dipelajari namun kejayaan tiga kali menaiki podium musim lalu membuktikan kami mampu untuk pergi lebih jauh.  Malangnya, ketika pusingan pembukaan di Kangar baru-baru ini tidak berjalan lancar kerana saya dikenakan penalti 30 saat selepas melakukan kesalahan jump start sewaktu memulakan perlumbaan.  Walaupun menamatkan perlumbaan di tempat ketiga, saya menjunam ke kedudukan ke-17. Selepas ini, saya yakin tidak akan melakukan kesilapan yang serupa dan berazam menamatkan perlumbaan di Batu Kawan nanti di atas podium.

Terdapat sebarang perubahan yang dilakukan pada musim ini? 

Ya, kami ada melakukan beberapa perubahan. Daripada bahagian pengurusan, Aziz Sham Saihen akan bertindak sebagai pengurus pasukan dan beberapa mekanik yang baru turut menyertai kami. Saya juga tidak berlumba bersendirian tahun ini kerana mempunyai pasangan iaitu Wan Mohd Hadri Wan Mukhtar. Beraksi dalam kelas Persendirian sebelum ini, Hadri membuktikan kemampuannya apabila berjaya menaiki podium dalam beberapa siri Kejuaraan. Saya yakin kami dapat bekerjasama dengan baik. Sekarang ini kami cuma perlu mencari rentak terbaik yang diperlukan.

Issued by Global PR Sdn Bhd
Copyright to Safe Aim Mutual Sdn Bhd

No comments:

Post a Comment