jokisenja header

jokisenja header


Saturday, October 23, 2010

HAFIZH RAIH PELUMBA TERPANTAS DI PEKAN 23 Oktober 2010


Pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha Raceline, Hafizh Syahrin Abdullah membuktikan kehebatannya di Litar Taman Tasik Sultan Abu Bakar apabila meraih pelumba terpantas sesi ujian masa perlumbaan Pusingan ke-8 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Pekan, Pahang semalam.
Kedudukan ujian masa itu adalah yang ketiga buat bekas juara Novis 2009 musim ini dengan misi besar mencari kemenangan ketiga selepas memenangi saingan di Teluk Intan (Pusingan 6) dan Melaka (Pusingan 7) penghujung September lepas.
Hafizh yang berada di tempat ketiga keseluruhan kategori CP130 dengan 103 mata memerlukan kemenangan peribadi ketiga musim ini bagi mengurang defisit kepada pendahulu keseluruhan, Ahmad Fazli Sham (127 mata) dan Norizman Ismail  (110 mata) yang berada di tempat kedua.
"Secara keseluruhannya, saya amat berpuas hati dengan masa yang dilakukan dan berharap mampu membuat yang terbaik pada perlumbaan akhir esok. Segala-galanya berada pada tahap terbaik dari jentera dan trek, sekalipun trek ini agak licin dan mampu mendatangkan risiko," ujar Hafizh mengenai persembahannya pada sesi ujian masa.   
Hafizh mencatat masa 47.363 saat mengatasi masa yang dilakukan Md Zamri Baba (PETRONAS Sprinta Yamah AHM) 47.788 saat dan rakan sepasukan Azlan Shah Kamruzaman (48.295 saat) yang dianggap mampu menghalang kejayaanya di Pekan ini.
"Jika Azlan berada di sebelah saya pada perlumbaan akhir, strategi kami adalah menyekat kelompok pelumba di belakang. Sebaliknya jika ia tidak berlaku, saya mungkin membuat pecutan lebih awal dan meninggal pencabar lain sebaik aksi bermula.
"Trek ini cukup berteknikal berbanding dua trek sebelum ini (Teluk Intan dan Melaka). Begitupun saya harap mampu melakukan yang terbaik dan mengurangkan kesilapan untuk terus memburu kemenangan ketiga berturut-turut musim ini," jelas Hafizh yang terdahulu merakamkan kemenangan di Teluk Intan dan Melaka baru-baru ini.
 
Sementara itu, Md Adli Salihin berharap pengajaran pedih musim lepas menjadi pendorongnya untuk lebih berhati-hati menjelang perlumbaan akhir kategori CP115 esok. Musim lepas, Adli yang bersaing dalam kelas Expert turut mencipta masa terpantas pada sesi ujian masa namun gagal mencipta keputusan membanggakan apabila terjatuh sekalipun berada pada kedudukan terbaik menaiki podium.  
Pelumba Motul Yamaha YY Pang itu mencatat masa 48.604 saat untuk meraih kedudukan pelumba terpantas diikuti pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha Raceline, Md Hafieenaz Md Ali (48.912 saat) sementara rakan sepasukan Adli, Zaidy Md Zaifaizal di tempat ketiga dengan masa 48.929 saat.
"Sikap gelojoh dan kurang sabar membuatkan saya tergelincir dan akhirnya terlepas menaiki podium. Trek ini juga mempunyai ciri-ciri teknikal namun pelumba perlu bersabar untuk menguasainya.
"Terdapat beberapa kawasan yang dilihat agak licin dan mampu mendatangkan risiko buat saya dan pelumba lain pelumba. Selain itu, hanya dua tempat (selekoh 1 dan 3) yang dijangka mampu dijadikan kawasan memintas," ujar Adli.
Dalam ujian masa kategori Wira, pelumba MOS Yamaha Racing, Amirul Hafiq Mohd Azmi mengejut pelumba pilihan lain setelah mencipta masa terpantas dengan masa 49.937 saat untuk bermula di petak hadapan ujian kelayakan esok.
Pendahulu keseluruhan, Md Adib Rosley dari Motul Yamaha YY Pang berada pada kedudukan keenam terpantas dengan masa 50.950 saat sementara rakan sepasukan Md Azhar Abd Jalil meraih tempat kedua (50.251 saat) diikuti Md Fitri Ashraf Razali (Caviaga Modenas Cilik Racing) 50.269 saat di tempat ketiga.
Ini merupakan kali kedua pelumba berusia 14 tahun meraih keputusan selaku pelumba terpantas selepas kali pertama muncul di Kluang awal April lepas. Bagaimanapun, Amirul berdepan dengan masalah utama apabila ia kerap dibayangi masalah jump start yang berlaku ketika aksi permulaan.  
"Saya harap perkara itu berlaku lagi di sini. Kali terakhir saya melakukan jump start ialah di Melaka dan ia adalah kesilapan ketiga sepanjang karier saya musim ini. Dengan bantuan dan tunjuk ajar dari pelumba senior, Ahmad Fuad, saya harap perkara itu dapat diatasi pada perlumbaan akhir esok.
"Impian saya adalah untuk muncul juara di sini (Pekan) dan beberapa pelumba pilihan seperti Adib, Azhar serta Zulsyafiz Rosli mungkin menjadi penghalang saya," jelas Amirul yang mengakui cukup teruja dan tidak berdepan masalah menguasai trek baru di Pekan. 
Pada saingan Honda icon Challenge Cup, Md Shafiq Rasol mencipta masa terpantas sesi ujian masa apabila melakar catatan 53.685 saat di depan Fakhrusy Syakirin Rostam (53.936 saat) di tempat kedua dan Has Fauzan Hassan (54.243 saat) di tempat ketiga.
Dalam ujian masa Cabaran Yamaha 135LC, Tengku Amirul Haffiruddin mencipta masa 51.126 saat pada pusingan ke-9 untuk meraih pelumba terpantas diikuti Nur Ahmad Fariznazreen (51.321 saat) di tempat kedua dan Md Hafiza Rofa di tempat kedua dengan masa 51.539 saat.
Cabaran Perlumbaan Persendirian menyaksikan Md Haiekal Akmal Zakaria meraih kedudukan pelumba terpantas ujian masa dengan catatan 50631 saat diikuti Md Fhahmin Abd Mutalib (52.551 saat) di tempat kedua sementara Md Syawal Md Noor di tempat ketiga dengan masa 53.061 saat. 


jokisenja berharap esok hafizh dapat mengekalkan kedudukkan hari ini sehingga race..akhir esok..jokisenja doakan semuanya berjalan lancar seperti yang di rancang oleh hafizh dan Team.

No comments:

Post a Comment