jokisenja header

jokisenja header


Wednesday, June 22, 2011

Intai gelaran pertama


MOHD Hafieenaz Mohd Ali ingin mencatat kemenangan pertamanya musim ini apabila turun beraksi di Pusingan 5 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas di Teluk Intan pada 25 dan 26 Jun ini.
Pelumba Petronas Syntium Moto Yamaha AHM itu tidak puas hati dengan aksi kurang konsisten dipamerkannya dalam kategori CP115 yang menyaksikan pencapaian terbaiknya setakat ini hanya di tempat ketiga Pusingan 2 di Batu Kawan. Hafieenaz kini berkongsi kedudukan keenam keseluruhan dengan kutipan 31 mata bersama-sama pelumba Motul Yamaha YY Pang, Mohd Rozaiman Mohd Said.

Mendahului kedudukan keseluruhan kelas ini pula adalah rakan sepasukan Rozaiman, Zaidy Mohd Zaifaizal dengan 75 mata manakala rakan sepasukan Hafieenaz, Shahril Izzuwan Mohd Noor kedua, 61 mata.
“Pada empat pusingan awal, prestasi saya turun naik dan kurang konsisten. Saya mampu menaiki podium, malangnya tidak kesampaian. “Jentera saya tidak mempunyai sebarang masalah cuma nasib kurang menyebelahi saya selain kesilapan yang dilakukan,” katanya.

Mengambil contoh pusingan pembukaan di Kangar, Hafieenaz berlanggar dengan Sasitharen Sukumaran dan walaupun menamatkan perlumbaan namun gagal mengutip sebarang mata. Di Pusingan 3 di Kuala Terengganu, masalah mekanikal ketika ujian saringan memaksanya memulakan perlumbaan di petak kelapan dan menamatkan perlumbaan di kedudukan kelima. Di Putrajaya pula, dia tidak dapat mengelak beg pasir yang dilanggar pelumba di depan dan sekadar menamatkan sesi saringan di kedudukan ke-10 hingga menyebabkannya terpaksa memulakan perlumbaan di petak terakhir.” Kini Kejuaraan Cub Prix memasuki pertengahan musim, pelumba kelahiran Ipoh itu berharap mampu mencipta kejayaan di gelanggang sendiri nanti. “Saya sudah melupakan kekecewaan sebelum ini dan ingin menghadiahkan kemenangan untuk pasukan. Tidak cukup setakat itu, saya juga mahu menghadiahkan kejayaan buat keluarga dan juga rakan-rakan. “Hanya di Teluk Intan, keluarga dapat hadir kerana ia gelanggang terdekat dengan Ipoh dan saya tidak mahu mengecewakan mereka,” kata Hafieenaz yang kali terakhir muncul juara ketika perlumbaan di Litar Sepang pada 2009.

“Saya tidak mahu melakukan kesilapan pada pusingan akan datang dan berharap nasib menyebelahi saya kali ini. Saingan kini semakin sengit dan jika gagal muncul juara, saya harap dapat menamatkan perlumbaan di kedudukan kedua atau ketiga.” 

No comments:

Post a Comment