Tuesday, January 18, 2011
MOTUL YAMAHA YY PANG DALAM DILEMA
SEKALIPUN musim 2011 siri Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS belum bermula, drama telah mula bergolak di dalam pasukan Motul Yamaha YY Pang Racing Team apabila ketua mekanik dan kordinator pasukan, Siow Von Long atau lebih dikenali sebagai Sunny menyampaikan hasrat untuk berundur dari pasukan tersebut.
Biarpun masih lagi dalam perbincangan, Sunny menjelaskan bahawa sudah tiba masanya untuk dia meninggalkan pasukan itu bagi mencari cabaran yang berbeza selain memberi tumpuan terhadap perniagaannya sendiri.
Dalam pada itu, Sunny turut menjelaskan bahawa pelepasan jawatan selaku ketua mekanik dan koordinator pasukan, tidak akan membawa kesan terhadap momentum pasukan kerana ia kini merupakan salah satu pasukan yang digeruni di paddock Cub Prix.
Sepanjang tempoh lima tahun ini, Sunny telah berjaya membawa pasukan Motul Yamaha YY Pang untuk membolot gelaran Wira selama empat tahun berturut bermula dari tahun 2007, 2008, 2009 dan terbaru sekali pada musim 2010 dengan pelumba-pelumba seperti Mohd Emir Firdaus Hasan, Zaidy Mohd Zaifaizal, Mohd Azhar Abdul Jalil dan Mohd Adib Rosley.
Bagi kategori CP115 pula, Mohd Rozaiman Mohd Said muncul tempat kedua di dalam kedudukan keseluruhan musim lepas.
"Saya telah berkhidmat untuk Motul Yamaha YY Pang Racing Team selama lima tahun dan saya telah memberikan segala yang saya mampu untuk membawa pasukan ke tahap yang lebih tinggi, setanding dengan pihak lawan.
"Sebagai contoh, musim lepas, kami telah berjaya memenangi 13 kemenangan dalam saingan kategori CP115 dan Wira. Tambahan pula, dua kemenangan terakhir pada pusingan di Litar Antarabangsa Sepang dan Padang Kota Lama dijulang tanpa kehadiran saya di sana ekoran terlantar di hospital akibat demam denggi.
"Ini menunjukkan pasukan ini jelas setanding pasukan gergasi yang lain tanpa kehadiran saya. Ini sekaligus merupakan masa terbaik buat saya menarik diri dan mencari sesuatu yang baru di luar sana," ujar Sunny.
Ketika ditanya adakah pasukan mempunyai masa yang mencukupi atau pun masalah mencari pengganti yang sesuai, Sunny berkata, "Saya rasakan pengurus pasukan tidak akan menghadapi masalah mencari pengganti yang sesuai. Ini kerana kami telah pun membentuk satu sistem yang efektif dan pengganti saya hanya perlu menyesuaikan diri dengan sistem tersebut."
Tambah Sunny lagi, "Sepanjang bersama dengan pasukan ini selama lima tahun saya tidak mempunyai sebarang rasa kesal. Sebaliknya saya ingin mengucapkan terima-kasih kepada Pang Yok You serta penaja kerana meletakkan kepercayaan ke atas saya untuk membantu membimbinig pasukan ini mengecapi kejayaan.
"Walau bagaimanapun buat masa ini, segalanya masih belum muktamad. Saya cuma berharap keputusan saya diterima baik semua pihak," jelas Sunny.
Sementara itu, pengurus pasukan Motul Yamaha YY Pang Racing Team, Pang Yok You tidak menafikan kesahihan perkara tersebut, "Ya, kemungkinan besar Sunny akan meninggalkan pasukan ini dan jika dia benar-benar ingin berhenti, maka pemergiannya merupakan satu kehilangan besar bagi kami. Walaupun sedih dan berat hati, kami harus hormati impian dan perancangannya."
Ketika ditanya kemungkinan Sunny mendapat tawaran untuk membantu pasukan lain, YY Pang sekadar menjelaskan ia adalah keputusannya dan dia tidak akan menghalang Sunny.
"Jika Sunny berhijrah ke pasukan lain, saya tidak mampu membuat apa-apa. Seperti saya katakan, ini merupakan pilihannya. Tambahan pula saya pasti, kami akan saling-menghorti sesama sendiri walaupun mewakili pasukan berbeza."
Musim ini, pasukan YY Pang bakal membariskan empat pelumba untuk tampil dalam cabaran kategori CP115. Mereka terdiri daripada Mohd Adli Salihin, Zaidy, Rozaiman dan juara Wira 2009, Azhar. Sementara itu, pemenang kelas Wira 2010, Adib sekali lagi akan terus memacu di dalam kelas ini bersama pendatang baru, Nurahmad Fariznazreen.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment