jokisenja header

jokisenja header


Sunday, June 19, 2011

Adib intai peluang catat kejayaan



Pengurus pasukan Motul Yamaha YY, Pang Yok You memberikan tips kepada Mohd Adib Rosley.

Kurang berpuas hati dengan pencapaiannya pada empat pusingan lepas, Mohd Adib Rosley mengintai peluang untuk menjuarai Pusingan 5 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Teluk Intan pada 25 dan 26 Jun ini.

Juara bertahan kategori Wira 2010 itu hanya menjejakkan kaki di atas podium ketika pusingan tiga di Terengganu manakala keputusan terbaik selain itu hanya di tangga keempat di Putrajaya (Pusingan 4). 

Pada pusingan pembuka tirai di Kangar pula dia gagal melayakkan diri dan di Batu Kawan (Pusingan 2) dia muncul tempat kelima. Dengan 40 mata setakat ini, pelumba Motul Yamaha YY Pang itu sekadar menghuni tangga keempat dalam senarai keseluruhan kategori Wira.

Mendahului kedudukan keseluruhan Kejuaraan ketika ini pula merupakan Mohd Hafiza Rofa (Faito YSP Racing) dengan 75 mata diikuti Zulsyafiz Rosli (MOS Malaysia Racing) dengan 64 mata manakala rakan pasukan Adib, Nurahmad Fariznazreen ketiga dengan 59 mata.

Membandingkan keputusan musim lalu di mana dia menamatkan saingan diatas podium sebanyak lapan pusingan berturut-turut (Pusingan 3 hingga Pusingan 10) dan enam daripadanya sebagai juara, Adib mengakui pencapaiannya musim ini cukup mengecewakan. 

Jelasnya, “Keputusan pada tahun lalu begitu menakjubkan namun pada musim ini saya menghadapi banyak kesukaran untuk melakukannya lagi.”

Adib menjelaskan kegagalannya banyak berpunca daripada masalah mendapatkan pelarasan jentera terbaik dan juga saingan musim ini yang semakin sengit.
 
“Jentera Yamaha saya tidak mempunyai kelebihan apabila berada pada kelajuan maksimum berbanding lawan seperti Hafiza dan Zulsyafiz.

“Tambahan pula, kemampuan pelumba-pelumba muda pada ketika ini begitu baik dan memberikan saingan sengit berbanding musim lepas. Saya akui mempunyai sedikit kesukaran untuk menghadapi mereka,” kata pelumba 17 tahun itu.

Walau bagaimanapun, Adib tetap yakin dengan peluang untuk muncul juara di Teluk Intan memandangkan ia antara litar kegemarannya. 

“Kadangkala nasib memainkan peranan dalam perlumbaan namun ia tidak semestinya sebagai penentu kepada kejayaan. Untuk menang, pelumba perlu mempunyai keazaman dan perlu dahagakan kejayaan. Saya gembira kerana pusingan berikutnya berlangsung di Teluk Intan.

“Di litar ini terdapat banyak selekoh-selekoh berkelajuan tinggi dan saya cukup menggemarinya. Jentera Yamaha saya pula menunjukkan peningkatan yang konsisten dan saya mempunyai lebih banyak pengalaman berbanding pelumba-pelumba lain. 

"Gabungan semua elemen ini diharap dapat membantu saya untuk mencatat kemenangan minggu depan.”  

Bercakap tentang peluang mempertahankan gelarannya, Adib berkata, “Sukar untuk saya katakan kerana ketika ini ketinggalan sebanyak 35 mata berbanding Hafiza dan saingan sudah memasuki pertengahan musim. 

"Perbezaan mata ini agak sukar untuk saya kejar melainkan Hafiza gagal mengutip sebarang mata. Walaupun peluang agak tipis namun saya percaya dapat mengejarnya. 

"Yang penting adalah untuk mencatatkan kemenangan. Saya akan berusaha sebaik mungkin bagi mempertahankan gelaran musim lalu,” jelas Adib.

Thursday, June 16, 2011



 
Cub Prix menghampiri pertengahan musim apabila pusingan kelima berlangsung di Teluk Intan pada 25-26 Jun.

Saingan semakin ketat apabila Kejuaraan Cub Prix AAM  Malaysia PETRONAS 2011 menghampiri separuh musim kedua dengan pelaksanaan Pusingan 5 di Teluk Intan, Perak pada 25 hingga 26 Jun ini. 

Selaku tuan-rumah buat kali kedua, perlumbaan di Teluk Intan amat penting sekali buat para pelumba kerana ia bakal menentukan siapa yang layak untuk mengejar makhota keseluruhan.

Setakat ini, saingan kategori CP130 telah menyaksikan empat pemenang berbeza. Pelumba berusia 16 tahun, Mohd Ramdan Mohd Rosli (PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM) memenangi pusingan pembukaan di Kangar manakala Pusingan 2 di Batu Kawan dikuasai Ahmad Fazli Sham (Pennzoil Fastrac Racing).
Pelumba Harian Metro TEQ SCK Honda Racing, Azlan Shah Kamaruzaman dan sepasukan, Norizman Ismail pula meraih kejayaan podium pertama di Kuala Terenganu (Pusingan 3) dan Putrajaya (Pusingan 4) masing-masing.

Menjelang Pusingan 5 minggu hadapan, Norizman mempunyai kelebihan enam mata selaku pendahulu dengan 54 mata setakat ini. Rakan sepasukan, Mohd Affendi Rosli pula berada di tangga kedua dengan 48 mata manakala juara 2007 dan 2008, Fazli di kedudukan ketiga, 46 mata. Walaupun gagal menamatkan perlumbaan lalu, Abdul Muhaimin Roslan (Yamaha Maju Motor Racing) masih mampu untuk berada di kedudukan keempat dengan 44 mata.

Pengarah Promosi Safe Aim Mutual Sdn Bhd (SAM), Ron Hogg berkata pusingan di Teluk Intan ini bakal menyaksikan persaingan sengit terutamanya di dalam kategori CP130. “Perebutan takhta kejuaraan semakin hebat dan setakat ini, kedudukan pendahulu seringkali bertukar tangan bermula dari Ramdan dikuti Fazli, Muhaimin dan Norizman. Jurang mata juga begitu hampir apabila hanya 10 mata membezakan mereka berempat. Siapa dapat menguasai pusingan akan datang berpeluang untuk mengubah situasi ini,” ujar Ron.

“Saya akui Cub Prix semakin menarik dan semakin sukar dijangka dan saya turut percaya saingan bukan sekadar di kalangan empat pelumba ini. Pelumba yang gagal beraksi dengan baik ketika di Putrajaya pasti akan bekerja keras dan menebus kehampaan serta kegagalan yang dialami. Saya menjangkakan Pusingan 5 ini akan menyajikan cabaran yang cukup menarik dan peminat-peminat tidak seharusnya melepaskan peluang untuk melihat mereka berlumba,” jelas Ron.

Dalam kategori CP115 pula, Zaidy Mohd Zaifaizal (Motul Yamaha YY Pang) berada di kedudukan teratas dengan 76 mata, 15 mata mendahului Shahril Izzuwan Mohd Noor (PETRONAS Syantium Moto Yamaha AHM) di kedudukan kedua dengan 61 mata.

Sementara itu di dalam kategori Wira, pelumba Faito YSP Racing, Mohd Hafiza Rofa menguasai perlumbaan kategori Bawah-17 itu dengan 75 mata diikuti Zulsyafiz Rosli (MOS Malaysia Racing) dan Nurahmad Fariznazreen (Motul Yamaha YY Pang) masing-masing dengan 64 mata dan 59 mata.

Persaingan Fitri dan Azhar berterusan di CP115




Image © CubprixMsia 
Penunggang Harian Metro TEQ SCK Honda Racing, Mohd Fitri Ashraf Razali mengambil selekoh semasa pusingan ke-4 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2011 yang berlangsung di Putrajaya.

PERAK - Persaingan sengit diantara dua pelumba, Mohd Fitri Ashraf Razali dan Mohd Azhar Abdul Jalil berterusan apabila mereka mara ke Pusingan 5  Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2011.
Banyak kisah melibatkan kedua-dua pelumba ini dimana mereka bersaing sengit dalam kategori Wira musim lalu sebelum mereka dinaikkan ke kelas CP115 musim ini.
Fitri  ketika ini berada di tangga kesembilan carta keseluruhan dengan 24 mata, manakala Azhar dari pasukan Motul Yamaha YY Pang pula berada di kedudukan ke -10 keseluruhan dengan 23 mata.
"Semoga saya dapat memperoleh keputusan yang lebih baik di Teluk Intan minggu depan," kata Fitri yang berasal dari Rawang, Kuala Lumpur.
Fitri kemudiaannya menambah, "Saya dan Azhar masih kurang pengalaman berbanding pelumba lain yang jauh lebih lama beraksi di dalam Cub Prix. Namun saya  percaya tidak lama lagi kami dapat menunjukkan peningkatan sekaligus menambah keyakinan."
Bagi kategori CP115, Zaidy Mohd Zaifaizal sedang mendahului kedudukan dengan 76 mata diikuti  Shahril Izzuwan Mohd Noor (PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM)  kedua dengan 61 mata dan seorang lagi pelumba Motul Yamaha YY Pang, Mohd Adli Salihin di kedudukan ketiga dengan 47 mata.
Pusingan kelima  Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2011 dijadualkan akan berlangsung di Teluk Intan, Perak pada 25 dan 26 Jun ini.

Amirul curi tumpuan di Litar Silverstone




Amirul Hafiq Md Azmi dalam persediaan menghadapi saingan Kejuaraan Redbull MotoGP Rookies Cup tahun depan.

KUALA LUMPUR- Aksi di Litar Silverstone hujung minggu lalu turut menyelitkan aksi bintang dalam pembikinan negara, Amirul Hafiq Azmi selain daripada Muhammad Zulfahmi Khairuddin. 

Amirul, 14, merupakan penunggang kelahiran Ampang beraksi untuk perlumbaan sokongan Piala Rookie Red Bull MotoGP yang disertai seramai 20 anak muda dari seluruh dunia. 

Amirul terpilih mewakili negara selepas menjalani ujian pemilihan di Sepanyol tahun lalu dan ini merupakan aksi perlumbaan ketiganya selepas perlumbaan Jerez dan Estoril. 

Sekalipun tanpa kemudahan MotoGP di tanahair. pelumba cilik itu hampir menaiki podium di Silverstone tetapi dipintas pelumba lain pada saat akhir atas faktor pengalaman. 

"Mereka memang hebat dan memiliki banyak pengalaman. Permulaan saya perlahan dan saya cuba mengejar mereka semasa perlumbaan," jelasnya yang ditemani bapanya sepanjangd i Eropah.

Monday, June 13, 2011

ARRC: AZLAN BAWA PULANG DUA PODIUM



Azlan Shah Kamaruzaman (Boon Siew Honda Racing Malaysia) menghadiahkan kejayaan buat negara apabila berada di tempat kedua pada Perlumbaan 1 dan Perlumbaan 2 kategori SuperSports 600cc Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS (ARRC) yang berlangsung di Litar Sentul, Jakarta minggu ini.

Kemenangan itu sekali gus mengatasi pencapaian yang dilakukan ketika pusingan pembukaan di Litar Antarabangsa Sepang, April lepas. Pada Perlumbaan 1, Azlan menamatkan perlumbaan sebanyak 25 pusingan dengan catatan 24:39.742s manakala menamatkan Perlumbaan 2 dengan masa keseluruhan 24: 37.052s.

Mohd Zamri Baba (PETRONAS Yamaha Malaysia) turut beraksi cemerlang apabila berada di tempat ketujuh pada Perlumbaan 1 dengan catatan 24:48.427s selain berjaya memperbaiki kedudukan di Perlumbaan 2 setelah berada di kedudukan kelima dengan catatan masa keseluruhan 24:50.164s.

Ahmad Fuad Baharudin (Bike A.R.T Kawasaki Racing) berada di kedudukan ke-10 pada Perlumbaan 1 dengan catatan 24:56.753s sementara pada Perlumbaan 2 Hafizh Syahrin Abdullah (PETRONAS Syntium Moto Yamaha Raceline) muncul pelumba ketiga terbaik negara apabila menduduki tempat kelapan dengan masa keseluruhan 24:54.483s. Kejayaan itu meletakkan Azlan di tangga kedua keseluruhan dengan mengumpul 72 mata, Zamri di kedudukan keenam dengan 37 mata dan Fuad di kedudukan kelapan dengan 31 mata.

Dalam kategori Underbone 115cc, Shahril Izzuwan Mohd Noor dari PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM muncul sebagai pelumba terbaik Malaysia apabila menamatkan perlumbaan Pusingan 1 di tempat kelapan dengan masa keseluruhan 20:02.626s manakala memperbaiki kedudukannya di tempat keenam pada Perlumbaan 2 dengan masa keseluruhan 20:17.742s. Pada Perlumbaan 1, Mohd Affendi Rosli (Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing) menamatkan perlumbaan di tempat kesembilan dengan masa keseluruhan 20:02.740s diikuti Mohd Zaqhwan Zaidy (Pachie Yuzy Honda Racing) ditempat ke-11 dengan masa keseluruhan 20:02.792s.

Rakan pasukan Affendi, Norizman Ismail yang gagal menamatkan perlumbaan pada Perlumbaan 1 berada di tempat kesembilan dengan masa keseluruhan 20:18.326s diikuti Affendi yang berada di kedudukan ke-12 dengan masa keseluruhan 20:24.356s.

Shahril kini di kedudukan kedua keseluruhan dengan 58 mata manakala Mohd Rozaliman Zakaria (ZAR Racing Motorsport) yang tidak beraksi di Indonesia berada di kedudukan keenam dengan 36 mata. Pelumba Motul Yamaha YY Pang Racing, Mohd Rozaiman Mohd Said di kedudukan ketujuh dengan 28 mata.

Untuk maklumat lanjut serta keputusan penuh, sila layari laman web rasmi Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS (ARRC) di www.arrc.com.my




Issued by Global PR Sdn Bhd
Copyright to Safe Aim Mutual Sdn Bhd

Thursday, June 9, 2011

Pasangan Yamaha Thailand terlepas perlumbaan di Indonesia


 
Penunggang Chalermpol Polamai (no65) dan Decha Kraisart (no24) mengambil selekoh semasa pusingan pertama Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) PETRONAS di Sepang pada 1 Mei 2011.

Dua pelumba pasukan Yamaha Thailand Racing, Chalermpol Polamai dan Decha Kraisart mereka tidak akan menyertai pusingan kedua Kejuaraan  Motosikal Asia (ARRC) PETRONAS.
Kedua-dua mereka dinasihatkan berehat dan tidak sempat pulih pada perlumbaan di Litar Sentul, Indonesia dari 10 hingga 12 Jun ini.
Chalermpol tidak dapat beraksi akibat patah kedua-dua pergelangan tangan sewaktu perlumbaan di Litar Sepang April lepas, manakala Decha mengalami kemalangan  di Litar Autopolis, Jepun minggu lalu.
"Kemalangan di Sepang merupakan insiden paling buruk yang pernah berlaku sepanjang karier perlumbaan saya," ujar Chalermpol yang perlu berehat untuk tempoh  dua atau tiga bulan.
Chalermpol mendapat tempat kedua pada Perlumbaan Pertama di Sepang yang lalu.
Bagi juara bertahan, Decha pula dijangka akan sempat sembuh pada pusingan ke-3 yang akan berlangsung di India Ogos ini.
"Saya terpaksa menangguhkan kempen tahun ini hingga pusingan ke-3 yang akan berlangsung di India," kata Decha yang juga juara SuperSports 600cc pada 2007 dan  2010.
Kedudukan ketika ini menyaksikan Pelumba handalan Jepun, Katsuaki Fujiwara mendahului senarai keseluruhan kategori SuperSports 600cc dengan 50 mata diikuti  Azlan Shah Kamaruzaman (Boon Siew Honda Racing Malaysia) dengan 32 mata.
Manakala pelumba 17 tahun, Michael Edwards Jones (PETRONAS Syntium Moto Yamaha Raceline) dikedudukan ketiga dengan 24 mata. Decha dan Chalermpol terikat di  kedudukan keempat apabila masing-masing mengutip 20 mata.

AZLAN BERSEMANGAT TINGGI HADAPI SENTUL



Pelumba SuperSports 600cc Malaysia, Azlan Shah Kamaruzaman cukup bersemangat untuk menghadapi Pusingan 2 Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS (ARRC) di Litar Antarabangsa Sentul, Indonesia hujung minggu ini.

Pelumba Boon Siew Honda Racing Malaysia itu mempamerkan aksi terbaik apabila berjaya menamatkan kedua-dua perlumbaan SuperSports 600cc di tempat ketiga pada Pusingan 1 di Litar Sepang April lepas. Kemenangan itu sekaligus membolehkan Azlan berada di kedudukan kedua keseluruhan dengan 32 mata, 18 mata di belakang pendahulu Kejuaraan, Katsuaki Fujiwara (Manual-Tech Beet Kawasaki Racing) dengan 50 mata.

Tempat ketiga pula menjadi milik pelumba baru, Michael Edwards Jones (PETRONAS Syntium Moto Yamaha Raceline) dengan 24 mata manakala dua pelumba Yamaha Thailand Racing, Decha Kraisart dan Chalermpol Polamai terikat di kedudukan keempat, masing-masing dengan 20 mata.

Azlan yang turut mencatat kejayaan manis di Litar Sentul tahun lepas berkata, "Musim lepas di Indonesia saya memperoleh keputusan yang baik apabila berjaya menamatkan Perlumbaan 1 dan Perlumbaan 2 di kedudukan kedua. Pada Pusingan 1 di Litar Sepang musim ini saya turut berjaya menaiki podium. Oleh itu saya berharap dapat mengekalkan rekod baik ini dan sudah pasti sasaran utama saya adalah untuk berada di atas podium."

Pelumba berusia 27 tahun itu menambah, "Kejuaraan masih di peringkat awal dan strategi pada musim ini adalah untuk berusaha dengan lebih gigih dan mempamerkan rentak konsisten pada setiap pusingan. Saya turut berhasrat untuk muncul juara pada mana-mana pusingan namun apa yang lebih penting adalah dapat mengutip mata di setiap perlumbaan memandangkan kedudukan keseluruhan pasti berubah jika gagal menamatkan perlumbaan."

Bertanyakan tentang pesaing utamanya, Azlan menjelaskan pelumba Manual-Tech Beet Kawasaki Racing (Fujiwara dan M. Fadli) serta bekas rakan sepasukannya, Mohd Zamri Baba mampu untuk merencatkan impiannya.

"Tanpa kehadiran dua pencabar utama dari Yamaha Thailand Racing, Decha dan Chalermpol, saya menjangkakan Fujiwara, pelumba Indonesia, Fadli dan Zamri pasti akan menjadi penghalang utama. Saya ingin menewaskan Fujiwara yang berpengalaman beraksi di Kejuaraan SuperSports Dunia namun ia bukan satu tugas yang mudah. Rakan pasukannya, Fadli juga mempunyai kelebihan kerana beraksi di gelanggang sendiri.

"Bagi Zamri pula, dia perlu mengutip seberapa banyak mata bagi meneruskan cabaran mengejar kedudukan keseluruhan, jadi pasti dia akan mencuba sebaik mungkin," jelas Azlan yang telah terlibat dalam saingan SuperSports 600cc selama lima tahun itu. Pencapaian terbaik apabila menduduki tangga ketiga keseluruhan pada tahun 2008 dan 2010.


Issued by Global PR Sdn Bhd
Copyright to Safe Aim Mutual Sdn Bhd

Tuesday, June 7, 2011

Azlan harapkan tuah beraksi di Litar Sentul


AZLAN tidak beraksi pada Pusingan 4 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas di Putrajaya, 1 Jun lalu.
PELUMBA berpengalaman negara, Azlan Shah Kamaruzaman terpaksa menangguhkan percutian untuk berbulan madu bagi memberi tumpuan meraih kejayaan pada Pusingan 2 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) Petronas di Litar Sentul, Jakarta penghujung minggu ini.
Pelumba pasukan Boon Siew Honda Racing Malaysia itu yang baru melangsungkan perkahwinan pada 1 Jun lalu, memilih untuk memberi tumpuan dalam misinya memperbaiki kedudukan serta usahanya meraih gelaran sulung di pentas Asia bagi kategori Su- perSports 600cc.
"Perkara terhebat ketika ini adalah memberi tumpuan serius kepada kejuaraan musim ini," kata Azlan yang mendapat sokongan kuat daripada isteri tercinta, Nabila Mohd. Naseem Akhtar, 24.
"Saya fikir, perkara terbaik yang perlu saya lakukan ketika ini ialah bersama pasukan saya dan cuba memberi tumpuan sepenuhnya di Litar Sentul."
Azlan, 25, yang terpaksa melupakan aksi Pusingan 4 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas di Putrajaya pada 1 Jun lalu, turut mengharapkan tuah beraksi Litar Sentul kali ini.
Litar Sentul tidak pernah menghampakan Azlan untuk meraih mata berharga termasuk podium seperti yang dilakukan pada perlumbaan musim lalu.
Dia berjaya meraih tempat kedua (Perlumbaan 1) dan tempat ketiga (Perlumbaan 2) ketika beraksi bersama pasukan lamanya, Petronas Yamaha Malaysia.
Sekalipun litar sepanjang 3.964 kilometer itu tidak asing pada sebahagian besar pelumba tanah air, ia bukan tugas mudah, terutamanya ia bakal menjadi harapan besar buat pelumba-pelumba tempatan dan penonton tempatan.
"Kali ini saya berharap skripnya masih sama dan kalau boleh saya mahu muncul juara di sini," ujar Azlan yang kini menduduki tempat kedua keseluruhan dengan 38 mata.
Dia ketinggalan di belakang pelumba Jepun, Kat- suaki Fujiwara dari pasukan Manual-Tech Beet Kawasaki yang unggul dengan 50 mata.
Selain mengharapkan tuah litar, Azlan turut menyandarkan pengalaman luas rakan sepasukannya seperti Suhadi Ali Rahmat dan keupayaan pelumba muda, Mohd. Emir Firdaus Hasan untuk membantunya dalam usaha mengekang cabaran pelumba tuan rumah, Jepun dan Thailand.
"Dari segi pengalaman, Suhadi memiliki kelebihan di Litar Sentul.
"Selain itu, saya mengharapkan kepakaran dua jurutera Honda dari Jepun dapat menyediakan pelarasan terbaik bagi memberi tentangan kepada pencabar lain," katanya.
Sebaik berakhir perlumbaan di Indonesia, Azlan akan ke Litar Suzuka, Jepun untuk menjalani latihan di 'Negara Matahari Terbit' itu menjelang perlumbaan 4Hours Suzuka yang akan berlangsung bulan depan.

Sunday, June 5, 2011

Zulfahmi peroleh pengalaman pahit di Catalunya



Muhammad Zulfahmi Khairuddin gagal menguasai litar basah dan lembab di GP Catalunya

Pelumba kategori 125 cc negara, Muhammad Zulfahmi Khairuddin berputih mata apabila gagal menamatkan aksinya dalam GP Catalunya yang juga merupakan pusingan kelima kejohanan dunia. 

Pelumbaan muda negara itu memulakan perlumbaan di tempat ke-19 dengan memintas beberapa pelumba untuk berada di kelompok lima terbaik. 

Namun kedudukan itu tidak kekal lama apabila Zulfahmi terjatuh sebelum menamatkan pusingan pertama sekali gus terkeluar daripada saingan perlumbaan. 

Menurut ketua eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali berkata, "Memang sedikit kecewa tapi kita boleh nampak Zulfahmi memang agresif dan berusaha keras.

"Kejadian ini bagus untuk pengalamannya berlumba di atas litar yang basah dan lembab."

"Saya jangka dia sempat sembuh sebelum perlumbaan di litar Silverstone, British minggu depan. 

Perlumbaan di Catalunya itu dimenangi pelumba tuan rumah, Nicolas Terol meskipun menamatkan saingan dibelakang Johann Zarco yang dikenakan 20 saat penalti kerana memotong dengan bahaya.

Thursday, June 2, 2011

Dani Pedrosa terlepas beraksi di tempat sendiri



Pelumba Sepanyol, Dani Pedrosa ketika beraksi pada sesi latihan bebas di litar Le Mans pada 13 Mei 2011.

MADRID - Dani Pedrosa bakal terlepas beraksi di tempat sendiri, litar Catalunya pada perlumbaan MotoGP hujung minggu ini berikutan patah tulang bahu kanan ketika terbabit dalam kemalangan di Le Mans, 15 Mei lalu.
Perkara itu disahkan oleh jurucakap pasukan Repsol Honda. Pedrosa yang menjalani pembedahan berharap dia dapat turun beraksi pada perlumbaan di Barcelona nanti.
"Saya akan berusaha untuk memastikan saya akan cepat sembuh. Saya fikir saya terpaksa berehat buat sementara waktu untuk memulihkan kembali kecederaan ini, "kata Pedrosa.
"Sejak awal tahun ini, saya menghadapi banyak masalah dan juga pembedahan. Saya benar-benar percaya, saya patut berhenti sementara waktu untuk pulih sepenuhnya.
"Kalau nak diikutkan saya memang sukakan  Montmelo (litar Catalunya), lebih-lebih lagi ramai peminat yang mungkin hadir sekiranya saya di litar. Saya hanya berjuang untuk kejayaan dan menawarkan aksi yang terbaik untuk mereka," tambahnya.
Sebelum ini Pedrosa turut menjalani pembedahan pada bahu kiri pada April sebelum dia memenangi Grand Prix Portugal.

Pengalaman sandaran Fahmi di Catalunya


Penunggang AirAsia-SIC-Ajo, Md Zulfahmi Khairuddin mengambil selekoh semasa GP Perancis yang berlangsung di litar Le Mans pada 15 Mei 2011. Gambar arkib.

KUALA LUMPUR - Kejayaan manis Md Zulfahmi Khairuddin mengutip mata pertama pada penampilan sulung GP Motor Dunia tahun lalu di GP Catalunya menjadi sandaran untuknya  sekali lagi mengulangi prestasi hebat yang dipamerkan.
Mata pertama yang dikutip Fahmi sekaligus telah mencuri perhatian peminat dan pemerhati yang sering mengikut perkembangan semasa penunggang 125cc negara tersebut.
Pengalaman dan semangat yang dipamerkan oleh anak kelahiran Banting tersebut di litar itar Montmelo pada tahun lalu menjadi perangsang untuk dia mengekalkan momentun sepanjang perlumbaan musim ini.
Jika prestasi semasa menjadi ukuran, Fahmi dilihat meningkat secara mendadak kerana sudah mengutip 11 mata di dalam empat pusingan yang telah dilaluinya.
Berbanding musim lalu, Fahmi hanya mengutip empat mata secara keseluruhan sepanjang saingan perlumbaan.
Penghijrahan ke pasukan baru iaitu AirAsia-SIC-Ajo nyata membantu Fahmi memahami serta mendapatkan prestasi maksimum daripada jentera yang digunakannya ketika ini.
Selepas berehat hampir dua minggu, Fahmi dilihat berada di dalam keadaan terbaik untuk mengumpul serta mengutip mata di Catalunya pada hujung minggu ini.

Bakat baru sukan lumba motor


SEBANYAK sepuluh pusingan untuk enam kategori pelumba dipertandingkan dalam kejohanan Cub Prix AAM Malaysia Petronas tahun ini.

TUMPUAN takwim pelancongan negara kini semakin lebar skopnya. Selain lokasi-lokasi menarik, acara sukan juga mendapat tempat di hati pelancong. Perahu layar, golf dan lumba kereta formula satu kian serasi sebagai santapan yang menggamit jutaan pelancong dari dalam dan luar negara.
Fokus juga harus diberikan kepada sukan lumba motosikal yang berjaya mengasah bakat-bakat pelumba handalan untuk beraksi ke peringkat antarabangsa.
Usaha mencungkil bakat baru sukan lumba motosikal digiatkan menerusi pelbagai acara pertandingan termasuklah Kejohanan Cub Prix AAM Malaysia Petronas.
“Jika diperhatikan pada tempoh awal penganjuran sukan permotoran ini, umur minimum pelumba dihadkan di antara 22 hingga 23 tahun.
“Kini dengan adanya Kejohanan Cub Prix AAM Malaysia Petronas bakat-bakat muda baharu dapat dicungkil dan dibentuk lebih awal,” kata Pengarah Promosi Cub Prix AAM Malaysia Petronas, Ron Hogg.
Hogg ketika ditemui di Putrajaya sempena Hari Belia Negara baru-baru ini menjelaskan, kebanyakan pelumba muda negara mempunyai potensi yang cerah untuk diasah ke peringkat lebih tinggi.
“Tidak mustahil mereka juga boleh menyandang gelaran sebagai pelumba profesional jika lebih tumpuan berkenaan skil dan teknik pemanduan diterapkan.
“Malah, dengan adanya sokongan berterusan daripada ibu bapa peluang lebih cerah menanti di hadapan,” ujarnya.
Pelumba wanita
Kejohanan Cub Prix AAM Malaysia Petronas yang dianjurkan sejak tahun 1994 itu berjaya melahirkan ramai pelumba tersohor. Antaranya termasuklah M. Meganathan, Chia Tuck Cheong dan Ahmad Fazli Sham.
Wujudnya kategori Wira, Piala Honda Wave Junior Challenge dan Piala Yamaha EgoLC Petronas sekurang-kurangnya menjadi satu platform baru buat remaja bawah 17 tahun beraksi di litar lumba.
Bagi Siti Norafizah Muhammad, 16, pengalaman diejek dan diperli rakan sekolah membakar minatnya dalam sukan tersebut.
“Saya ingin buktikan bahawa perempuan juga mampu lakukan apa yang lelaki boleh buat.
“Pernah juga kawan-kawan sekolah cakap saya seperti lelaki sebab sertai sukan bermotor tapi saya tak kisah, lagi diejek lagi saya bersemangat!” ceritanya.
Tambah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kelapa Sawit, Kulai, Johor itu, minatnya dalam bidang permotoran didorong oleh bapanya, Muhammad Nusi, 50.
“Setiap hujung minggu atau cuti sekolah saya akan ikut bapa menonton sukan motosikal lasak.
“Saya cuba berjinak-jinak menunggang motosikal mini,” katanya yang menunggang motosikal buat pertama kali ketika berusia sembilan tahun.
Murah dengan senyuman, tambah pelumba kategori Wira yang mesra disapa panggilan Fifie itu, dia sentiasa bersedia berdepan dengan sebarang kemungkinan seperti kemalangan atau terjatuh ketika berlumba.
“Ini tahun pertama saya terlibat dengan Kejohanan Cub Prix AAM Malaysia Petronas.
“Kenangan paling pahit apabila terjatuh beberapa kali ketika pusingan pertama dan kedua di Kangar, Perlis dan Batu Kawan, Pulau Pinang awal tahun ini,” ujarnya mengimbas detik-detik kekalahannya dalam misi pertama memburu juara.
Bagi Mohd. Zaqhwan Zaidi, 16, penyertaannya dalam sukan lumba motor berlandaskan minat dan bukannya untuk mengasah skil bertarung di jalan raya.
Menurut pelumba kategori CP 130 yang masih belajar di SMK Bandar Tasik Kesuma, Semenyih, Selangor itu, lebih banyak kelebihan diperoleh apabila berlumba di lokasi yang dikhaskan berbanding di jalanan.
“Litar lumba dilengkapi dengan pelbagai ciri keselamatan termasuk marsyal yang sentiasa bersedia dan risiko kecelakaan juga amat rendah.
“Tapi jika di jalan raya lebih banyak risiko yang perlu ditanggung terutama yang merempit,” jelasnya yang optimis dengan peluang di litar lumba motor.
Penglibatan Zaqhwan dalam Kejohanan Cub Prix AAM Malaysia Petronas bermula tahun lalu apabila namanya tersenarai antara enam pelumba muda yang dicari.
“Pada mulanya saya tidak sangka akan terpilih tapi dengan kepercayaan yang diberi, saya akan berusaha lebih gigih untuk bersaing dengan rakan-rakan hingga ke peringkat antarabangsa,” getusnya yang menjadikan pelumba ternama dunia Valentino Rossi sebagai idolanya.
Bagi Zaqhwan, kemenangan di tempat ketiga di Kangar, Perlis pada pusingan pertama bulan Mac lalu banyak menyuntik semangat untuk meneruskan perjuangan dalam bidang lumba motosikal.
Beraksi di litar lumba bagi Amirul Hafiq Mohd. Azmi, 15, banyak memberinya peluang untuk mengembara ke tempat idamannya.
“Tahun ini saja saya sudah menjejakkan kaki ke New Zealand, Portugal dan Sepanyol untuk menyertai kejuaraan di sana.
“Sejujurnya impian saya mahu menjejakkan kaki ke negara Eropah telah tercapai,” bicaranya.
Namun, hakikat yang terpaksa ditelan Amirul Hafiq dia terpaksa menangguhkan pelajarannya seketika demi mengejar peluang tersebut.
“Memang sedih sebab terpaksa tangguhkan pelajaran tahun ini, tambah-tambah lagi saya akan menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR).
“Tetapi, insya-Allah tahun depan saya akan menyambung pelajaran yang tertangguh ini dan akan berusaha lebih gigih,” katanya yang menyimpan misi untuk meneruskan cita-cita ayahnya untuk berjaya dalam lapangan ini.
Juara lumba motor
Bekas pelajar SMK Taman Tasik Ampang, Kuala Lumpur yang merupakan anak kepada bekas pelumba motosikal negara Mohd. Azmi Yaakob, 46, itu telah mula bertapak dalam arena permotoran seawal usia enam tahun.
Kemudian, pada usia 13 tahun, remaja penuh iltizam itu berjaya melakar nama selepas beberapa kali menjuarai kejohanan lumba motor peringkat bawah 17 tahun.
Namun, bagi Amirul Hafiq pencapaian terbaik setakat ini adalah sewaktu kejohanan lumba motosikal di Jerez, Sepanyol awal tahun ini.
“Saya tersenarai dalam sepuluh terbaik pada ujian kelayakan masa namun saya masih belum puas.
“Seboleh-bolehnya saya ingin mencapai kedudukan lebih tinggi dan ingin sekali mendengar lagu kebangsaan kita, Negaraku berkumandang di negara luar,” tuturnya.
Kecederaan yang dialami Amirul Hafiq pada awal tahun ini cukup membakar iltizamnya untuk menyumbang bakti dalam sukan lumba motor.
“Pada bulan Januari, ketika berlatih di litar lumba motosikal di New Zealand saya terjatuh dan menyebabkan tangan sebelah kiri saya retak.
“Kemudian, dua minggu selepas itu kaki kiri saya pula patah akibat terjatuh dari motosikal,” ulasnya mengenai sejarah kecelakaan terburuk sepanjang penglibatan dalam sukan lumba motosikal.
Menjadikan Danny Pedrosa sebagai idolanya, Amirul Hafiq juga menyimpan impian untuk memiliki sebuah motosikal berkuasa tinggi.
“Setiap hasil kemenangan disimpan oleh ayah dan digunakan selepas tamat persekolahan.
“Saya juga bercita-cita mahu membeli sebuah motosikal berkuasa tinggi,” ujarnya.
Amirul Hafiq juga menolak untuk mencari cinta pada peringkat ini kerana bimbangkan prestasi di litar lumba.
“Cinta akan membuatkan kita emosi sekali gus akan menyebabkan kita terjejas ketika berlumba, seelok-eloknya fokuskan kepada kejayaan yang hendak dicapai dan sukses dalam pelajaran terlebih dahulu,” katanya yang bakal berentap di England pada bulan ini.