jokisenja header

jokisenja header


Sunday, July 17, 2011

M-SEKI LIBERTY HONDA LEBIH BERSEDIA

Pasukan M-Seki Liberty Honda lebih bersedia untuk tampil dengan aksi lebih hebat pada saingan separuh musim kedua Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2011 bermula pada Pusingan 6 di Alor Setar, Kedah, 22 dan 23 Julai ini.


Pengurus pasukan, Chong Kok Ming menjelaskan pasukan mereka menggunakan masa rehat yang panjang untuk meningkatkan prestasi jentera Honda bagi menandingi kemampuan pasukan lain yang seringkali mendominasi kategori CP115.

Dia percaya dengan kuasa jentera yang dipertingkatkan, dua pelumbanya, Mohd Emir Firdaus Hasan dan Sasitharen Sukumaran mampu untuk berada di barisan hadapan dan bersaing untuk kedudukan podium.

"Sepanjang tempoh rehat tiga minggu ini, kami tidak duduk diam sahaja. Kami sebaliknya terus melakukan ujian dan membangunkan jentera Honda kami bagi menghadapi pusingan berikutnya. Pelumba-pelumba juga bekerja keras menjalani latihan kecergasan dan memperbaiki kelemahan corak tunggangan mereka. Dengan itu kami cukup yakin untuk menghadapi saingan di Alor Setar," kata Chong Kok Ming.

Dia turut yakin Emir dan Sasitharen dapat mencapai keputusan yang lebih baik pada separuh musim kedua saingan tahun 2011 ini. "Emir merupakan pelumba paling berpengalaman dan kini sedang berada di kedudukan ketiga keseluruhan dalam kategori CP115 dengan 54 mata. Permulaan musimnya agak perlahan namun selepas itu mula menunjukkan potensi sebenarnya dengan memenangi kejuaraan di Putrajaya walaupun bermula di petak ke-12. Tidak dinafikan ia turut dibantu oleh nasib apabila pelumba di hadapan terjatuh namun dia sekali lagi membuktikan kemampuannya dengan menamatkan perlumbaan di Teluk Intan menduduki tempat keempat.

"Sasi pula semakin hampir menjejakkan kaki ke podium namun nasib tidak menyebelahinya. Dia sentiasa berada di kelompok hadapan pada beberapa pusingan namun disebabkan terlalu mencuba, ia menyebabkannya sentiasa terkeluar daripada perlumbaan. Memang bagus dia berusaha keras namun pada waktu yang sama dia perlu tenang mengawal keadaan sewaktu perlumbaan. Diharapkan Sasi dapat mempelajari sesuatu dan tidak mengulangi kesilapannya di Alor Setar," kata pengurus pasukan tersebut merujuk kepada Sasi yang kini berada di tangga ke-14 keseluruhan dengan 24 mata.

Ketika ini, Shahril Izzuwan Mohd Noor dari pasukan PETRONAS Syntium Mpoto Yamaha AHM sedang mendahului kedudukan dengan 81 mata diikuti Zaidy Mohd Zaifaizal (Motul Yamaha YY Pang Racing) di tangga kedua dengan 76 mata.

Bercakap mengenai pelarasan jentera pasukannya di Alor Setar, pengurus ini berkata, "Pusingan 6 ini merupakan perlumbaan yang penuh dengan teknikal. Honda memang diketahui begitu pantas ketika di laluan lurus yang panjang namun ia tidak terdapat di Alor Setar. Kami menumpukan kepada pengawalan jentera kerana di sini terdapat banyak selekoh. Tentang kemampuan enjin, kami yakin ia dapat mempamer prestasi baik walaupun tidak banyak laluan lurus di sini."

Issued by Global PR Sdn Bhd
Copyright to Safe Aim Mutual Sdn Bhd

No comments:

Post a Comment