Musim 2011 merupakan tahun kelima berturut-turut Honda menganjurkan perlumbaan one-make bersama-sama Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS dan setiap tahun ia menjadi satu landasan terbaik buat pelumba-pelumba muda untuk beraksi. Musim ini, saingan semakin hangat dengan kehadiran ramai pelumba muda berbakat kategori Cabaran Honda Wave Junior.
Antara nama yang mencuri perhatian adalah Mohd Rabilfirli Azmin. Pelumba 15 tahun itu membuktikan dirinya sebagai pelumba pilihan untuk membawa pulang piala one-make Honda 2011 setelah memenangi tiga pusingan kejuaraan dan dua kali berada di tempat kedua. Penguasaan Rabilfirli meletakkannya dia kini di kedudukan teratas dalam kategori ini dengan 115 mata.
Namun begitu, walaupun mempunyai kelebihan 25 mata, kedudukan pelumba berasal dari Bukit Mertajam itu masih belum selamat kerana pesaingnya terutama Mohd Zulfakri Rosli dan Mohd Fitri Mohd Sukor masih mempunyai peluang. Kedua-dua pelumba itu kini berada di kedudukan kedua dan ketiga dengan masing-masing mengumpul 90 mata dan 87 mata selepas mempamerkan aksi konsisten dengan lapan kedudukan podium diantara mereka berdua.
Walaupun begitu, permulaan musim Rabilfirli di Kangar tidak begitu baik apabila dia mengalami kemalangan bersama-sama Mohd Azim Rosli ketika sedang dalam perebutan untuk berada di kedudukan pertama. Kedua-dua pelumba ini akhirnya gagal untuk menamatkan perlumbaan.
Muncul juara di Kangar ialah Mohd Arif Abdul Rahman yang bermula di petak ketiga dengan mempamerkan aksi konsisten sehingga ke garisan penamat untuk menewaskan Zulfakri di kedudukan kedua dengan kelebihan 0.710s diikuti Fitri di kedudukan ketiga.
Kecewa dengan keputusan tersebut, Rabilfirli mempamerkan kebangkitan di Batu Kawan (Pusingan 2). Dia menggunakan kelebihan bermula di barisan hadapan (petak kedua) untuk merampas kedudukan pendahulu pada selekoh 1 dan seterusnya mendominasi perlumbaan sehingga ke garisan penamat diikuti Zulfakri dan Arif di tempat kedua dan ketiga.
Pusingan berikutnya di Terengganu menyaksikan persaingan sengit sehingga ke garisan penamat diantara tiga pelumba, Rabilfirli, Fitri dan Mohd Firdaus Zainol. Ketiga-tiga pelumba ini beraksi pada tahap maksimum dengan Rabilfirli yang berada di hadapan berjaya mengekalkan kedudukannya manakala Firdaus merampas kedudukan tempat kedua daripada Fitri pada dua pusingan terakhir.
Sementara itu, Pusingan 4 di Putrajaya pula merupakan satu perlumbaan menakjubkan bagi Rabilfirli. Tidak seperti sebelumnya apabila sentiasa memulakan perlumbaan di barisan hadapan, kali ini dia terpaksa bermula di barisan belakang berikutan aksi buruk sewaktu sesi kelayakan. Namun begitu, dia tetap mempamerkan semangat juang yang tinggi pada sepanjang perlumbaan.
Permulaan yang baik membantu Rabilfirli menuju ke kelompok pertengahan dan selepas itu dia semakin bersemangat untuk mengejar barisan pelumba di hadapan terdiri daripada Fitri, Arif, Mohd Amir Syafiq Abdul Rahman, Mohd Amim Abu Osman, Mohd Amirul Afandy Abdullah dan Mohd Yasir Solahuddin. Nasib Rabilfirli agak baik apabila Amir terjatuh pada pusingan kelima manakala Amirul Afandi dan Yasir terjatuh pada dua pusingan terakhir sekali gus memberi peluang buat Rabilfirli menambah 20 mata apabila menamatkan perlumbaan di tempat kedua di belakang Fitri manakala Arif di tempat ketiga.
Teluk Intan menyaksikan Rabilfirli menemui semula rentak kemenangannya. Sebaik lampu dipadamkan, pelumba ini terus berada di kedudukan paling hadapan sehingga menuju ke garisan penamat. Fitri berada di tempat kedua dan Zulfakri ketiga.
Beberapa minggu selepas itu, berlangsung pula Pusingan 6 di Alor Setar dan prestasi yang ditunjukkan pelumba-pelumba juga semakin meningkat. Gagal memberikan aksi terbaik pada sesi saringan, Rabilfirli terpaksa memulakan perlumbaan di petak ketujuh. Mohd Azim Mohd Rosli yang berada di petak pertama pula dikenakan penalti 30 saat kerana melakukan kesalahan jumpstart.
Ini membolehkan Zulfakri menguasai perlumbaan dengan kelebihan 6.501s di hadapan Rabilfirli yang berada di kedudukan kedua dan tempat ketiga menjadi milik Suhairazu Suhaizat.
Dengan berbaki empat perlumbaan dan 100 mata yang menjadi rebutan, mampukan Rabilfirli mengekalkan kedudukannya daripada dirampas pencabar-pencabar lain?
Issued by Global PR Sdn Bhd
Copyright to Safe Aim Mutual Sdn Bhd
No comments:
Post a Comment