jokisenja header

jokisenja header


Saturday, August 13, 2011

Tiket MotoGP terjual 20 peratus sehingga Julai

malaysia-motogp-shell
Promosi awal tempahan tiket Grand Prix Motosikal (MotoGP) Malaysia 2011 pada 21 hingga 23 Okt ini mencatat penjualan sebanyak 20 peratus sehingga promosi berakhir 31 Julai lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif Sepang International Circuit Sdn Bhd (SIC) Datuk Ahmad Razlan Ahmad Razali berkata kira-kira 13,000 tiket telah dijual melalui dalam talian dan daripada jumlah itu, lebih 6,000 tiket ditempah peminat dari luar negara.

"Kita telah memulakan kempen tempahan awal tiket secara online ini bermula awal Januari lepas dan berakhir hujung Julai lalu. Ini satu permulaan yang dianggap baik di mana peminat asing seperti dari Australia, England dan Jepun adalah antara pembeli tempahan awal tiket itu.

"Bagi MotoGP Malaysia tahun ini, saya menyasarkan 65,000 tiket akan dijual kerana melihat faktor rakyat negara yang cintakan sukan permotoran," katanya kepada Bernama. 

Pada penganjuran MotoGP tahun lepas, lebih 60,000 tiket dijual dan seramai 100,555 datang ke Litar Sepang sepanjang tiga hari berlangsungnya perlumbaan MotoGP.

Beliau berkata pihaknya telah memulakan fasa kedua penjualan tiket dengan menjual harga asal dan masih dalam perancangan untuk mempromosikan MotoGP dan menampilkan kelainan buat edisi kali ini.

"Walaupun sudah tiada promosi harga, kita tetap memberi cenderahati stok terhad kemeja-T dan topi kepada pembeli awal.

"Kita merancang untuk membuat pelancaran penjualan tiket MotoGP Malaysia secara rasmi pada hujung September ini dan diharapkan promosi ini akan dapat menarik lebih ramai peminat tempatan khususnya.

"Diharapkan trend pembelian tiket saat akhir di kalangan orang kita ini akan berjaya mencapai sasaran buat edisi tahun ini," katanya.

Promosi atau tempahan awal membolehkan peminat menikmati diskaun sehingga 20 peratus bagi setiap tiket yang dibeli.

Menerusi promosi itu, orang ramai boleh membeli tiket pada harga serendah RM15 untuk menyaksikan perlumbaan.

Tiket boleh dibeli di kaunter SIC selain melalui laman sesawang di www.sepangcircuit.com, atau menghubungi talian 03-87782222.

No comments:

Post a Comment