jokisenja header

jokisenja header


Thursday, June 2, 2011

Bakat baru sukan lumba motor


SEBANYAK sepuluh pusingan untuk enam kategori pelumba dipertandingkan dalam kejohanan Cub Prix AAM Malaysia Petronas tahun ini.

TUMPUAN takwim pelancongan negara kini semakin lebar skopnya. Selain lokasi-lokasi menarik, acara sukan juga mendapat tempat di hati pelancong. Perahu layar, golf dan lumba kereta formula satu kian serasi sebagai santapan yang menggamit jutaan pelancong dari dalam dan luar negara.
Fokus juga harus diberikan kepada sukan lumba motosikal yang berjaya mengasah bakat-bakat pelumba handalan untuk beraksi ke peringkat antarabangsa.
Usaha mencungkil bakat baru sukan lumba motosikal digiatkan menerusi pelbagai acara pertandingan termasuklah Kejohanan Cub Prix AAM Malaysia Petronas.
“Jika diperhatikan pada tempoh awal penganjuran sukan permotoran ini, umur minimum pelumba dihadkan di antara 22 hingga 23 tahun.
“Kini dengan adanya Kejohanan Cub Prix AAM Malaysia Petronas bakat-bakat muda baharu dapat dicungkil dan dibentuk lebih awal,” kata Pengarah Promosi Cub Prix AAM Malaysia Petronas, Ron Hogg.
Hogg ketika ditemui di Putrajaya sempena Hari Belia Negara baru-baru ini menjelaskan, kebanyakan pelumba muda negara mempunyai potensi yang cerah untuk diasah ke peringkat lebih tinggi.
“Tidak mustahil mereka juga boleh menyandang gelaran sebagai pelumba profesional jika lebih tumpuan berkenaan skil dan teknik pemanduan diterapkan.
“Malah, dengan adanya sokongan berterusan daripada ibu bapa peluang lebih cerah menanti di hadapan,” ujarnya.
Pelumba wanita
Kejohanan Cub Prix AAM Malaysia Petronas yang dianjurkan sejak tahun 1994 itu berjaya melahirkan ramai pelumba tersohor. Antaranya termasuklah M. Meganathan, Chia Tuck Cheong dan Ahmad Fazli Sham.
Wujudnya kategori Wira, Piala Honda Wave Junior Challenge dan Piala Yamaha EgoLC Petronas sekurang-kurangnya menjadi satu platform baru buat remaja bawah 17 tahun beraksi di litar lumba.
Bagi Siti Norafizah Muhammad, 16, pengalaman diejek dan diperli rakan sekolah membakar minatnya dalam sukan tersebut.
“Saya ingin buktikan bahawa perempuan juga mampu lakukan apa yang lelaki boleh buat.
“Pernah juga kawan-kawan sekolah cakap saya seperti lelaki sebab sertai sukan bermotor tapi saya tak kisah, lagi diejek lagi saya bersemangat!” ceritanya.
Tambah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kelapa Sawit, Kulai, Johor itu, minatnya dalam bidang permotoran didorong oleh bapanya, Muhammad Nusi, 50.
“Setiap hujung minggu atau cuti sekolah saya akan ikut bapa menonton sukan motosikal lasak.
“Saya cuba berjinak-jinak menunggang motosikal mini,” katanya yang menunggang motosikal buat pertama kali ketika berusia sembilan tahun.
Murah dengan senyuman, tambah pelumba kategori Wira yang mesra disapa panggilan Fifie itu, dia sentiasa bersedia berdepan dengan sebarang kemungkinan seperti kemalangan atau terjatuh ketika berlumba.
“Ini tahun pertama saya terlibat dengan Kejohanan Cub Prix AAM Malaysia Petronas.
“Kenangan paling pahit apabila terjatuh beberapa kali ketika pusingan pertama dan kedua di Kangar, Perlis dan Batu Kawan, Pulau Pinang awal tahun ini,” ujarnya mengimbas detik-detik kekalahannya dalam misi pertama memburu juara.
Bagi Mohd. Zaqhwan Zaidi, 16, penyertaannya dalam sukan lumba motor berlandaskan minat dan bukannya untuk mengasah skil bertarung di jalan raya.
Menurut pelumba kategori CP 130 yang masih belajar di SMK Bandar Tasik Kesuma, Semenyih, Selangor itu, lebih banyak kelebihan diperoleh apabila berlumba di lokasi yang dikhaskan berbanding di jalanan.
