Sunday, July 24, 2011
Pusingan ke-6 lebih meriah
Perlumbaan Petronas Cub Prix 2011 di Alor Setar kembali lagi bagi pusingan keenam setelah dua tahun berturut-turut menjadi pembuka tirai sebelum menjelajah ke lokasi-lokasi perlumbaan seterusnya.
Keadaan cuaca panas terik tidak menghalang pengunjung membanjiri gerai di Petronas Cub Prix Malaysia AAM 2011 sambil berpeluang beramah mesra dengan juruhebah serta petugas jualan untuk mendapatkan pelbagai informasi terkini tentang program berkenaan.
Seorang pengunjung yang juga ahli North Suzuki Bikers Club (NSBC) Shah Uda Ismail, 37, berkata, dia bersama 40 lagi ahli kelab seluruh negeri Kedah serta Perlis berkonvoi beramai-ramai untuk memeriahkan lagi lokasi penganjuran.
Menurutnya, Petronas Cub Prix sering menjadi acara yang ditunggu-tunggu oleh kebanyakan ahli kelabnya kerana secara tidak langsung mereka berpeluang menemui sendiri pelumba.
“Aktiviti permotoran sering menjadi kegilaan golongan muda dan melalui penganjuran seperti ini dapat memberi pendedahan berguna kepada mereka.
“Namun sukan ini tidak hanya tertumpu kepada satu golongan sahaja sebaliknya turut diminati oleh pelbagai lapisan masyarakat,” katanya.
Sementara itu, pengunjung berasal dari Yan, Siti Wan Zainab Rosli, 23, berkata, dia amat teruja untuk datang ke litar lumba Petronas Cub Prix 2011 untuk memberi semangat kepada rakan-rakannya yang turut sama menyertai perlumbaan.
Katanya, secara kebetulan dia yang juga bekerja sebagai pembantu jualan di salah sebuah kedai alat ganti motosikal mempunyai ramai kenalan terdiri daripada peminat dunia permotoran.
“Saya amat berbangga melihat prestasi yang ditunjukkan oleh rakan-rakan baik saya dan akan terus memberi sokongan moral kepada mereka supaya terus berusaha meningkatkan kecemerlangan.
“Selain itu saya berharap supaya penganjuran perlumbaan Petronas Cub Prix akan diadakan secara lebih kerap di sini kerana dapat menarik minat remaja tempatan terus meminati dunia permotoran untuk menjadi pelumba profesional,” katanya.
Pengunjung yang berasal dari Pendang, Mohd Saiful Izwan Ibrahim, 17, berkata, melalui penganjuran seperti ini dapat memberi peluang kepada mereka untuk mendapatkan bimbingan mengenai alat ganti yang terbaik untuk digunakan.
“Saya amat gembira kerana berpeluang melihat sendiri perlumbaan Petronas Cub Prix secara dekat kerana selalunya hanya berkesempatan melihat di kaca televisyen sahaja bersama rakan-rakan.
“Melalui penganjuran ini, golongan muda mendapat lebih pendedahan perlumbaan secara selamat dan dapat menyedarkan mereka terhadap risiko berlumba tanpa memakai peralatan keselamatan serta membendung kegiatan mat rempit dalam kalangan belia,” katanya.
Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas AAM 2011 diadakan selama dua hari di mana sesi ujian masa dan sesi pemanas badan memulakan acara pada hari pertama, bermula jam 9 pagi dan berakhir jam 5 petang.
Selepas ini Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas AAM 2011 bakal menemui peminat sukan permotoran di Kluang, Johor pada 24 dan 25 September.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment