Hafizh Syahrin Abdullah mengambil selekoh semasa pusingan perlumbaan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS yang berlangsung pada musim lepas di Padang Kota, Pulau Pinang.
Penunggang Petronas Syntium Moto Yamaha Raceline, Hafizh Syahrin Abdullah mempamerkan kehebatannya setelah menjuarai perlumbaan kategori CP130 Pusingan 7 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas di Stadium Kluang, Johor, semalam.
Hafizh menamatkan perlumbaan 15 pusingan dengan catatan masa keseluruhan 11 minit 49.723 saat diikuti Mohd Zamri Baba dari pasukan Petronas Syntium Moto Yamaha AHM kedua, 11:51.917s dan Ahmad Fazli Sham (Pennzoil Fastrac Racing) ketiga, 11:52.215s.
Ia kejayaan bermakna buat Hafizh sejak kembali beraksi pada Pusingan 5 di Teluk Intan pada Jun lalu sekaligus melonjak ke kedudukan ke-12 dari 15 dengan 54 mata.
"Terima kasih kepada krew pasukan kerana membantu kejayaan saya ini," kata Hafizh.
Kedudukan pendahulu dalam kategori CP130 ketika ini dikuasai penunggang Norizman Ismail dengan kutipan 94 mata diikuti Fazli Sham dengan 79 mata dan Affendi Rosli yang mengutip 63 mata.
Sementara itu, dalam kategori CP115, Shahril Izzuwan Mohd Noor meraih kemenangan keduanya musim ini sekali gus berjaya menebus kegagalan menamatkan perlumbaan pada Pusingan 6 di Alor Setar, Julai lepas.
Dalam kategori Wira pula, hasrat Zulsyafiz Rosli untuk bergelar juara keseluruhan semakin hampir apabila berjaya meraih kemenangan ketiganya.
Pusingan kelapan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas 2011 akan berlangsung di Stadium Hang Jebat, Melaka pada 29 dan 30 Oktober depan.
No comments:
Post a Comment