jokisenja header

jokisenja header


Thursday, September 29, 2011

DEBARAN SEMAKIN MEMUNCAK BUAT ZAMRI, AZLAN DAN HAFIZH




Debaran kian memuncak buat tiga calon Wildcard Moto2, Mohd Zamri Baba, Azlan Shah Kamaruzaman dan Hafizh Syahrin Abdullah sepanjang sesi ujian pemilihan yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang, hari ini.
 
Trio pelumba Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) PETRONAS bersaing sengit bagi merebut dua tiket wildcard yang disediakan buat pelumba negara pada saingan Grand Prix Motosikal (MotoGP) Malaysia tahun ini. Sesi ujian hari ini merupakan sesi kedua menggunakan dua jentera Moriwaki selepas sesi pertama berlangsung pada 22 dan 23 Ogos lepas.
 
Pengarah Promosi Two Wheels Motor Racing Sdn Bhd (TWMR), Ron Hogg menjelaskan kedua-dua sesi ini berlangsung mengikut jadual ditetapkan di bawah bimbingan Moriwaki Engineering.

"Semuanya berjalan mengikut apa yang kita rancangkan. Kami berjaya mengumpul semua data daripada ketiga-tiga pelumba setakat ini dan kita harapkan mereka dapat menunjukkan lebih banyak peningkatan pada sesi ujian hari esok," kata Ron.
 
Menjawab tentang adakah pemilihan pelumba bergantung kepada catatan masa yang dilakukan, Ron menjelaskan ia merupakan sebahagian daripada kriteria yang ditetapkan namun menegaskan ia bukan sebagai jaminan utama kerana beberapa faktor lain turut diambil kira.
 
"Pada ketika ini, kami masih belum menetapkan siapa yang akan terpilih kerana ia bukan hanya bergantung kepada catatan yang mereka lakukan. Beberapa faktor lain turut diambil kira seperti tahap kecergasan pelumba, stamina,  disiplin, prestasi semasa dan paling penting adalah aksi konsisten yang dapat ditunjukkan dan juga kemampuan mereka untuk memahami jentera dan arahan yang diberikan."
 
Di tanya mengenai pelumba mana yang berpeluang cerah menerima tiket wildcard, Ron menambah "Kami masih mempunyai satu ujian pada hari esok dan selepas itu barulah akan mendapat gambaran jelas pelumba manakah yang paling layak diberikan tiket wildcard tersebut. Setakat ini, semuanya masih belum dapat dipastikan memandangkan ketiga-tiga pelumba ini mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing.Selepas sesi ujian hari esok, kami memerlukan sedikit masa untuk membuat analisis terhadap kemampuan dan prestasi setiap pelumba."

 
Issued by Global PR Sdn Bhd
Copyright to Two Wheels Motor Racing Sdn Bhd 


No comments:

Post a Comment