Juara Pusingan 6 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2011 di Alor Setar, Elly Idzlianizar Ilias berpeluang beraksi di Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) PETRONAS di Litar Lumba Motor Madras, Chennai, baru-baru ini. Beliau dipilih oleh pasukan tuan rumah, TVS Racing berdasarkan kecemerlangannya di pentas Cub Prix. Mari kita ikuti sedikit pengalamannya bersama pasukan TVS Racing itu.
Cub Prix: Apa perasaan Elly dapat beraksi di pentas ARRC bersama pasukan TVS Racing
Saya berasa gembira kerana dipilih oleh pasukan TVS Racing untuk beraksi di ARRC kali ini. Bagi saya ia satu pengalaman yang baru dan berharga buat saya. Ini merupakan aksi kedua saya musim ini di ARRC selepas membuat penampilan di Litar Antarabangsa Sepang pada pusingan pembukaan dulu.
Cub Prix: Bagaimana Elly melihat kemampuan pasukan TVS Racing?
Sebenarnya pasukan ini merupakan sebuah pasukan yang hebat di India dan ada diantara pelumba mereka merupakan juara dalam perlumbaan tempatan. Mereka juga mempunyai kemahiran dan kepakaran yang mencukupi sebagai sebuah pasukan berstatus 'factory team'.
Cub Prix: Jadi Elly lihat kekuatan yang mereka ada dapat menyaingi pasukan-pasukan handalan lain di ARRC?
Apa yang saya lihat kemampuan mereka agak ketinggalan berbanding pasukan lain termasuklah pasukan Cub Prix dari negara kita. Tetapi ini bukan disebabkan mereka tidak mampu, tetapi sebenarnya mungkin kerana tidak ada pendedahan terhadap pertandingan di peringkat yang lebih tinggi. Dari segi tenaga pakar dan peralatan, mereka mempunyai sumber yang cukup.
Cub Prix: Bagaimana dengan keputusan yang dicatatkan Elly sendiri?
Secara peribadi, saya agak berpuas hati dengan keputusan yang dicapai. Pelarasan jentera mereka dan persediaan yang dilakukan juga agak baik. Cuma mungkin disebabkan kekurangan pengalaman dan tidak menjangkakan saingan yang begitu kompetitif, kepantasan dan ketahanan jentera mereka masih banyak yang perlu dipertingkatkan.
Cub Prix: Selain daripada berlumba, mungkin Elly ada memainkan peranan yang lain bersama pasukan TVS Racing?
Setakat ini masih tidak ada sebarang perjanjian lanjut diantara kami. Cuma melalui perbincangan awal mereka mahu menggunakan khidmat saya sebagai pelumba mereka untuk menyertai perlumbaan akan datang. Selain itu mereka juga ada menyatakan minat untuk beraksi satu musim penuh pada tahun hadapan.
Apa yang kami perbincangkan sebelum ini ialah di mana saya perlu melatih pelumba-pelumba mereka selain perlu memberi tindak balas dan melakukan ujian terhadap jentera mereka.
Cub Prix: Bagaimana dengan rakan sepasukan anda, Jagan Kumar. Apa pendapat Elly tentangnya?
Masih banyak perkara yang perlu diperbaiki. Dia sudah mempunayi asas untuk menjadi pelumba kerana dia turut beraksi dalam perlumbaan tempatan di India dan dengarnya dia merupakan seorang juara di sini. Cuma jika dibandingkan dengan pelumba Asia yang lain, kemahirannya agak ketinggalan. Dia perlu meningkatkan lagi kemahirannya jika mahu menyaingi pelumba-pelumba di peringkat Asia.
Issued by Global PR Sdn Bhd
Copyright to Safe Aim Mutual Sdn Bhd
No comments:
Post a Comment