jokisenja header

jokisenja header


Friday, July 1, 2011

Kelainan MadAss 125

IA agak jarang ditemui menyusuri jalan raya. Namun, jika ada yang terserempak dengannya, rupa bentuknya yang ranggi pasti menarik perhatian. Walaupun nampak garang, harus tahu bahawa itu bukan sifat sebenar motosikal Momos MadAss 125.
Jentera yang diedar oleh Mofaz Motosikal Sdn. Bhd. (Momos) sebenarnya bukanlah baru dalam pasaran. Kehadirannya sudah melepasi tempoh setahun.
MadAss 125 merupakan jentera underbone rekaan sebuah syarikat Jerman iaitu SFM GmbH. Syarikat tersebut merupakan antara pengeluar motosikal tertua dunia yang berkecimpung dalam aspek penghasilan basikal elektrik dan moped.
Bagi model MadAss 125, ia memiliki rekaan Jerman tetapi dihasilkan oleh pihak 5R Motors (Guangzhou) Co. Ltd. di China. Untuk pasaran Malaysia, jentera ini dibawa masuk dari China dan pemasangan dibuat di Bukit Lanjan, Selangor oleh Momos.
MadAss 125 dilengkapi enjin bersesaran 119.7cc. Ia merupakan enjin gred dua binaan syarikat pengeluar enjin Lifan Industry (Group) Co. Ltd. di China. Motosikal empat lejang itu dilengkapi kotak gear empat kelajuan dan menggunakan sistem karburetor.
Enjin tersebut dikatakan mampu menghasilkan kuasa 11 kuasa kuda (hp). Ada dua cara untuk menghidupkan enjin iaitu melalui penendang kaki atau butang penghidup.
Sekali pandang model MadAss 125, ia kelihatan seolah-olah kompleks. Sedangkan hakikatnya motosikal itu sebenarnya cukup ringkas.
Tiada double stand, ruang simpanan barang, penghadang udara mahupun bakul. Sebaik sahaja menaiki motosikal underbone ini, kaki terpaksa dijengket sedikit untuk mengimbangi jentera meskipun ketinggian saya melebihi 170 sentimeter (sm).
Hari pertama menunggang MadAss 125, lengan mula terasa lenguh. Posisi tempat duduknya yang sedikit tinggi, ditambah dengan kedudukan hendalnya yang rendah membuatkan tubuh penunggang seolah-olah terpaksa menganjak ke hadapan.
Tidak konvensional
Menyusuri kesesakan jalan raya tidak menjadi masalah besar. Tidak jauh bezanya dengan motosikal lain. Tetapi cabaran mengendalikan MadAss 125 akan muncul ketika mahu mencelah di sebalik kenderaan yang berbaris rapat.
Hendalnya yang agak panjang itu menyukarkan pergerakan, terutama ketika terpaksa mengelak daripada melanggar cermin sisi kenderaan. Namun, jika anda mempunyai skil tunggangan yang bagus dan biasa menunggang motosikal, masalah itu tidak perlu dibimbangkan.
METER digital diketengahkan tetapi tiada petunjuk minyak.


Bersifat tidak konvensional, kunci motosikal MadAss 125 terletak di sebelah kiri lampu hadapan. Untuk menghidupkannya, klac tangan perlu ditarik sebelum menekan butang penghidup. Enjinnya juga mudah untuk dihidupkan.
Memandangkan enjinnya cuma bersesaran 125cc, maka deruman bunyi ekzos dihasilkan tidaklah padat. Mungkin mengambil inspirasi daripada sebuah superbike, corong ekzosnya diletakkan di bahagian bawah tempat duduk.
Saya membawa jentera ini ke laluan sepanjang Bukit Ampang menghala ke Batu 14 di Cheras, Kuala Lumpur. Pendek kata, pengendalian MadAss 125 yang seberat 100 kilogram itu cukup mudah dan lancar.
Padanan suspensi teleskopik untuk tayar hadapan dan penyerap hentak tunggal boleh laras pada roda belakang menawarkan tahap keselesaan tunggangan yang masih boleh diterima.
Penggunaan tayar belakang bersaiz 120/70 dengan sport rim 16 inci meningkatkan lagi kestabilannya sewaktu mengambil selekoh. Kelajuan maksimum MadAss 125 sewaktu diuji mencapai 108 kilometer/sejam (km/j). Hipotesis mudah yang boleh dibuat ialah, jentera itu sebenarnya dibina untuk tunggangan secara santai, bukan merempit tidak tentu pasal.
Sewaktu menunggang MadAss 125 pada kelajuan kira-kira 80km/j dan pendikit minyak dilepaskan sedikit, kedengaran beberapa letupan kecil yang datangnya daripada ekzos. Muncung ekzos juga hitam kerana wujudnya lebihan karbon. Jadi, penalaan minyak dan udara perlu dilakukan semula.
MadAss 125 didatangkan dengan dua set brek cakera. Bahagian depan bersaiz 260 milimeter(mm) dengan angkup dua omboh. Roda belakang pula bersaiz 215 mm dengan angkup satu omboh. Sewaktu menunggang pada hari kedua, saya dapati brek belakang sudah berbunyi, Rupa-rupanya pad brek sudah bergesel dengan cakeranya. Mujur ia tidak melekat terus ketika memecut.
Satu kekurangan paling nyata pada model ini ialah ketiadaan paparan status minyak pada meter digital. Difahamkan bahawa motosikal dengan kapasiti 5.1 liter petrol itu perlu diisi semula apabila jarak perjalanan menghampiri 130 kilometer (km).
Jika sudah kehabisan minyak, anda masih boleh bergerak kira-kira tiga km lagi kerana motosikal itu memiliki simpanan minyak. Anda hanya perlu memulas penutup minyak berdekatan karburator.
Menunggang pada waktu malam, motosikal itu harus diberi pujian. Lampu hadapannya cukup cerah kerana menggunakan lampu kembar berkuasa 55watt. Lampu belakang LED dan lampu isyarat membeloknya, meskipun kecil paparannya cukup jelas.
Secara umumnya, cuma beberapa penambahbaikan perlu dilaksanakan, terutama aspek promosinya. Ini kerana masih ramai yang kurang mengenali MadAss 125.
MadAss 125 ditawarkan pada harga bersih RM5,453 seunit. Untuk maklumat lanjut, hubungi MVAugusta Flagship Store/Momos Taman Tun Dr. Ismail, Petaling Jaya di talian 03-77258057.

1 comment: