jokisenja header

jokisenja header


Tuesday, May 22, 2012

Banting venue pusingan keempat



Bandar Mahkota di Banting, Selangor ditetapkan sebagai gelanggang bagi pusingan keempat Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas 2012 pada 26 dan 27 Mei ini bagi menggantikan venue asal di Putrajaya atas faktor ruang. 

Ron Hogg, Pengarah Promosi Safe Aim Mutual Sdn Bhd (SAM), iaitu promoter Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas, berkata saban tahun, ruang yang diperlukan untuk penganjuran Cub Prix semakin bertambah luas.

"Sebab itulah kami memilih untuk memindahkan perlumbaaan ke Banting, kerana di sana memenuhi apa yang diperlukan. 

"Semua ini diambil kira tidak hanya daripada jumlah kehadiran penonton pada setiap pusingan Cub Prix, malah perkara-perkara lain seperti aspek keselamatan, keperluan padok dan juga hal-hal logistik," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Litar baru ini mempunyai jarak 1.3km, iaitu litar terpanjang bagi musim ini selepas Litar Sepang (Selatan) pada November depan.
    
Hogg berkata semua pelumba akan bersaing secara adil tanpa sebarang kelebihan kepada mana-mana pasukan menerusi litar tersebut. 

"Kali terakhir perlumbaan berlangsung di litar baru adalah sewaktu di Kangar di mana ketika itu berlaku perubahan terhadap arah laluan litar. Suasana perlumbaan yang dipamerkan cukup mencabar di mana pelbagai kejutan telah berlaku dalam setiap kategori perlumbaan," katanya.

Beliau berkata walaupun perubahan saat akhir ini menyebabkan lebih banyak tugasan dan kerja keras yang perlu dilakukan, namun untuk tempoh jangka panjang, ia sebenarnya dapat meningkatkan tahap persaingan dalam kejuaraan ini.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi Safe Aim Mutual Sdn Bhd (SAM) di talian 03-8733 8787 atau layari laman web rasmi Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas di www.malaysiancubprix.com.

Wednesday, May 9, 2012

TANGGUNGJAWAB BESAR BUAT SASITHAREN



TANGGUNGJAWAB besar digalas Sasitharen Sukumaran pada musim 2012 apabila Boon Siew Honda Sdn Bhd meletakkan sasaran tinggi kepada pelumba 20 tahun itu pada aksi pertamanya di Piala Impian Asia (ADC) yang berlangsung seiring dengan Kejuaraan Motosikal Asia Petronas (ARRC) di Litar Antarabangsa Sepang, minggu ini.
Kelas perlumbaan baru dijalankan dengan sokongan penuh Honda Motor Co Ltd, Jepun adalah program biasiswa kepada 16 pelumba muda dari seluruh Asia mempamerkan kebolehan menunggang jentera Honda CBR250R, model pengeluaran menyamai kelas Moto3 yang diperkenalkan di MotoGP tahun ini.

Pengurus Boon Siew Honda Motorsports, Rodney Peh berkata, pelumba yang lebih mesra dengan panggilan Sasi dipilih membawa cabaran Malaysia dalam kategori ADC selepas membuktikan kemampuan menduduki tangga kesembilan keseluruhan dengan dua kali menaiki podium kategori CP115 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas.
Pelumba kelahiran Puchong turut mempamerkan prestasi cemerlang apabila menduduki tangga kedua keseluruhan SuperSports B di Malaysian Super Series (MSS) musim lalu berada di belakang juara, Ahmad Nashrul Baharudin (Bike ART Kawasaki Racing) walaupun kekurangan pengalaman menunggang jentera SuperSports.

Berdasarkan pencapaian itu, Rodney berpendapat Sasi mampu beraksi lebih cemerlang.

“Sasi menunjukkan banyak peningkatan musim lalu. Kami menyediakan program buatnya dan berjaya melakukannya dengan baik terutama selepas menduduki tangga kedua keseluruhan kategori SuperSports B di MSS.
“Pencapaiannya di Cub Prix tahun lalu juga agak baik cuma nasib tidak begitu menyebelahinya,” katanya.

Rodney berkata, Piala Impian Asia adalah kategori baru di Malaysia namun perlumbaan dengan jentera CBR250R bukanlah sesuatu yang baru di kebanyakan negara luar.
“Negara jiran seperti Thailand, Jepun dan Indonesia sudah memperkenalkan kategori ini dan memberi kelebihan kepada mereka berbanding Sasi. “Namun berdasarkan kesungguhan dan prestasi tahun lalu, ia bukan satu masalah kepadanya.

“Kami yakin dia boleh bersaing menamatkan perlumbaan di kalangan lima pelumba terbaik dan jika berjaya menaiki podium, ia satu bonus kepada kami. Cuma dia perlu terus bekerja keras dan mempamerkan aksi konsisten.” Sementara itu Sasi berkata: “Saya sangat teruja untuk beraksi namun pada masa sama mula berasakan tekanannya kerana bakal bersaing dengan pelumba berbakat dari seluruh Asia.

“Tambahan pula saya masih kekurangan pengalaman menunggang jentera silinder tunggal seperti ini. “Namun begitu, dengan peluang untuk menguji jentera Moto3 menanti pelumba terbaik ADC tahun ini, saya tidak mahu melepaskan peluang ini.”

Monday, May 7, 2012

Kejayaan Zulfahmi Bawa Anjakan Baru Dalam Arena Permotoran Negara



Kejayaan pelumba Moto3 negara Zulfahmi Khairuddin menduduki tempat keempat pada Grand Prix Portugal di Estoril semalam membawa satu anjakan baru kepada arena permotoran negara, kata Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
Bercakap sebelum menjawab pertanyaan di Dewan Negara pada Isnin, beliau berkata kejayaan pelumba kelahiran Banting, Selangor itu menamatkan perlumbaan di tempat keempat daripada 12 pusingan dengan disaingi nama-nama besar dalam arena tersebut membuktikan Malaysia tidak ketandusan bakat untuk diketengahkan menjadi pelumba bertaraf antarabangsa.
Katanya kejayaan itu tentunya memberi makna yang cukup mendalam kepada Zulfahmi yang sebelum ini hanya bergelar 'mat rempit', manakala bagi kementerian, menamatkan perlumbaan di tempat keempat telah membawa Malaysia ke tahap lebih baik dalam arena sukan bermotor.
"Sebelum saya mengemukakan jawapan, saya ingin merakamkan tahniah kepada seorang pelumba motosikal negara, Zulfahmi Khairuddin yang semalam telah menamatkan perlumbaan tempat keempat di Litar Estoril, Portugal.
"Dalam kalangan pelumba seluruh dunia yang bertanding, beliau telah membawa nama Malaysia ke tahap terbaik dalam arena motosport, khususnya dalam kategori motosikal," katanya sebelum menjawab pertanyaan Senator Rohani Abdullah di Dewan Negara di sini.
Ahmad Shabery berkata Zulfahmi adalah seorang anak muda yang dulunya merupakan seorang 'mat rempit' yang telah diberi kesempatan untuk membina kemampuannya dengan diberi tajaan tertentu yang akhirnya telah meletakkan beliau diiktiraf sebegai seorang daripada pelumba terbaik dalam arena itu ketika ini.
"Usaha kementerian dalam memajukan sukan bermotor tidak terhenti setakat itu sahaja di mana ketika ini terdapat 10 anak muda berusia antara 18 hingga 20 tahun sedang dilatih dan dikembangkan bakat mereka untuk diketengahkan menjadi pelumba bertaraf dunia," katanya.
Walaupun cita-cita untuk menjadi pelumba pertama Malaysia menaiki podium pada perlumbaan motosikal dunia tidak kesampaian, kedudukan tempat keempat itu merupakan posisi paling cemerlang dalam karier Zulfahmi selepas beraksi pada tahun ketiga dalam saingan Moto3 bersama pasukan AirAsia-Sic-Ajo.
Pada perlumbaan itu, Zulfahmi memulakan perlumbaan dari petak kelima, namun pada pusingan kedua dia menduduki tempat keenam sebelum kembali merampas kedudukan tersebut dan melonjak ke tempat keempat pada pusingan kesembilan.
Pada pusingan ke-11 dia berjaya memintas Salom untuk menduduki tempat ketiga namun ketika berbaki satu pusingan lagi dia dipintas semula pelumba Sepanyol itu.
Berhubung pertanyaan Rohani adakah kerajaan bercadang menyediakan kemudahan litar 'motocross' di setiap daerah bagi mengelakkan kegiatan mat rempit, Ahmad Shabery berkata buat masa ini kementerian tidak mempunyai kemampuan untuk berbuat demikian.
"Tetapi kementerian sentiasa bekerjasama dengan banyak pihak termasuk swasta dan NGO bagi mengadakan program yang disebut sebagai win-win situation yang menggunakan litar-litar motocross sedia ada termasuk litar di Bandar Puncak Alam, Selangor; Kuala Ketil, Kedah; Sungai Panching, Pahang dan di Juru, Pulau Pinang," katanya. 

Wednesday, May 2, 2012

ELLY RAIH KEMENANGAN PERTAMA DI HALAMAN SENDIRI


Beraksi di halaman sendiri memberi kelebihan buat Elly Idzlianizar Ilias untuk meraih kemenangan pertamanya musim ini dalam kategori CP130 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2012 yang berlangsung di litar Stadium Utama Kangar, Perlis, hari ini.


Selain kemenangan peribadi pertama musim ini, Elly turut menghadiahkan gelaran juara pertama buat pasukannya, Suzuki Fortyone Racing dalam kancah saingan kategori perdana.

Elly menamatkan perlumbaan 15 pusingan dengan catatan masa keseluruhan 11 minit 31.487s mengatasi dua pelumba Faito Motobert Racing, Ahmad Fazrul Sham dan Ahmad Fuad Baharudin. Fazrul menamatkan perlumbaan di tangga kedua dengan masa 11:34.583s manakala Fuad di kedudukan ketiga, 11:35.502s.

Bagi Elly, tidak ada apa yang lebih manis baginya selain daripada berjaya menghadiahkan kemenangan ini kepada seluruh pasukan dan juga ahli keluarga serta peminat-peminat yang hadir memberikan sokongan. "Beraksi di halaman sendiri membakar semangat dan menambahkan keyakinan kepada saya. Tambahan pula saya tidak mahu mengecewakan sokongan dan harapan daripada mereka semua. Saya juga mengucapkan berbanyak terima kasih kepada seluruh ahli pasukan yang sentiasa bekerja keras untuk mendapatkan pelarasan jentera terbaik sejak saingan pusingan pertama lagi," jelas Elly yang menunggang jentera Suzuki buat musim pertama sepanjang penglibatannya dengan kejuaraan ini.

Mengulas tentang perlumbaan, Elly berkata, "Keadaan litar licin akibat hujan memberi banyak kelebihan kepada saya memandangkan saya memang cukup gemar beraksi di atas litar yang basah. Jika di ukur dari segi prestasi jentera, sebenarnya keadaan kami semuanya hampir sama sahaja jadi saya menggunakan kelebihan litar basah ini untuk mengatasi pelumba-pelumba lain terutama sewaktu memintas Fazrul pada pusingan keempat," jelas Elly.  

Kemenangan Elly bagaimanapun tidak menggugat kedudukan Azlan Shah Kamaruzaman (Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing) dalam senarai keseluruhan sekali pun juara Pusingan 2 di Kuala Terengganu itu sekadar menamatkan perlumbaan di tempat kesembilan. Azlan kekal teratas dengan mengumpul 54 mata diikuti Mohd Zaqhwan Zaidi (Pachie Yuzy Honda Racing) kedua dengan 66 mata. Fuad yang mempamerkan prestasi konsisten dengan berada di kelompok lima pelumba terbaik pada setiap perlumbaan musim ini berada di tangga ketiga, 38 mata.

Kejayaan dua pelumba Faito Motobert Racing menaiki podium pada hari ini membantu melonjakkan kedudukan mereka ke tangga pertama dalam senarai Anugerah Berpasukan keseluruhan dengan mengumpul 71 mata diikuti Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing (Azlan/Mohd Fitri Ashraf Razali) di kedudukan kedua dengan 66 mata. Mengekori di tangga ketiga pasukan Pachie Yuzy Honda Racing (Zaqhwan/Wan Mohd Hadri Wan Mokhtar), 52 mata.

AMIRUL CATAT KEMENANGAN SULUNG



Kategori CP115 menyaksikan Mohd Amirul Ariff Musa akhirnya meraih kemenangan pertama dalam karier perlumbaannya sejak mula beraksi dalam Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS pada tahun 2008.

Pelumba Pachie Yuzy Honda Racing itu menamatkan perlumbaan 12 pusingan dengan masa keseluruhan 9:39.338s meninggalkan Ahmad Abdul Kadir (Apido Yamaha Boon Kui) di kedudukan kedua, 9:41.741s diikuti Mohd Emir Firdaus Hasan (M-Seki Liberty Honda Racing) ketiga, 9:43.126s.

Mengakui begitu gembira dengan kemenangannya, Amirul berkata, "Saya sangat-sangat berterima kasih kepada seluruh pasukan terutama pengurus, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini yang banyak membimbing saya selama ini sehingga akhirnya berjaya meraih gelaran juara yang pertama di sini. Begitu juga dengan sokongan ibu bapa yang terus memberikan dorongan terhadap karier perlumbaan saya," jelas pelumba 21 tahun itu.

Kemenangan ini meletakkan Amirul naik ke kedudukan ketiga keseluruhan dengan 36 mata. Mohd Iskandar Raduan (PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM) yang sekadar menamatkan perlumbaan di kedudukan kelapan kekal mendahului senarai dengan memungut 53 mata manakala Ahmad di tangga kedua dengan 46 mata.

PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM (Iskandar/ Shahril Izzuwan Mohd Noor) terus mendahului kedudukan Anugerah Berpasukan Keseluruhan dengan mengumpul 87 mata diikuti M-Seki Liberty Honda Racing (Emir/Sasitharen Sukumaran) di tangga kedua, 53 mata dan Pachie Yuzy Honda Racing (Amirul/Mohd Rozaliman Zakaria) ketiga, 48 mata.

PERSENDIRIAN MILIK KHAIRUL AZIZI DI KANGAR

'Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih,' itulah kata pepatah yang menjadi senjata utama juara kategori Persendirian pusingan ketiga yang berlangsung di Stadium Utama Kangar, hari ini.

Meski diasak kuat oleh pencabar utamanya, Hilmi Affan Abd Malik, Khairul Azizi Abd Mansor bijak menjarakkan jenteranya sejauh mungkin bukan sahaja dari Hilmi bahkan hampir kesemua pesaingnya sejak pusingan pertama sehingga ke garisan penamat dengan catatan masa keseluruhan, 7:48.048s. Hilmi walaubagaimanapun, terpaksa akur dengan masa 7:57.476s yang dicatatnya yang meletakkannya di belakang Mohd Imran Zulkafli, 7:50.000s selaku naib juara perlumbaan.
"Selepas menempuhi pelbagai kesukaran sebelum ini, saya sangat-sangat berpuas hati dengan kemenangan hari ini. Ini merupakan  podium ketiga dan kemenangan kedua buat saya, justeru misi saya seterusnya adalah untuk mempertahan kejuaraan."

Ketika ditanya tentang kelebihan yang dimilikinya berbanding pelumba lain, Khairil menjawab, "Sebenarnya tiada sebarang kelebihan,saya hanya memastikan setiap kali perlumbaan jentera berada dalam keadaan sempurna dan paling penting saya perlu memperkasakan kekuatan fizikal dan mental untuk memburu kelompok ketiga terbaik."
Khairul kini mendahului kedudukan keseluruhan kategori Persendirian dengan 66 mata diikuti Hilmi Affan Abd Malik, 43 dan Izuaf Sirun ketiga, sebanyak 36 mata.

Wednesday, April 25, 2012

ADIK BERADIK ELLY OPTIMIS JULANG KEJAYAAN BUAT SUZUKI




Gandingan adik beradik, Elly Idzlianizar Ilias dan Elly Idzliaikmal Ilias optimis mereka mampu menjulang kejayaan buat Suzuki dalam kategori CP130 dan CP115 pada perlumbaan pusingan ketiga Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2012 yang akan berlangsung di Stadium Utama Kangar, Perlis, minggu ini.

Beraksi bersama pasukan tunggal yang mendapat sokongan Suzuki iaitu pasukan Suzuki FortyOne Racing, kedua-duanya juga mahu menggunakan kelebihan beraksi di halaman sendiri minggu ini untuk tidak mengecewakan keluarga, rakan-rakan dan juga peminat-peminat yang hadir memberikan sokongan.

Elly Idzlianizar Ilias yang beraksi dalam kategori CP130 dilihat mengalami kesukaran pada dua pusingan yang telah berlangsung apabila dia gagal menamatkan perlumbaan di Batu Kawan (Pusingan 1) setelah jenteranya mengalami masalah mekanikal sewaktu perlumbaan akhir.

Ketika di Kuala Terengganu (Pusingan 2) pula, walaupun berada di kelompok lima pelumba yang mencatat masa terpantas sewaktu sesi latihan bebas, kerja keras Elly turut berakhir dengan kekecewaan apabila sekadar menamatkan perlumban di kedudukan ke-15 berikutan kemalangan bersama pelumba Pachie Yuzy Honda Racing, Wan Mohd Hadri Wan Mokhtar.

