jokisenja header

jokisenja header


Thursday, February 24, 2011

YUZY PERTARUHKAN PELUMBA MUDA


Kecewa dengan persembahan terumbang-ambing ekoran penarikan diri mengejut dari pihak Modenas musim lalu, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini menjanjikan episod baru bagi pasukannya yang akan mengharungi musim ke-18 siri Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS bersama jentera Honda.

Kini bergelar Pachie Yuzy Honda Racing, pasukan itu tampil dengan kudrat pelumba muda. Mohd Zaqhuan Zaidi dan Mohd Amirul Musa pernah tampil dalam arena Cub Prix musim lalu akan terus bersaing di dalam CP130 sementara Mohd Afiq Rahmat dan Mohd Amirul Azizi akan menyahut cabaran kelas CP115.

Dengan rakan teknikal dan formasi pasukan baru, Yuzy menaruh harapan tinggi bahawa pasukan bimbingannya akan mencapai sasaran terbaik dalam saingan perlumbaan tempatan.

Bekas pelumba MotoGP tanahair itu meluahkan rasa terharunya terhadap sokongan yang diberikan beberapa pihak untuk pasukannya terus berlumba musim ini.  "Pertama kali, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak pengurusan Honda yang telah memberi kami peluang bagi membuktikan krebiliti sebenar kami di atas trek dan begitu juga Pachi Racing yang tidak pernah penat menyokong kami sejak tiga musim lalu," ujarnya.

Menurut Yuzy lagi, "Biarpun kami terpaksa memikul satu tanggungjawab yang berat untuk mengekalkan reputasi baik Honda, saya tidak gentar dan yakin kami mampu menjadi salah satu pencabar kuat dan konsisten musim ini dengan jaminan sokongan teknikal dari mereka. Ia berkisar antara kerja keras dan keazaman yang tinggi. Oleh itu, saya harap semua pihak (krew pasukan) akan memberi yang terbaik sepanjang masa."

Ketika mengulas pertaruhannya terhadap barisan pelumba muda musim ini, Yuzy menjelaskan, "Sekalipun status mereka agak mentah, Zaqhuan, Amirul Musa, Afiq dan Amirul Azizi, memiliki potensi tinggi. Mereka mudah dibentuk (dilatih) dan mampu melangkah lebih jauh selepas ini.




"Selain itu, mereka (pelumba) juga tidak memiliki banyak pengalaman berlumba dan peralihan kepada jentera baru mudah diterima buat mereka. Ambil Zaqhuan sebagai contoh. Musim lepas dia menamatkan perlumbaan pusingan terakhir di tempat kelima bersama jentera Honda dan ia adalah musim pertama dia dalam Cub Prix dan juga saingan CP130," ujar Yuzy.

Sehingga kini, Pachie Yuzy Honda Racing telah menjalani dua sesi ujian dan pengurus pasukan itu cukup berpuas hati dengan perkembangan semasa. Bagaimanapun, Yuzy tidak meletakkan sebarang sasaran tinggi memandangkan ia adalah musim pertama bersama jentera tersebut dan banyak perkara yang harus dipelajari.

"Kami menyaksikan peningkatan yang cukup memberangsangkan biarpun baru menjalani dua sesi latihan. Zaqhuan dan Amirul menunjukkan perkembangan positif dengan jentera Honda biarpun kedua-duanya pelumba ini masih dalam proses penyesuaian.  Selain itu, mekanik pasukan juga kini semakin memahami bagaimana menyelaraskan enjin-enjin baru ini.

"Dalam pada itu, jentera CP115 kami masih memerlukan perhatian. Ia mungkin mengambil sedikit masa bagi memahami kekuatan dan kelemahan motosikal ini namun saya yakin kami akan menemui pelarasan sesuai sebelum musim ini bermula," jelas Yuzy lagi.

No comments:

Post a Comment