jokisenja header

jokisenja header


Monday, July 18, 2011

Fazrul mahu keluar dari bayang Fazli



Fazrul Sham mahu keluar dari bayang abangnya, Fazli.

Ahmad Fazrul Sham mahu lari dari bayangan abangnya yang juga rakan sepasukan, Ahmad Fazli Sham dengan meraih seberapa banyak podium dalam kategori CP130 pada Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS musim 2011.

Setakat ini Fazrul berjaya menaiki podium sebanyak dua kali di Kuala Terengganu (Pusingan 3) dan Putrajaya (Pusingan 4) dan dia mahu meraih kejayaan sekali lagi pada Pusingan 6 yang akan berlangsung di Stadium Darul Aman, Alor Setar, 22 dan 23 Julai ini. 

Fazrul mempunyai peluang untuk menjejakkan kaki di atas podium pada perlumbaan sebelum ini di Teluk Intan namun sedikit kesilapan menyebabkannya terbabas pada selekoh 1 di pusingan pertama dan sekadar menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-11.

Keputusan itu juga menyaksikan pelumba pasukan Pennzoil Fastrac Racing itu jatuh ke kedudukan ketujuh daripada tempat kelima sebelum ini dalam senarai keseluruhan dengan 43 mata. Walau bagaimanapun Fazrul yakin mampu untuk mengubah kedudukannya memandangkan dia sekadar ketinggalan sembilan mata berbanding Fazli yang berada di kedudukan kedua dengan 52 mata.

Mendahului carta keseluruhan CP130 merupakan Norizman Ismail (Harian Metro TEQ SCK Racing) dengan 79 mata dan rakan pasukannya, Mohd Affendi Rosli di menduduki tangga ketiga dengan 51 mata.

Fazrul, 26 tahun yang pernah muncul naib juara keseluruhan  kategori utama tahun 2006 dan 2008 percaya persaingan untuk merebut makhkota Kejuaraan masih terbuka luas.
 
“Kali ini saya mahu bersaing untuk merebut gelaran juara. Saya telah berlumba dalam kategori Expert/CP130 selama lima tahun dan masih belum memenangi sebarang gelaran namun Fazli pula sudah dua kali bergelar juara Expert pada tahun 2007 dan 2008,” kata pelumba kelahiran Taiping itu.

Dia kemudian menjelaskan, “Ini mungkin disebabkan oleh kekurangan pengalaman berbanding Fazli namun selepas beberapa tahun ini, kami kini berada pada tahap yang sama. Berbaki kima pusingan lagi, saya masih mempunyai masa untuk mengejarnya dan tiada sebarang arahan daripada pasukan ataupun siapa yang menjadi pelumba pilihan. 

Keupayaan jentera kami berada pada tahap yang sama, begitu juga dengan corak tunggangan jadi kami akan berjuang sedaya upaya pada setiap pusingan.”

Bercakap mengenai sasarannya di Alor Setar, dia berkata, “Saya mahu menamatkan perlumbaan di kalangan lima pelumba terbaik dan saya akan cuba untuk menaiki podium.
 
"Namun, saya perlu bersedia secukupnya terutama dari segi persediaan mental di samping tidak melakukan kesilapan sepertimana yang berlaku ketika di Teluk Intan.

“Permulaan yang baik merupakan antara kekuatan yang ada pada saya namun tetap perlu berhati-hati supaya kelebihan ini bakal memakan diri saya sendiri.”

No comments:

Post a Comment