Berkeyakinan tinggi kali ini, Elly Idzlianizar berkata, "Dua pusingan sebelum ini begitu mencabar. Selepas gagal menamatkan perlumbaan Pusingan 1, kami telah menunjukkan peningkatan sewaktu sesi latihan bebas di Kuala Terengganu namun ia tidak berpanjangan apabila sekali lagi ditimpa kekecewaan  ketika sesi ujian masa dan juga perlumbaan akhir. Permulaan musim seperti ini sangat-sangat menyedihkan namun ini senario biasa dalam perlumbaan. Apa yang penting adalah tidak mudah berputus asa dan sentiasa memandang ke hadapan," katanya.

Bercakap tentang kemampuan jentera Suzuki, Elly berkata, "Buat masa ini, jentera kami cukup kompetitif memandangkan saya mampu menempatkan diri di kalangan lima pelumba terpantas pada sesi latihan bebas sebelum ini. Apa yang perlu diperbaiki ialah gaya tunggangan saya dan pada masa sama juga perlu berhati-hati terhadap kemampuan lawan-lawan saya. Tambahan pula, kami turut memikul tanggungjawab untuk mengembalikan semula kegemilangan Suzuki sepertimana yang pernah dikecapi oleh legenda Cub Prix, M. Meganathan dan Wazi Abdul Hamid pada masa lalu.

Sementara itu, adiknya, Elly Idzliaikmal yang beraksi dalam kategori CP115 pula bermula dengan agak baik apabila menamatkan perlumbaan di Batu Kawan dengan menduduki tangga kelapan namun ketika perlumbaan di Kuala Terengganu, dia sekadar menamatkan perlumbaan seawal pusingan pertama lagi.

Malah, dia turut mempunyai pendapat sama dengan abangnya. "Prestasi saya ketika ini masih jauh daripada kemampuan sebenar. Semua orang telah bekerja keras bagi memastikan Suzuki dapat mencatat kejayaan namun malangnya nasib kami masih belum begitu baik. Mudah-mudahan semuanya akan berubah di Kangar nanti," katanya.

AFIF TAGIH STRATEGI BERPASUKAN MANTAP




Ahmad Afif Amran percaya strategi berpasukan yang mantap mampu membantunya memecahkan momentum pelumba di barisan hadapan pada pusingan ketiga Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Stadium Utama Kangar, Perlis minggu ini.

Pelumba CKJ Yamaha Racing yang beraksi di dalam kategori CP115 itu bangkit menebus kekecewaan gagal ke perlumbaan akhir (DNF) sewaktu pusingan pembukaan (Batu Kawan) ekoran masalah mekanikal, apabila berjaya menaiki podium pada pusingan kedua (Terengganu) di belakang juara, Shahril Izzuwan Mohd Noor dan naib juara, Mohd Iskandar Raduan, kedua-duanya dari pasukan PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM. 

Namun, strategi berpasukan yang mantap diantara Shahril dan Iskandar telah menghalangnya untuk mencatat keputusan yang lebih baik.

"Kami mempamer prestasi cukup baik sewaktu di Terengganu! Saya dan rakan sepasukan, Mohd Farid Ahmad cuba untuk mengejar Shahril namun Iskandar yang berada di belakangnya berjaya mempertahankan Shahril dengan begitu baik sekali. Jika tidak kerana Iskandar, pasti kami berdua mampu merapatkan kedudukan dengan Shahril. Mujurlah tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku sewaktu persaingan yang cukup agresif diantara kami bertiga untuk mengejar kedudukan podium dan saya cukup gembira kami berdua dapat berada di kelompok lima pelumba teratas terutama selepas kegagalan di Batu Kawan," jelas pelumba 16 tahun itu.

Menilai tentang kemampuan mereka pada pusingan ini, Afif berkata, "Prestasi pada dua pusingan lepas menunjukkan banyak peningkatan dan kami mampu untuk memberikan saingan, cuma kekurangan kami adalah dari segi strategi berpasukan. Saya dan Farid perlu menyusun strategi terbaik apabila tiba di Kangar nanti.

"Dari segi kemampuan jentera pula, Yamaha kami boleh dikatakan setanding dengan Shahril dan Iskandar, cuma faktor ketahanan enjin agak kurang apabila kuasanya menurun pada baki lima pusingan terakhir. Jika kami berjaya mengatasi masalah-masalah ini, saya fikir kami mempunyai peluang cerah untuk sekali lagi menaiki podium pada minggu ini."

Menambah lagi keyakinannya, Afif percaya pengalaman yang dikutip sepanjang beraksi dalam kategori Underbone 115cc, di pentas Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) PETRONAS  musim lalu turut menjadi satu kelebihan buatnya.

"Apa yang saya pelajari sepanjang beraksi di ARRC musim lepas bersaing dengan pelumba handalan Indonesia dapat digunakan pada musim ini untuk membantu meningkatkan kedudukan saya dalam senarai keseluruhan ketika ini," kata Afif yang menduduki tangga keenam dalam senarai keseluruhan dengan 16 mata.

Iskandar berada di kedudukan teratas dengan 45 mata diikuti Ahmad Abdul kadir (APIDO Yamaha Boon Kui Racing) kedua, dan Farid ketiga, kedua-duanya terikat dengan 26 mata.

Monday, April 23, 2012

JADUAL PUSINGAN KE 3,KANGAR PERLIS


SUZUKI MENGORAK LANGKAH MENCARI BAKAT BARU

Cabaran Suzuki Belang RUsaha untuk melahirkan lebih ramai pelumba-pelumba muda tempatan pada masa ini turut mendapat sokongan daripada satu lagi nama besar dalam industri pemotoran tempatan iaitu Suzuki. Tampil dengan perlumbaan kategori satu Pengeluar Cabaran Suzuki Belang, usaha positif Suzuki Assemblers Malaysia Sdn Bhd ini dilihat bakal memberikan lebih persaingan serta kepelbagaian dalam Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2012.

18 pelumba bakal beraksi di dalam kategori one-make baru ini. Mereka dipilih setelah memenuhi kriteria yang ditetapkan pihak pengurusan Suzuki Assemblers Sdn Bhd dan berdasarkan prestasi yang ditunjukkan pada sesi-pemilhan di Litar Go-Kart Universiti Utara Malaysia, Kedah pada 7 dan 8 April lalu. Sesi pemilihan tersebut dikendalikan oleh Ang Woo Seong selaku koordinator dan dibantu oleh lagenda Cub Prix, Wazi Abdul Hamid dan Shahrun Nizam Tamin yang bertindak sebagai jurulatih kepada pelumba yang diberi peluang menimba pengalaman bersama Suzuki.

Sepanjang proses pemilihan yang berlangsung selama dua hari tersebut, pelumba-pelumba baru didedahkan kepada pelbagai aspek perlumbaan seperti kepentingan kecergasan fizikal, teknik serta aspek-aspek keselamatan.

"Daripada semua permohonan yang diterima, kami telah menyenarai pendek 38 peserta yang memenuhi kriteria yang kami tetapkan iaitu mestilah belum pernah beraksi dan tiada rekod perlumbaan di Cub Prix. Beberapa kriteria lain turut menjadi keutamaan adalah ketinggian dan berat badan mereka," kata Ang.

"Pada sesi pemilihan, kami mendedahkan pelumba-pelumba dengan pengetahuan asas perlumbaan dan ini amat berguna kepada mereka sebelum memulakan karier dalam perlumbaan jentera dua roda ini. Namun begitu, daripada 38 peserta yang menghadiri latihan dan ujian pemilihan ini, kami terpaksa memilih hanya 18 peserta berkebolehan dalam lingkungan usia 14 hingga ke 19 tahun untuk memulakan perlumbaan pertama di Kangar," tambah beliau.

Ditanya mengapa model Belang 150 menjadi pilihan pihak Suzuki, Ang menjawab, "Kami mahukan kelainan dalam persaingan Cub Prix dan model seperti ini tidak pernah digunakan dalam mana-mana kategori dalam Kejuaraan ini," tambah Ang sambil mengharapkan perlumbaan satu pengeluar Suzuki Belang R dapat menghangatkan lagi saingan perlumbaan musim ini.

Menambah sedikit tentang perancangan masa hadapan kepada pelumba-pelumba, Ang berkata, "Setelah segala latihan serta pendedahan dilalui oleh peserta Cabaran Suzuki Belang R pada musim ini, pihak Suzuki merancang untuk meletakkan mereka beraksi ke dalam kategori lain pada musim hadapan. Kami juga berhasrat untuk membantu pelumba yang mempunyai potensi agar mereka dapat diserapkan bersama pasukan Suzuki. Namun, syarat utama mereka perlulah membuktikan kebolehan yang ada pada diri mereka terlebih dahulu."

Senarai pelumba Cabaran Suzuki Belang R
1. Abu Sofian Bin Karim (19)
2. Ahmad Syukran Aizat Bin Mohd Yusoff (15)
3. Fazdlyzal Bin Ahmad Fazal (17)
4. Fitri Bin Wazi    (18)
5. Mohamad Danial Bin Abdul Dain (16)
6. Mohamad Syafiq Bin Rosli (15)
7. Mohammad Syafiq Bin Mohd Ismail (15)
8. Mohd Harith Asyraff Bin Rosdi (14)
9. Mohd Khairol Nizam Bin Mohamad Haris (19)
10. Mohd Shafiq Bin Noor Affendi (16)
11. Muhamad Hafiz Bin Amiruddin (20)
12. Muhammad Hafizt Bin Hasmi (16)
13. Muhammad Ilyas Bin Ahmad Fuad (15)
14. Muhammad Izham Shah Bin Shahrom Shah (17)
15. Muhammad Syafiq Bin Mohammad Puzze (18)
16. Muhammad Zul Akmal Bin Najikhun    (16)
17. Tengku Syahmi Bin Tuan Yusoff (16)
18. Wong Chin Hou (16)

Tekad kekal pendahulu Wira

Fakhrusy Syakirin Rostam



FAKHRUSY Syakirin Rostam bertekad untuk mempertahankan kedudukan pendahulu menjelang perlumbaan pusingan ketiga Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas di Stadium Utama, Kangar, pada 28 dan 29 April ini.
Selepas mempamerkan prestasi cemerlang dalam dua pusingan lalu, Fakhrusy mendahului senarai pelumba kategori Wira dengan mengumpul 38 mata namun pelumba AAP Mazoil Armstrong itu diekori rapat oleh Mohd Hafiz Nor Azman dari Team MOS Track Pro Yamaha Racing.

Hafiz di tangga kedua sekadar ketinggalan dua mata di belakang Fakhrusy (36 mata).
Bagi pelumba kelahiran Johor itu, kelebihan dua mata tidak mencukupi apatah lagi saingan masih di peringkat awal dan berbaki lapan pusingan lagi.

Malah prestasi cemerlang Hafiz dengan menaiki podium pada kedua-dua pusingan terdahulu di Batu Kawan (Pusingan 1) dan Kuala Terengganu (Pusingan 2) turut menggusarkan Fakhrusy.

“Sasaran utama hujung minggu ini adalah untuk menjarakkan diri daripada Hafiz. Apa saja boleh berlaku sewaktu perlumbaan dan dengan prestasi konsisten menaiki podium pada kedua-dua pusingan perlumbaan, Hafiz dilihat mampu merampas kedudukan saya sebagai pendahulu,” kata Fakhrusy.
Namun begitu, keyakinan Fakhrusy tetap tinggi ekoran kelebihan jentera pasukannya.

