TAYANGAN perdana dokumentari ‘Jorge’ diadakan baru-baru ini di Cine Capitol, Madrid.
Acara karpet merah di ibu negara Sepanyol itu dihadiri oleh tidak lain dan tidak bukan, Juara Dunia MotoGP 2010 dan juga subjek dokumentari berkenaan, Jorge Lorenzo.
Dokumentari selama 80 minit itu memaparkan perjalanan hidup pelumba berusia 23 tahun itu daripada seorang bakat baru sehingga menjadi juara dunia MotoGP, mengikuti Lorenzo dalam memburu kejuaraan berkenaan dan pertemuan secara peribadi dengan pelumba kedua dari Sepanyol yang menjuarai gelaran itu.
Dirakam menerusi format definasi tinggi (HD) memberikan rakaman terperinci mengenai kisah hidup pelumba dari Mallorca, baik secara profesional, mahupun peribadi.
Dirakam menerusi format definasi tinggi (HD) memberikan rakaman terperinci mengenai kisah hidup pelumba dari Mallorca, baik secara profesional, mahupun peribadi.
Temubual eksklusif bersama Lorenzo, ibu bapanya, rakan dan sekutu profesional memberikan profil sempurna juara dunia itu, begitu juga dengan rakaman video keluarga dan imej membabitkan detik penting sepanjang kempen 2010 yang membabitkan suasana sebelum dan selepas perlumbaan yang menobatkan pelumba Yamaha itu sewaktu menjulang gelaran MotoGP di Malaysia, Oktober lalu.
Rakaman eksklusif di sebalik tabir dalam ’Jorge’ membantu penonton melihat sendiri Lorenzo bukan hanya sebagai pelumba yang cukup bermotivasi tetapi kehidupan seharian pemuda itu di luar litar.
“Ia sesuatu yang cukup mengujakan dan saya tidak sabar untuk menanti reaksi penonton ketika melihat Jorge yang sebenar,” kata Lorenzo.
“Saya seorang yang terbuka dan saya tidak kisah jika orang melihat kehidupan peribadi saya. Saya sudah biasa dirakam dengan kamera TV, jadi ada peristiwa yang saya sudah lupa.
“Saya fikir dengan melihat rakaman yang tidak pernah saya tonton ketika kecil dan sewaktu saya tidak berada di litar menjadikan dokumentari ini lebih menarik,” katanya.
Pengarah Pengurusan Dorna Sports, Manel Arroyo menyifatkan ia satu projek yang menarik.
“Apabila idea ini tercetus, kami mula berbincang dengan pengurusan Jorge dan Yamaha dan semua pihak bekerja sama untuk menjadikannya satu kenyataan. Kini kami boleh menyajikan sesuatu yang unik.
“Kerjasama erat ini membolehkan kami memberikan sesuatu yang berbeza kerana kami boleh berada di sebalik tabir dengan Jorge dan menjelaskan bagaimana dia boleh mencapai kedudukannya sekarang.
“Kini kami berharap dapat mengedarkan dokumentari itu di luar pasaran Sepanyol,” katanya.
Bergelar juara dunia pada usia 23 tahun, musim Lorenzo pada 2010 dihiasi dengan pelbagai pencapaian. Selepas merangkul gelaran pertamanya di kancah berkenaan dengan rekod 383 mata, pelumba Yamaha itu itu turut menyamai rekod penamat podium paling banyak dalam semusim dalam kategori MotoGP do mana dia berada di podium dalam 16 daripada 18 perlumbaan.
Konsisten menjadi kunci kepada kejayaan Lorenzo, hakikat yang dibuktikan di mana dia berada di tempat keempat dalam dua perlumbaan yang gagal menempatkannya ke podium sepanjang 2010.
Pada 2011, pelumba Sepanyol itu akan terus bersama pasukan Yamaha itu dengan matlamat untuk mempertahankan kejuaraannya dan mengukuhkan cengkamannya dalam Kejuaraan Dunia untuk tahun berikutnya.
No comments:
Post a Comment