Selepas semusim berpisah, pasangan adi-beradik, Ahmad Fazli Sham dan Ahmad Fazrul Sham dijangka akan bergabung tenaga di bawah naungan sebuah pasukan baru bagi menghadapi cabaran siri Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS yang dijadualkan berlangsung di Alor Setar, Kedah Mac ini.
Fazli yang menduduki tangga ketiga di dalam kelas CP130 musim lalu akan meninggalkan pasukan Shell Advance Yamaha Maju Motor di mana dia telah menjulang makhota Expert sebanyak dua kali pada tahun 2007 dan 2008 manakala adiknya, Fazrul akan menarik diri dari pasukan Idemitsu Honda Racing.
Gandingan adik-beradik ini dikatakan bakal dipimpin Kuan Meng Heng yang juga merupakan pengurus pasukan SuperSports 600cc Malaysia, di dalam Kejuaraan Lumba Motosikal Asia PETRONAS (ARRC). Walau bagaimanapun, nama pasukan baru tersebut masih menjadi tanda-tanya dan ia hanya akan diumumkan di dalam masa terdekat ini.
Fazli berpendapat, penghijrahan ini merupakan peluang yang cukup baik baginya untuk terus maju di dalam arena Cub Prix. "Setakat ini, masih belum ada kata putus tetapi benar saya dan Fazrul sedang mengintai peluang untuk berpindah ke kem baru dan bergabung tenaga musim ini. Ini merupakan peluang baik bagi saya memajukan karier saya selain mencari cabaran baru. Tambahan pula, saya sudah cukup lama berlumba untuk pasukan Shell Advance Yamaha Maju, sejak tahun 2004 lagi," ujar pelumba yang berusia 29 tahun itu.
Fazli turut menambah gandingan ini pasti menyengat kerana mereka berdua cukup memahami pemikiran masing-masing di atas dan di luar trek. "Saya berharap persetujuan akan dicapai tidak lama lagi kerana saya tidak sabar untuk beraksi dengan Fazrul. Kami mempunyai semangat kerjasama yang amat baik sekali dan tidak mempunyai masalah berkomunikasi walaupun sering dilihat bermusuh di atas litar," ujarnya.
Fazrul apabila dihubungi pula turut berharap dapat menjadi rakan-sepasukan abangnya. "Musim lalu merupakan musim pertama saya terpisah dari Fazli dan dari situ saya belajar untuk berdikari. Ini sekaligus membuatkan saya lebih matang di dalam kancah Cub Prix. Saya pasti dengan pengalaman baru ini kami berdua boleh menjadi pencabar yang tidak boleh dipandang ringan oleh pihak lawan," ujar Fazrul yang berlumba dengan Fazli dari tahun 2004 hingga 2009 di bawah pasukan Shell Advance Yamaha Maju.
No comments:
Post a Comment