“Setiap kali keluar ke litar, prestasi Hafiz cukup konsisten namun jentera saya dilihat mempunyai beberapa kelebihan terutama daripada segi kelajuan. Saya cuma perlu membaiki kemahiran tunggangan saya dan beraksi dengan lebih agresif bagi mengelakkan pelumba lain mengambil peluang terhadap kelemahan saya,” jelas Fakhrusy yang menghabiskan setiap hujung minggunya dengan menjalani latihan.
Katanya lagi: “Pertukaran laluan litar pada musim ini juga menjadikan saingan kali ini sama adil dan tidak memberi kelebihan kepada mana-mana pelumba.” Berada di belakang Fakhrusy dan Hafiz dalam senarai keseluruhan adalah Mohd Izzat Zaidi Mohd Salehan (Motul Yamaha YY Pang Racing) dengan 25 mata.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut, sila hubungi Safe Aim Mutual Sdn Bhd (SAM) di talian 03-87338787 atau lawati laman web rasmi Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas, www.malaysiancubprix.com.

Friday, April 20, 2012

PELUANG MASIH TERBUKA WALAUPUN DOMINASI KETARA DALAM KELAS CP130, CP115


Persaingan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2012 nampaknya semakin hangat apabila kem Honda dan Yamaha dilihat mendominasi kelas terbuka CP130 dan CP115 pada Pusingan 2 di Litar Stadium Sultan Mizan Gong Badak, Terengganu hujung minggu lalu.

Dalam kategori CP130, kem Honda dilihat mempunyai kelebihan ketika ini dengan dua pelumba Mohd Zaqhwan Zaidi (Pachie Yuzy Honda Racing) dan Azlan Shah Kamaruzaman (Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing). Walaupun masih dikira pelumba baru, Zaqhwan mengejutkan ramai pihak apabila dia mendahului carta keseluruhan kategori perdana dengan kutipan 45 mata setelah berjaya memenangi Pusingan 1 (Batu Kawan) dan muncul tempat kedua pada Pusingan 2 (Terengganu).

Lebih menarik lagi, Azlan Shah yang menduduki tangga kedua juga mempunyai 45 mata setakat ini hasil kejayaannya menghabiskan pusingan pembuka di tangga kedua sebelum mempertahankan kemenangannya di litar teknikal Terengganu Sabtu lepas.

Sementara itu, Mohd Iskandar Raduan dilihat garang mengetuai carta keseluruhan CP115 selepas menghabiskan perlumbaan di Batu Kawan selaku juara dan Pusingan 2 di tempat kedua. Kepulangan Shahril Izzuwan Mohd Noor bagi mempertahankan makhota CP115 miliknya turut menjadikan duo PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM ini antara pesaing hebat musim ini.

Walaupun begitu, Pengarah Promosi Safe Aim Mutual Sdn Bhd (SAM), promoter Kejuaraan Cub Prix menganggap ia masih terlalu awal untuk meramal siapa bakal bergelar juara memandangkan musim 2012 masih di peringkat awal.

"Tidak dapat dinafikan Zaqhwan, Azlan dan Iskandar pada masa ini mempamerkan aksi cemerlang di dalam kelas masing-masing. Tetapi para peminat Cub Prix boleh menjangkakan persaingan lebih mantap pada pusingan-pusingan akan datang. Ini kerana kebanyakan pasukan yang berentap menunjukkan peningkatan ketara pada dua pusingan awal dengan masa sepusingan (lap) lebih pantas berbanding musim-musim lalu.

Ron turut menambah, "Tambahan pula, pada Pusingan 2 di Terengganu walaupun Azlan muncul juara, Ahmad Fazrul Sham (Faito Motobert Racing) menunjukkan aksi hebat untuk menungguli sesi SuperPole sekaligus merampas kedudukan petak hadapan dari para pesaingnya. Mohd Taufiq Roslan (Yamaha Maju Motor Racing) juga tidak kurang cemerlang. Walaupun masih baru beraksi dalam kategori perdana ini, dia mampu mengecapi kedudukan podium sekaligus menunjukkan tiada pemenang tetap dalam persaingan musim ini. Sebaliknya, peluang terbuka luas bagi mana-mana pasukan dan semestinya persaingan akan lebih menarik apabila kontinjen Cub Prix berhijrah ke Kangar, Perlis bagi menghadapi Pusingan 3 dua minggu dari sekarang. Apa yang pasti, pengakhiran musim ini masih jauh dan saya pasti perebutan gelaran juara di antara pelumba dan pengeluar jentera pasti amat sengit sekali," jelas Ron lagi.

Thursday, April 19, 2012

Tiada yang mustahil - Zulfahmi

 


Pelumba Moto3 negara, Zulfahmi Khairuddin tidak menolak kemungkinan untuk ke podium jika dia mampu mengekalkan persembahan konsisten pada setiap perlumbaan Grand Prix (GP) musim ini.
"Saya mampu naik podium jika motosikal saya berada dalam keadaan baik. Saya akan terus berjuang untuk meraih lebih banyak pengalaman, mungkin dua atau tiga perlumbaan lagi, saya yakin akan lebih serasi dengan motosikal dan berjalan lebih lancar," katanya.
Dua minggu lalu, Zulfahmi melakar sejarah dalam kariernya apabila menamatkan saingan di kedudukan keenam pada GP Qatar di Litar Losail.
Pelumba AirAsia-SIC-Ajo itu yang memulakan aksi di petak ketujuh ketinggalan 19.052 saat di belakang juara, Maverick Vinales dari pasukan Blusens Avintia.
Menjelang perlumbaan di Litar Jerez, Sepanyol pada 29 April ini, Zulfahmi berharap, dia dapat mengulangi pencapaiannya itu dan meraih petak yang lebih baik.

Sunday, April 15, 2012

Azlan raih kemenangan bermakna

Penunggang bersaing sengit dalam Pusingan 2 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2012 berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak.

Tiada apa yang lebih bermakna buat Azlan Shah Kamaruzaman apabila dia sekali lagi berjaya menakluk litar Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak buat kali kedua berturut-turut selepas berakhirnya Pusingan 2 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2012, hari ini.

Pelumba Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing itu menamatkan perlumbaan sebanyak 15 pusingan dengan catatan masa keseluruhan 10 minit 25.112 saat diikuti juara Pusingan 1 di Batu Kawan, Mohd Zaqhwan Zaidi (Pachie Yuzy Honda Racing) kedua, 10:25.345s dan Mohd Taufiq Roslan (Yamaha Maju Motor Racing) ketiga, 10:26.866s.

Azlan yang bermula di petak ketiga mengakui litar ini merupakan antara litar kegemarannya dan dari segi persembahannya, jelas dia nampak cukup serasi beraksi di sini apabila sentiasa berada di kelompok  hadapan pada setiap sesi perlumbaan yang berlangsung sejak hari pertama lagi. “Kemenangan ini cukup-cukup bererti kepada saya kerana saya berjaya mempertahankan gelaran yang dimenangi pada perlumbaan musim lepas. Tambahan pula, ini juga merupakan satu hadiah istimewa kepada seluruh keluarga saya apabila saya juga bakal menimang cahaya mata sulung beberapa hari sahaja lagi,” jelas Azlan yang kini berkongsi kedudukan pendahulu bersama Zaqhwan dengan mengumpul 45 mata.

Bercakap tentang perlumbaan, Azlan berkata, “Selepas ketinggalan kepada Ahmad Fazrul Sham (Faito Motobert Racing) pada awal perlumbaan, saya terus memberi tekanan kepadanya dan akhirnya berjaya memintasnya pada pusingan ketujuh. Selepas itu saya cuba mengelak daripada melakukan sebarang kesilapan dan akhirnya berjaya mengekalkan kedudukan pendahulu sehingga ke garisan penamat,” jelas Azlan sambil meletakkan sasaran untuk sekali lagi menaiki podium pada Pusingan 3 di Kangar, Perlis, hujung bulan ini.

Dalam senarai pelumba keseluruhan, kedudukan podium hari ini turut meletakkan Taufiq di tangga ketiga  dengan jumlah 23 mata yang dipungut setakat ini.

Dua kedudukan podium Azlan membantu pasukan Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing 2 (Azlan/Mohd Fitri Ashraf Razali) mendahului senarai keseluruhan dengan 51 mata, namun terikat dengan mata yang sama bersama-sama Pachie Yuzy Honda Racing (Zaqhwan/Wan Mohd Hadri Wan Mokhtar). Berada di kedudukan ketiga ialah Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing 1 (Norizman Ismail/MOhd Affendi Rosli) dengan 39 mata.

Dalam kategori CP115, Shahril Izzuwan Mohd Nor membuktikan dirinya masih antara pencabar utama saingan musim 2012 apabila menamatkan perlumbaan 12 pusingan sebagai juara dengan catatan masa keseluruhan 8:33.558s.

Tambah manis, berada di tempat kedua ialah rakan sepasukannya dari pasukan PETRONAS syntium Moto Yamaha AHM, Mohd Iskandar Raduan. Iskandar yang juga juara pusingan lepas yang menamatkan perlumbaan dengan 8:33.889s manakala tempat ketiga menjadi milik pelumba kelahiran Terengganu, Ahmad Afif Amran (CKJ Yamaha Racing), 8:35.232s.

Shahril yang kembali ke kategori CP115 selepas memulakan pusingan pembukaan musim 2012 dalam kategori CP130 berkata, “Beraksi semula dalam kategori CP115 pada pusingan kedua ini tidak memberi sebarang impak kepada saya sebaliknya sepertimana yang dirancang oleh pengurus pasukan, Kenny Chua, keputusan ini dilihat dapat mencerahkan peluang kami untuk mengekalkan kedua-dua anugerah keseluruhan yang dimenangi pada musim lepas,” jelas juara bertahan CP115 itu.

Mengulas mengenai cabaran sengit daripada Iskandar pada sepanjang perlumbaan, Shahril berkata, “Walaupun dari pasukan sama, kami tetap memberikan aksi terbaik kerana kedua-duanya mahu merebut kemenangan di sini. Namun kemenangan ini sangat penting kepada saya kerana ia membuka ruang bagi saya untuk mempertahankan gelaran musim lepas. Walaupun begitu, keutamaan tetap diberikan kepada strategi yang dirancang oleh pengurus pasukan. Jika selepas ini Iskandar kekal di tangga teratas, saya akan membantunya untuk memenangi gelaran individu keseluruhan,” jelas Shahril.

Gelaran naib juara meletakkan Iskandar jauh mendahului pelumba-pelumba lain apabila berada di tangga teratas dalam senarai keseluruhan dengan 45 mata manakala Ahmad Abdul Kadir (Apido Yamaha Boon Kui) kedua, mengumpul 26 mata dan Mohd Farid Ahmad (CKJ Yamaha Racing) ketiga, juga dengan jumlah mata yang sama.

Selepas dua pusingan, PETRONAS syntium Moto Yamaha AHM berada di tangga teratas senarai Anugerah Berpasukan Keseluruhan dengan mengumpul 70 mata diikuti CKJ Yamaha Racing kedua, 42 mata dan Motul Yamaha Racing Team 2 (Zaidy Mohd Zaifaizal/Mohd Azhar Abdul Jalil) ketiga, 30 mata.


Dalam kategori Wira, Fakhrusy Syakirin Rostam menebus kehampaan gagal menaiki podium di Batu Kawan apabila meraih gelaran juara dengan catatan masa keseluruhan 7:12.099s.


Pelumba AAP Mazoil Armstrong Motorsport itu menewaskan Mohd Hafiz Nor Azman (Mos Track Pro Yamaha Racing) yang berada di tangga kedua dengan catatan masa 7:14.027s manakala Mohd Hafizuddin Azahar ketiga, 7:19.970s.


Fakhrusy menjelaskan, “Saya cukup gembira dengan kemenangan ini sekali gus menebus kekecewaan apabila sekadar di tangga keempat pada pusingan lepas. Sememangnya saya begitu inginkan kemenangan ini kerana saya mahu mengukuhkan kedudukan dalam senarai keseluruhan untuk merebut mahkota kejuaraan pada tahun ini,” jelas pelumba 16 tahun itu.


Kemenangan ini turut membantu Fakhrusy naik ke tangga pertama dalam senarai keseluruhan dengan 38 mata manakala Hafiz di kedudukan kedua, 36 mata. Juara pusingan pertama, Mohd Izzat Zaidi Salehan yang gagal ke perlumbaan akhir kali ini turun ke tangga ketiga, kekal dengan 25 mata.


Keputusan: 

CP130
Race
1.Azlan Shah Kamaruzaman (Honda) 10'25.112s 2.Mohd Zaqhwan Zaidi (Honda) 10'25.345s 3.Mohd Taufiq Roslan (Yamaha) 10'26.866s 4,Ahmad Fazrul Sham (Yamaha) 10'27826s 5.Ahmad Fuad Baharudin (Yamaha) 10'31.313s

Kedudukan keseluruhan
1.Azlan Shah Kamaruzaman (Honda) 45 mata 2. Mohd Zaqhwan Zaidi (Honda) 45 mata 3. Mohd Taufiq Roslan (Yamaha) 23 mata 4.Norizman Ismail (Honda) 23 mata 5.Ahmad Fuad Baharudin (Yamaha) 22 mata

Team Standings
1.Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing 2 51 mata 2.Pachie Yuzy Honda Racing 51 mata 3.Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing 1 39 mata 4.Faito Motobert Racing 35 mata 5.PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM 29 mata

CP115
Race
1. Shahril Izzuwan Mohd Noor (Yamaha) 8'33.558s 2.Mohd Iskandar Raduan (Yamaha) 8'33.889s 3.Ahmad Afif Amran (Yamaha) 8'35.232s 4.Mohd Farid Ahmad (Yamaha) 8'36.183s 5.Mohd Emir Firdaus Hasan (Honda) 8'37.321s

Kedudukan keseluruhan
1.Mohd Iskandar Raduan (Yamaha) 45 mata 2.Ahmad Abdul Kadir (Yamaha) 26 mata 3.Mohd Farid Ahmad (Yamaha) 26 mata 4.Shahril Izzuwan Mohd Noor (Yamaha) 25 mata 5. Mohd Azhar Abdul Jalil (Yamaha) 20 mata

Kedudukan pasukan
1. PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM 70 mata 2.CKJ Yamaha Racing 42 mata 3. Motul Yamaha YY Pang Racing 2 30 mata 4.APIDO Yamaha Boon Kui Racing 28 mata 5.M-Seki Liberty Honda Racing 24 mata

WIRA
Race
1. Fakrusy Syakirin Rostam (Honda)  7'12.099s 2.Mohd Hafiz Nor Azman (Yamaha) 7'14.027s 3.Mohd Hafizzuddin Azahar (Yamaha) 7'19.970s 4.Mohd Razmal Mohd Rohizad (Honda) 7'23.197s 5.Che Ku Amriq Asyraf (Yamaha) 7'24.444s

Kedudukan keseluruhan 
1.Fakrusy Syakirin Rostam (Honda) 38 mata 2.Mohd Hafiz Nor Azman (Yamaha) 36 mata 3.Mohd Izzat Zaidi Salehan (Yamaha) 25 mata 4.Tengku Amirul Haffiruddin (Yamaha) 20 mata 5.Che Ku Amriq Asyraf (Yamaha) 18 mata

PETRONAS SYNTIUM MOTO YAMAHA AHM DOMINASI CP115




Dalam kategori CP115, Shahril Izzuwan Mohd Nor membuktikan dirinya masih antara pencabar utama saingan musim 2012 apabila menamatkan perlumbaan 12 pusingan sebagai juara dengan catatan masa keseluruhan 8:33.558s.

Tambah manis, berada di tempat kedua ialah rakan sepasukannya dari pasukan PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM, Mohd Iskandar Raduan. Iskandar yang juga juara pusingan lepas yang menamatkan perlumbaan dengan 8:33.889s manakala tempat ketiga menjadi milik pelumba kelahiran Terengganu, Ahmad Afif Amran (CKJ Yamaha Racing), 8:35.232s.

Shahril yang kembali ke kategori CP115 selepas memulakan pusingan pembukaan musim 2012 dalam kategori CP130 berkata, "Beraksi semula dalam kategori CP115 pada pusingan kedua ini tidak memberi sebarang impak kepada saya sebaliknya sepertimana yang dirancang oleh pengurus pasukan, Kenny Chua, keputusan ini dilihat dapat mencerahkan peluang kami untuk mengekalkan kedua-dua anugerah keseluruhan yang dimenangi pada musim lepas," jelas juara bertahan CP115 itu.

Mengulas mengenai cabaran sengit daripada Iskandar pada sepanjang perlumbaan, Shahril berkata, "Walaupun dari pasukan sama, kami tetap memberikan aksi terbaik kerana kedua-duanya mahu merebut kemenangan di sini. Namun kemenangan ini sangat penting kepada saya kerana ia membuka ruang bagi saya untuk mempertahankan gelaran musim lepas. Walaupun begitu, keutamaan tetap diberikan kepada strategi yang dirancang oleh pengurus pasukan. Jika selepas ini Iskandar kekal di tangga teratas, saya akan membantunya untuk memenangi gelaran individu keseluruhan," jelas Shahril.

Gelaran naib juara meletakkan Iskandar jauh mendahului pelumba-pelumba lain apabila berada di tangga teratas dalam senarai keseluruhan dengan 45 mata manakala Ahmad Abdul Kadir (Apido Yamaha Boon Kui) kedua, mengumpul 26 mata dan Mohd Farid Ahmad (CKJ Yamaha Racing) ketiga, juga dengan jumlah mata yang sama.

Selepas dua pusingan, PETRONAS syntium Moto Yamaha AHM berada di tangga teratas senarai Anugerah Berpasukan Keseluruhan dengan mengumpul 70 mata diikuti CKJ Yamaha Racing kedua, 42 mata dan Motul Yamaha Racing Team 2 (Zaidy Mohd Zaifaizal/Mohd Azhar Abdul Jalil) ketiga, 30 mata.