Penunggang Monster Yamaha Tech 3, Ben Spies meraikan kejayaan merebut petak pertama MotoGP pertama sepanjang kariernya di GP Indianapolis pada 28 Ogos 2010.
SEPANG- Ben Spies yang bakal turun buat pertama kali bersama pasukan barunya Yamaha Factory Racing musim ini menyatakan mula serasi serta sudah menyesuaikan diri dengan keadaan sekeliling.
Dianggap sebagai salah seorang penunggang rookie terbaik sepanjang musim lalu, Spies nyata teruja dan bersemangat untuk memulakan musim barunya bersama rakan sepasukan barunya yang juga juara dunia musim lalu iaitu Jorge Lorenzo.
"Jorge seorang penunggang yang hebat dan sangat pantas. Saya bersedia untuk belajar dengannya dan akan cuba berlatih dengan bersungguh-sungguh," kata Spies.
Penunggang berasal dari Amerika Syarikat tersebut menduduki tangga keenam keseluruhan pelumba MotoGP musim 2010 turut mahu menjadikan penghijrahannya dari Monster Yamaha Tech 3 ke Yamaha Factory Racing tidak sia-sia.
"Saya mempunyai krew pasukan yang hebat dan mereka banyak membantu dari segala aspek. Banyak tekanan dirasai sekarang tetapi sekarang ini semua bergantung di atas bahu saya."
Di samping itu juga, Spies turut menekankan beberapa aspek teknikal pada jentera barunya perlu diperbaiki dan ujian pertama di Sepang nanti akan menjadi tempat untuk mengumpul data sebanyak yang mungkin.
Spies akan menunggang jentera Yamaha bersama enjin baru M1 secara rasminya di Sepang pada sesi ujian musim 2011 Februari ini.
No comments:
Post a Comment