Sunday, June 26, 2011
NORIZMAN RAIH KEMENANGAN KEDUA BERTURUT-TURUT
Norizman Ismail terpaksa menggunakan segala pengalaman miliknya sebelum meraih kemenangan kedua berturut-turut dalam kategori CP130 pada Pusingan 5 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2011 yang berakhir di Teluk Intan, Perak, hari ini.
Pelumba Harian Metro TEQ SCK Honda Racing itu muncul juara setelah menamatkan perlumbaan sebanyak 14 pusingan dengan masa keseluruhan 13 minit 33.186 saat dihadapan Mohd Ramdan Mohd Rosli (PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM) dan rakan sepasukannya, Azlan Shah Kamaruzaman.
Ramdan yang tidak beraksi pada Pusingan 4 di Putrajaya pada 28 dan 29 Mei kerana masih belum pulih daripada kecederaan kaki menamatkan perlumbaan di tempat kedua dengan catatan keseluruhan 13:35.854s.
Sementara itu, Azlan yang turut tidak beraksi di Putrajaya kerana melangsungkan perkahwinannya begitu bernasib baik apabila menamatkan perlumbaan di tempat ketiga dengan catatan 13:42.589s setelah dua pelumba dihadapannya, Hafizh Syahrin Abdullah (PETRONAS Syntium Moto Yamaha Raceline) dan Mohd Zamri Baba (PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM) terjatuh akibat perlanggaran ketika sedang bersaing merebut kedudukan ketiga.
Menjelaskan tentang kemenangannya, Norizman berkata, "Sebenarnya, ketika sesi Superpole saya hanya menggunakan 80 peratus sahaja kemampuan yang ada bagi bertujuan untuk melihat siapa yang akan menjadi pencabar utama saya pada perlumbaan sebenar. Hafizh yang bermula di petak pertama merupakan antara pelumba yang perlu saya atasi berdasarkan penguasaannya sepanjang perlumbaan minggu ini. Namun, saya tidak bimbang mengenainya dan yakin dapat mengatasi Hafizh memandangkan saya telah mengkaji kekuatan dan kelemahannya di litar ini," kata pelumba 26 tahun itu.
"Pada asalnya saya sekadar mensasarkan untuk berada di tempat kedua ataupun di atas podium sahaja kerana sedar bukan perkara mudah untuk memintas Hafizh. Begitu juga dengan Ramdan. Kedua-dua pelumba muda ini beraksi dengan cukup pantas," jelas Norizman yang memulakan perlumbaan di petak kedua di belakang Hafizh manakala Ramdan di petak yang ketiga.
Jelas Norizman lagi, "Namun dengan pengalaman yang ada, saya berjaya mendahului Hafizh dan begitu juga dengan Ramdan. Walaupun Ramdan berjaya mendahului saya pada pusingan ketujuh, namun pada pusingan kesembilan saya berjaya memintasnya kembali dan terus mendahului kedudukan sehingga ke garisan penamat," kata Norizman yang mensasarkan untuk meraih gelaran hatrik pada pusingan akan datang.
Kemenangan hari ini terus mengukuhkan kedudukan Norizman sebagai pendahulu keseluruhan dengan 79 mata diikuti Ahmad Fazli Sham (Pennzoil Fastrac Racing) dengan 52 mata manakala seorang lagi rakan pasukan Norizman, Mohd Affendi Rosli di kedudukan ketiga dengan 47 mata.
Pasukan Harian Metro TEQ SCK Racing juga terus mengukuhkan kedudukan sebagai pendahulu keseluruhan dengan 130 mata, 35 mata dihadapan Pennzoil Fastrac Racing di tangga kedua dengan 95 mata manakala PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM naik ke kedudukan ketiga daripada tangga kelima dengan 84 mata.
Sementara itu dalam kategori CP115 Ahmad Abdul Kadir berjaya meraih kemenangan pertamanya musim ini apabila menamatkan perlumbaan sebanyak 12 pusingan dengan masa keseluruhan 11.45.284s.
Pelumba APIDO Yamaha Boon Kui Racing itu menewaskan Shahril Izzuwan Mohd Noor (PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM) dan Mohd Rozaliman Zakaria (ZAR Racing Motorsport) yang berada di tempat kedua dan ketiga. Shahril menamatkan perlumbaan dengan masa keseluruhan 11:47.712s manakala Rozaliman dengan 11:47.911s.
Ahmad menjelaskan, "Kemenangan yang diperolehi pada hari ini bukan suatu kemenangan yang mudah kerana Shahril dan Rozaliman memberikan saingan sengit pada sepanjang perlumbaan. Walaupun pada satu ketika saya berjaya menjarakkan diri daripada mereka, sedikit kesilapan yang dilakukan membolehkan mereka kembali mendekatkan diri namun mujurlah pada pusingan terakhir saya kembali berjaya menjarakkan diri daripada mereka dan seterusnya memperoleh kemenangan pertama pada musim ini," jelas Ahmad yang gagal menamatkan perlumbaan di Teluk Intan pada musim lepas.
