MESKIPUN berdepan pelbagai cabaran dalam saingan Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC), ia tetap tidak mematahkan semangat barisan pelumba pasukan Suzuki M-Seki Liberty Racing.
Pengurus pasukan, Chong Kok Ming menjelaskan, mereka akan terus melontarkan cabaran bagi mencari kedudukan terbaik dalam saingan Underbone 115cc.
Tugas tersebut terus dipertaruhkan kepada dua pelumba mereka yang diketuai S. Sasitharen Sukumaran dan Elly Idzliaikmal Ilias.
Mereka mahu membuktikan bahawa kehadiran mereka dirasai barisan pencabar mereka apabila saingan Pusingan 5 berlangsung di Litar Antarabangsa Zhuhai, China hujung minggu ini.
Kok Ming tetap optimis terhadap kemampuan pelumbanya meskipun ini merupakan musim pertama mereka beraksi dalam ARRC.
Katanya, hanya satu yang diharapkannya agar pelumba-pelumbanya mempamerkan aksi terbaik pada saingan 5 di Zhuhai itu yang dijangka lebih mencabar dan sengit.
Kok Ming meletakkan sasaran untuk Sasitharen dan Elly menamatkan perlumbaan dalam kelompok lapan terbaik.
Ketika ini, Sasitharen menghuni tempat ke-17 dalam kedudukan keseluruhan bagi kategori Underbone 115cc dengan mengumpul 17 mata, sementara Elly tempat ke-22 dengan 11 mata.
“Kami tidak meletakkan sebarang sasaran pada penyertaan musim pertama dalam ARRC ini tetapi tetap mengharapkan pelumba kami tampil dengan pencapaian terbaik.
“Memang tidak dapat dinafikan kami berdepan dengan banyak cabaran tetapi ia tidak mematahkan semangat kami untuk terus memberikan saingan.
“Kami cuba untuk melakukan yang terbaik dan pada masa yang sama mempelajari serta mengatasi setiap kelemahan yang ada,” katanya.
Ketika ditanya mengenai halangan yang dihadapi pasukannya ketika ini, Kok Ming berkata: “Pertamanya ialah litar, kedua enjin dan terakhir pelumba itu sendiri.
“Ini merupakan penampilan sulung kami dalam siri kejuaraan ini.
“Oleh itu, anda tidak boleh membandingkan kami dengan pelumba lain yang telah lama beraksi dalam kejuaraan ini.”
Menurut Kok Ming, mereka juga merupakan satu- satunya pasukan yang menggunakan jentera Suzuki dalam saingan kategori Underbone 115cc.
Tahun lepas, pelumba pasukan SCK Racing, Mohd. Affendi Rosli muncul dalam kategori ini dengan menggunakan jentera Suzuki dan sudah pasti ia suatu tekanan kepada mereka untuk mengekalkan prestasi cemerlang itu.
Selepas selesai empat pusingan, carta keseluruhan bagi kategori Underbone 115cc ini masih diungguli pelumba Indonesia, Denny Triyugo dari pasukan Yamaha TOP 1 FDR Racing yang sudah mengumpul 94 mata diikuti dua rakan senegaranya, Hadi Wijaya (Kawasaki NHK Rextor MTR Manual Tech) dengan 89 mata dan Fitriansyah Kete (Bikers BRT Indonesia Racing Team) 65 mata.
selamat berjaya..kpd seluruh team suzuki..malaysia boleh....
ReplyDelete