PASUKAN PETRONAS Syntium Moto Raceline mengambil pendekatan berbeza bagi menghadapi saingan Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS (ARRC) yang akan membuka tirainya di Litar Sepang Antarabangsa (Litar Utara) pada 29 April hingga 1 Mei ini.
Pengurus pasukan, Barry Leong akan mempertaruhkan gandingan dua pelumba junior, Hafizh Syahrin Abdullah dan pelumba Australia, Michael Jones untuk membawa cabaran di dalam kategori SuperSports 600cc.
Gandingan kedua-dua pelumba berusia 17 tahun ini adalah hasil kerjasama program pertukaran dan kedua-duanya akan bergandingan di dalam satu pasukan dan saling berkongsi pengetahuan serta pengalaman mereka untuk mencapai keputusan yang lebih cemerlang.
Melalui program kerjasama ini Hafizh berpeluang untuk menerima pendedahan di peringkat antarabangsa dengan menyertai Kejuaraan Australian Formula Xtreme dan sebaliknya Mike pula berpeluang menimba pengalaman di pentas PETRONAS ARRC.
“Memandangkan Hafizh berbakat besar dan usianya masih muda, tujuan program penukaran ini adalah untuk terus meningkatkan kemahiran Hafizh terhadap jentera 600cc.
"Masih banyak aspek yang perlu dia pelajari tetapi untuk menghantar dia beraksi bersendirian di luar negara membelanjakan kos yang amat tinggi.
"Oleh itu, kami memilih untuk bekerjasama denganrakan kami di Australia di mana mereka turut mempunyai objektif yang sama untuk Mike.
“Melalui jalinan kerjasama ini, kedua-dua pelumba dapat berkongsi pengetahuan yand dapat membantu perkembangan karier masing-masing. Saya serta mekanik-mekanik kami juga turut berpeluang menerima pendedahan yang serupa,” katanya.
Tambah Barry lagi, kerjasama ini tidak hanya memberi peluang kepada pelumba dan kru menimba lebih banyak pengetahuan malah ia turut dapat membantu pasukan untuk menguruskan kewangan dengan lebih baik.
“Kami akan menanggung kos perlumbaan secara bersama. Jika di ARRC, pihak kami akan menanggung kos-kos sepert lojistik, jentera, dan alat ganti namun apabila kami ke Australia untuk menyertai Kejuaraan FX, mereka pula akan menanggung kos-kos tersebut," katanya.
Menilai tentang kemampuan tahun kedua Hafizh menunggang jentera Yamaha YZF-R6, Barry menjelaskan, “Susah untuk menilainya memandangkan perlumbaan pertama hanya akan mula minggu ini, namun saya percaya Hafizh mampu menempatkan diri di kalangan enam pelumba terbaik.
“Sasaran ini adalah realistik kerana bilangan pelumba-pelumba berpengalaman dan muka-muka baru adalah seimbang.
"Bagi Mike pula, walaupun mempunyai banyak pengalaman dalam pertandingan yang lebih kompetitif namun ini aksi pertamanya di ARRC, jadi kami perlu tunggu dan lihat apa yang akan berlaku hujung minggu ini,” jelas Barry.
No comments:
Post a Comment