Kemenangan tempat kedua meletakkan Shahril kembali menerajui kedudukan keseluruhan dengan mengumpul 81 mata, lima mata mengatasi Zaidy Mohd Zaifaizal dari pasukan Motul Yamaha YY Pang yang tidak beraksi di perlumbaan akhir. Zaidy mengutip 76 mata dan Mohd Emir Firdaus Hasan (M-Seki Liberty Honda Racing) ketiga dengan 54 mata.
Dalam senarai berpasukan keseluruhan, PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM turut kembali berada di kedudukan teratas dengan mengumpul 118 mata manakala pasukan Motul Yamaha YY Pang Racing 2 jatuh ke tangga kedua dengan mengutip 97 mata. Motul Yamaha YY Pang 1 kekal di kedudukan ketiga dengan menambah 18 mata menjadikan 96 mata setakat ini.
Zulsyafiz Rosli berjaya meraih kejuaraan keduanya pada musim ini apabila mengungguli kategori Wira apabila menamatkan perlumbaan sebanyak 10 pusingan dengan catatan 9:59.966s.
Pelumba MOS Malaysia Racing itu sebelum ini meraih kejuaraan pertama pada Pusingan 2 di Batu Kawan menewaskan Mohd Khairul Adli Azhar dari pasukan Suzuki FortyOne Racing yang menamatkan perlumbaan di tempat kedua dengan catatan 10:00.078s. Tempat ketiga dimenangi juara keseluruhan musim 2010, Mohd Adib Rosley (Motul Yamaha YY Pang Racing) dengan 10:02.195s.
Pelumba 17 tahun itu cukup berpuas hati dengan kemenangannya. Dia berkata, "Sebelum memulakan perlumbaan lagi saya memang meletakkan sasaran untuk menaiki podium dan bertambah gembira kerana berjaya muncul sebagai juara, " jelas Zulsyafiz yang berada di tangga teratas dalam senarai keseluruhan dengan 89 mata.
Mohd Hafiza Rofa (Faito YSP Racing) yang gagal beraksi di pusingan terakhir setelah terjatuh pada sesi kelayakan berada di tangga kedua dengan 75 mata manakala rakan sepasukan Adib, Nurahmad Fariznazreen di tangga ketiga dengan 59 mata.
Dalam saingan Cabaran Honda Wave Junior, Mohd Rabilfirli Azmin meraih gelaran ketiga musim ini apabila meraih kejayaan di sini dengan catatan masa keseluruhan 10:41.823s sekali gus terus mengekalkan kedudukan sebagai pendahulu keseluruhan dengan 90 mata.
Mohd Fitri Mohd Sukor muncul pemenang tempat kedua dengan catatan keseluruhan 10:47.379s manakala Mohd Zulfakri Rosli ketiga dengan 10:48.259s.
Kedudukan podium ini turut mengukuhkan kedudukan Fitri di tangga kedua keseluruhan, ketinggalan lapan mata kepada Rabilfirli apabila mengumpul 87 mata setakat ini. Tempat ketiga menjadi milik Mohd Arif Abd Rahman dengan 66 mata.
Dalam kategori Piala Yamaha EgoLC PETRONAS, Mohd Nasri Mohd Ishak muncul juara apabila menamatkan perlumbaan sebanyak 10 pusingan itu dengan catatan 11:41.863s menewaskan Mohd Mu'izz Al-Atrash dan Mohd Shafiq Rasol di tempat kedua dan ketiga.
Mu'izz menamatkan perlumbaan dengan catatan 11:42.633s manakala Shafiq ketinggalan hampir lima saat di belakang Mu'izz dengan catatan 11:47.435s.
Walaupun sekadar menamatkan perlumbaan di tempat kelima, Mohd Amirul rasol terus kekal sebagai pendahulu keseluruhan dengan 36 mata diikuti Nasri di tangga kedua dengan 33 mata manakala Shafiq di kedudukan ketiga dengan 32 mata.
Saingan kategori Persendirian menyaksikan kehebatan Wazir Abd Razak sukar ditandingi mana-mana pelumba apabila meraih kemenangan kelima berturut-turut setelah menamatkan perlumbaan dengan masa keseluruhan 10:29.323s.
Mohd Fhahmin Abd Mutalib di kedudukan kedua manakala Mohd Salimi Shaari ketiga. Kedua-dua pelumba menamatkan perlumbaan dengan masa keseluruhan 10:33.143 dan 10:35.773s.
Kemenangan itu menjadikan kedudukan mata keseluruhan Wazir jauh dihadapan pelumba-pelumba lain apabila memungut 125 mata setakat ini. Fhahmin di kedudukan kedua keseluruhan sekadar memungut 81 mata manakala Mohd Saaduddin Rosle ketiga dengan 47 mata.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment