jokisenja header

jokisenja header


Friday, August 26, 2011

FARAH KEMBALI BERAKSI



Farah Melina Ismadi bersedia untuk memberikan cabaran kepada pelumba lelaki apabila membuat kemunculan semula pada Pusingan 7 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2011 yang akan berlangsung di Kluang, Johor, bulan hadapan.

Pelumba wanita berusia 16 tahun ini sudah cukup di kenali di paddok Cub Prix. Kemunculan pertamanya adalah ketika menyertai Cabaran Honda Wave 125-S pada tahun 2008 sebelum beraksi dalam kategori Wira pada tahun berikutnya.

Musim lalu pula Farah membuat keputusan beraksi dalam kategori Cabaran Honda icon di mana dia mempamerkan aksi cemerlang untuk menempatkan diri di atas podium sebanyak kali. Lebih menakjubkan lagi, dia berjaya memecah dominasi para pelumba lelaki untuk menjuarai salah satu perlumbaan tersebut. Walau bagaimanapun, nasib kurang menyebelahi Farah apabila dia terpaksa menarik diri dari empat pusingan terakhir musim lalu akibat patah tangan.

Di sebalik kemalangan itu, minat Farah terhadap dunia perlumbaan tidak pernah padam. Dia mengambil keputusan untuk kembali beraksi bersama pasukan Unisel-Gems dan berharap prestasinya lebih mantap dari tahun lalu.

"Saya tidak sabar untuk kembali beraksi! Ia mengambil masa yang begitu lama sejak kali terakhir saya berlumba. Saya sangat berterima kasih kepada pengurusan pasukan Unisel - GeMS kerana membolehkan saya berlumba semula. Tidak lupa juga kepada keluarga dan rakan-rakan yang sentiasa memberikan sokongan," kata Farah dengan penuh bersemangat.

Pelumba kelahiran Seremban itu menambah, "Sebenarnya, tangan saya sudah sembuh sejak beberapa bulas lepas lagi. Cuma, saya memilih untuk berehat sementara daripada berlumba memandangkan insiden tersebut memberi kesan terhadap diri saya. Namun saya tidak pernah melupakan Cub Prix. Saya sebenarnya mengikuti perkembangan sukan ini sejak awal musim ini lagi.

"Tidak pernah terlepas menyaksikan setiap pusingan perlumbaan menjadikan saya semakin berminat untuk kembali beraksi dan menunggu peluang untuk melaksanakannya. Suatu hari pada awal Julai lepas rakan saya ada mengatakan pasukan Unisel-Gems sedang mencari pelumba baru. Saya tidak melepaskan kesempatan itu dan menghubungi sendiri pengurus pasukan, Profesor Madya Ir. Muhidin Arifin untuk mendapatkan maklumat lanjut. Kemudiannya dia mengaturkan satu sesi ujian dan akhirnya saya diserapkan ke dalam pasukan ini."

Walaupun gembira, Farah akui dia terpaksa bekerja keras terutama dengan tahap kecergasannya dan juga menghadapi persaingan yang semakin sengit dalam kategori Wira. Namun begitu, dia tetap yakin dan optimis terhadap peluang dan kemampuannya.

"Jauh di sudut hati, saya sedar saingan kali ini lebih sengit berbanding dahulu termasuklah apabila Mohd Adib Rosley (Motul Yamaha YY Pang), Zulsyafiz Rosli dan Mohd Amin Azahar dari MOS Malaysia Racing masih beraksi dalam kategori ini. Saya perlu memberi tumpuan penuh dan bekerja keras untuk meningkatkan tahap kecergasan diri. Saya tidak memikirkan tentang gelaran podium kerana masih memerlukan masa untuk kembali menyesuaikan diri dengan Kejuaraan. Sasaran saya ketika ini adalah untuk layak ke perlumbaan akhir dan dapat menamatkan perlumbaan di kalangan 10 pelumba terbaik," jelasnya.

Issued by Global PR Sdn Bhd
Copyright to Safe Aim Mutual Sdn Bhd

No comments:

Post a Comment