Pelumba SuperSports 600cc Malaysia, Azlan Shah Kamaruzaman cukup bersemangat untuk menghadapi Pusingan 2 Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS (ARRC) di Litar Antarabangsa Sentul, Indonesia hujung minggu ini.
Pelumba Boon Siew Honda Racing Malaysia itu mempamerkan aksi terbaik apabila berjaya menamatkan kedua-dua perlumbaan SuperSports 600cc di tempat ketiga pada Pusingan 1 di Litar Sepang April lepas. Kemenangan itu sekaligus membolehkan Azlan berada di kedudukan kedua keseluruhan dengan 32 mata, 18 mata di belakang pendahulu Kejuaraan, Katsuaki Fujiwara (Manual-Tech Beet Kawasaki Racing) dengan 50 mata.
Tempat ketiga pula menjadi milik pelumba baru, Michael Edwards Jones (PETRONAS Syntium Moto Yamaha Raceline) dengan 24 mata manakala dua pelumba Yamaha Thailand Racing, Decha Kraisart dan Chalermpol Polamai terikat di kedudukan keempat, masing-masing dengan 20 mata.
Azlan yang turut mencatat kejayaan manis di Litar Sentul tahun lepas berkata, "Musim lepas di Indonesia saya memperoleh keputusan yang baik apabila berjaya menamatkan Perlumbaan 1 dan Perlumbaan 2 di kedudukan kedua. Pada Pusingan 1 di Litar Sepang musim ini saya turut berjaya menaiki podium. Oleh itu saya berharap dapat mengekalkan rekod baik ini dan sudah pasti sasaran utama saya adalah untuk berada di atas podium."
Pelumba berusia 27 tahun itu menambah, "Kejuaraan masih di peringkat awal dan strategi pada musim ini adalah untuk berusaha dengan lebih gigih dan mempamerkan rentak konsisten pada setiap pusingan. Saya turut berhasrat untuk muncul juara pada mana-mana pusingan namun apa yang lebih penting adalah dapat mengutip mata di setiap perlumbaan memandangkan kedudukan keseluruhan pasti berubah jika gagal menamatkan perlumbaan."
Bertanyakan tentang pesaing utamanya, Azlan menjelaskan pelumba Manual-Tech Beet Kawasaki Racing (Fujiwara dan M. Fadli) serta bekas rakan sepasukannya, Mohd Zamri Baba mampu untuk merencatkan impiannya.
"Tanpa kehadiran dua pencabar utama dari Yamaha Thailand Racing, Decha dan Chalermpol, saya menjangkakan Fujiwara, pelumba Indonesia, Fadli dan Zamri pasti akan menjadi penghalang utama. Saya ingin menewaskan Fujiwara yang berpengalaman beraksi di Kejuaraan SuperSports Dunia namun ia bukan satu tugas yang mudah. Rakan pasukannya, Fadli juga mempunyai kelebihan kerana beraksi di gelanggang sendiri.
"Bagi Zamri pula, dia perlu mengutip seberapa banyak mata bagi meneruskan cabaran mengejar kedudukan keseluruhan, jadi pasti dia akan mencuba sebaik mungkin," jelas Azlan yang telah terlibat dalam saingan SuperSports 600cc selama lima tahun itu. Pencapaian terbaik apabila menduduki tangga ketiga keseluruhan pada tahun 2008 dan 2010.
Issued by Global PR Sdn Bhd
Copyright to Safe Aim Mutual Sdn Bhd
No comments:
Post a Comment