“Litar lumba dilengkapi dengan pelbagai ciri keselamatan termasuk marsyal yang sentiasa bersedia dan risiko kecelakaan juga amat rendah.
“Tapi jika di jalan raya lebih banyak risiko yang perlu ditanggung terutama yang merempit,” jelasnya yang optimis dengan peluang di litar lumba motor.
Penglibatan Zaqhwan dalam Kejohanan Cub Prix AAM Malaysia Petronas bermula tahun lalu apabila namanya tersenarai antara enam pelumba muda yang dicari.
“Pada mulanya saya tidak sangka akan terpilih tapi dengan kepercayaan yang diberi, saya akan berusaha lebih gigih untuk bersaing dengan rakan-rakan hingga ke peringkat antarabangsa,” getusnya yang menjadikan pelumba ternama dunia Valentino Rossi sebagai idolanya.
Bagi Zaqhwan, kemenangan di tempat ketiga di Kangar, Perlis pada pusingan pertama bulan Mac lalu banyak menyuntik semangat untuk meneruskan perjuangan dalam bidang lumba motosikal.
Beraksi di litar lumba bagi Amirul Hafiq Mohd. Azmi, 15, banyak memberinya peluang untuk mengembara ke tempat idamannya.
“Tahun ini saja saya sudah menjejakkan kaki ke New Zealand, Portugal dan Sepanyol untuk menyertai kejuaraan di sana.
“Sejujurnya impian saya mahu menjejakkan kaki ke negara Eropah telah tercapai,” bicaranya.
Namun, hakikat yang terpaksa ditelan Amirul Hafiq dia terpaksa menangguhkan pelajarannya seketika demi mengejar peluang tersebut.
“Memang sedih sebab terpaksa tangguhkan pelajaran tahun ini, tambah-tambah lagi saya akan menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR).
“Tetapi, insya-Allah tahun depan saya akan menyambung pelajaran yang tertangguh ini dan akan berusaha lebih gigih,” katanya yang menyimpan misi untuk meneruskan cita-cita ayahnya untuk berjaya dalam lapangan ini.
Juara lumba motor
Bekas pelajar SMK Taman Tasik Ampang, Kuala Lumpur yang merupakan anak kepada bekas pelumba motosikal negara Mohd. Azmi Yaakob, 46, itu telah mula bertapak dalam arena permotoran seawal usia enam tahun.
Kemudian, pada usia 13 tahun, remaja penuh iltizam itu berjaya melakar nama selepas beberapa kali menjuarai kejohanan lumba motor peringkat bawah 17 tahun.
Namun, bagi Amirul Hafiq pencapaian terbaik setakat ini adalah sewaktu kejohanan lumba motosikal di Jerez, Sepanyol awal tahun ini.
“Saya tersenarai dalam sepuluh terbaik pada ujian kelayakan masa namun saya masih belum puas.
“Seboleh-bolehnya saya ingin mencapai kedudukan lebih tinggi dan ingin sekali mendengar lagu kebangsaan kita, Negaraku berkumandang di negara luar,” tuturnya.
Kecederaan yang dialami Amirul Hafiq pada awal tahun ini cukup membakar iltizamnya untuk menyumbang bakti dalam sukan lumba motor.
“Pada bulan Januari, ketika berlatih di litar lumba motosikal di New Zealand saya terjatuh dan menyebabkan tangan sebelah kiri saya retak.
“Kemudian, dua minggu selepas itu kaki kiri saya pula patah akibat terjatuh dari motosikal,” ulasnya mengenai sejarah kecelakaan terburuk sepanjang penglibatan dalam sukan lumba motosikal.
Menjadikan Danny Pedrosa sebagai idolanya, Amirul Hafiq juga menyimpan impian untuk memiliki sebuah motosikal berkuasa tinggi.
“Setiap hasil kemenangan disimpan oleh ayah dan digunakan selepas tamat persekolahan.
“Saya juga bercita-cita mahu membeli sebuah motosikal berkuasa tinggi,” ujarnya.
Amirul Hafiq juga menolak untuk mencari cinta pada peringkat ini kerana bimbangkan prestasi di litar lumba.
“Cinta akan membuatkan kita emosi sekali gus akan menyebabkan kita terjejas ketika berlumba, seelok-eloknya fokuskan kepada kejayaan yang hendak dicapai dan sukses dalam pelajaran terlebih dahulu,” katanya yang bakal berentap di England pada bulan ini.

No comments:

Post a Comment