jokisenja header

jokisenja header


Monday, June 11, 2012

Pusingan Ke 5 - Metro Y-TEQ SCK Honda Racing Takluk Podium Teluk Intan



Metro Y-TEQ SCK Honda Racing mencatat kemenangan bergaya apabila menguasai ketiga-tiga kedudukan podium kategori CP130 pada Pusingan 5 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas 2012 di Teluk Intan, Perak, semalam.
Norizman Ismail mempertahankan kemenangan di Teluk Intan musim lalu selepas menamatkan perlumbaan 15 pusingan dengan masa keseluruhan 14 minit 36.764 saat manakala Azlan Shah Kamaruzaman, kedua, 14:36.844s. Pelumba berusia 18 tahun yang beraksi bagi musim pertama dalam kategori perdana, Mohd Fitri Ashraf Razali meraih podium keduanya apabila sekali lagi menduduki tempat ketiga dengan catatan 14:37.144s. Mohd Affendi Rosli turut menceriakan kem pasukan apabila menamatkan perlumbaan di kedudukan keempat.

Untuk rekod, pasukan Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing adalah pasukan kedua berjaya menyapu bersih ketiga-tiga kedudukan podium selepas pasukan Maju Motor yang diwakili Ahmad Fazli Sham, Ahmad Fazrul Sham dan Mohd Faiz Nawawi melakukannya pada 2008 di Litar Sepang.
Cukup berpuas hati dengan kemenangan diraih, Norizman berkata, kemenangan itu dihadiahkan buat pengurus dan juga seluruh krew pasukan yang bekerja keras selama ini untuk menyediakan jentera terbaik buat mereka. “Selain itu, kemenangan ini juga dihadiahkan buat Affendi sempena dengan hari lahirnya pada hari ini (semalam). Jika dia turut menaiki podium, pasti ia lebih bermakna, namun begitu, kejayaan ini adalah kejayaan kami semua,” katanya.

“Walaupun kami mendahului dari awal perlumbaan, ia bukan kemenangan mudah kerana Azlan, Fitri dan Affendi sentiasa mencuba dan mencari ruang untuk memintas saya terutama pada saat-saat akhir perlumbaan. Syukurlah tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku. Kemenangan ini amat penting bagi saya memandangkan prestasi saya pada empat pusingan lalu tidak begitu baik. Malah kemenangan ini sebenarnya kembali menghidupkan peluang untuk mempertahankan gelaran juara keseluruhan yang dimenangi musim lalu.” Norizman kini berada di kedudukan keempat dalam senarai keseluruhan dengan 61 mata.

Sementara itu, gelaran naib juara hari ini membantu Azlan kembali merampas kedudukan pendahulu dengan mengumpul 80 mata, 10 mata mengatasi Mohd Zaqhwan Zaidi (Pachie Yuzy Honda Racing) yang gagal menamatkan perlumbaan manakala Ahmad Fuad Baharudin (Faito Motobert Racing) ketiga, 62 mata.
Gandingan Azlan dan Fitri pula membantu Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing 2 menerajui carta kedudukan berpasukan keseluruhan dengan 128 mata diikuti Faito Motobert Racing (Ahmad Fazrul Sham/Ahmad Fuad) kedua, 119 mata manakala Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing 1 (Norizman/Affendi) ketiga, 101 mata.

Dalam kategori CP115, Mohd Amirul Ariff Musa menghadiahkan kemenangan bermakna buat pengurus pasukannya, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini apabila meraih gelaran juara buat pertama kali di tempat kelahiran bekas pelumba MotoGP negara itu.
Pelumba Pachie Yuzy Honda Racing itu menamatkan perlumbaan 12 pusingan dengan masa keseluruhan 11:56.336s menewaskan Ahmad Abdul Kadir (Apido Yamaha Boon Kui Racing) kedua, 11:58.823s manakala pendahulu keseluruhan, Mohd Iskandar Raduan (Petronas Syntium Moto Yamaha AHM) ketiga, 12:01.167s.

Dalam kategori Wira, Fakhrusy Syakirin Rostam meraih kemenangan ketiga peribadi dan kedua secara berturut-turut pada musim ini selepas menamatkan perlumbaan sebanyak 10 pusingan dengan catatan masa keseluruhan 9:57.055s.

Pelumba AAP Mazoil Armstrong Motorsport itu sebelum ini meraih gelaran juara pada Pusingan 2 di Kuala Terengganu dan Pusingan 4 di Banting menewaskan Tengku Amirul Haffiruddin dari pasukan Motul Yamaha YY Pang yang menamatkan perlumbaan dengan masa keseluruhan 9:59.002s. Tempat ketiga menjadi milik pelumba persendirian, Khairul Idham Pawi, 10:08.581s.

No comments:

Post a Comment