jokisenja header

jokisenja header


Saturday, March 31, 2012

FAKHRUSY TAMPIL CEMERLANG DALAM UJIAN MASA WIRA



Fakhrusy Syakirin Rostam meneruskan kecemerlangan musim lepas apabila mengungguli sesi ujian masa Pusingan 1 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS dengan catatan masa terpantas 55.684s yang dilakukan pada pusingan ke-10.

Pelumba AAP Mazoil Armstrong Motorsport itu mengatasi Tengku Amirul Haffiruddin (Motul Yamaha YY Pang) yang mencatatkan 55.787s manakala pelumba Mos Malaysia Racing, Mohd Hafiz Nor Azman muncul pelumba ketiga terpantas dengan catatan 55.906s.

Mengulas mengenai catatan yang dilakukannya, juara Pusingan 8 di Melaka musim lepas itu yakin mampu untuk mencatat masa yang lebih pantas pada sesi kelayakan esok. "Keadaan gear tidak begitu lancar menyebabkan saya tidak dapat mencuba ke tahap maksimum pada sesi ujian masa hari ini. Selepas berehat panjang, aksi saya juga belum berada di tahap terbaik dan masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki. Matlamat saya adalah untuk melakukan catatan sekitar 55s pada sesi saringan esok," jelas Fakhrusy yang turut meletakkan sasaran untuk bergelar juara pertama kategori Wira musim 2012.

Issued by Global PR Sdn Bhd
Copyright to Safe Aim Mutual Sdn Bhd

ISKANDAR KUASAI UJIAN MASA CP115




Dua pelumba PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM beraksi cemerlang apabila muncul antara pelumba terpantas sesi ujian masa Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2012 yang berlangsung di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang, hari ini.

Mohd Iskandar Raduan melakukan catatan terpantas dengan catatan 55.476s manakala rakannya, yang juga juara Wira 2011, Zulsyafiz Rosli di kedudukan ketiga dengan mencatatkan 55.721s.

Sementara itu, Mohd Azhar Abdul Jalil dari pasukan Motul YY Pang Racing di kedudukan kedua dengan catatan 55.655s.

"Catatan yang dilakukan pada sesi ujian masa hari ini agak baik namun saya tidak menyangka muncul pelumba terpantas pada sesi ujian masa hari ini. Apa yang saya ketahui, sebaik sesi ujian masa tamat, saya berada di kedudukan kedua di belakang Mohd Rozaliman Zakaria (Pachie Yuzy Honda Racing). Namun begitu, saya bernasib baik apabila catatan pesaing saya itu dibatalkan kerana gagal mematuhi peraturan teknikal perlumbaan, sekali gus meletakkan saya sebagai pelumba terpantas," jelas Iskandar yang beraksi bersama PETRONAS Syntium Moto Yamaha Raceline pada musim lepas.

Menurut pelumba itu lagi, "Jika dibandingkan dengan sesi latihan bebas di sebelah pagi, saya cukup berpuas hati dengan catatan yang dilakukan kerana ia jauh lebih baik namun beberapa perubahan masih perlu dilakukan terutama di bahagian sprocket bagi menghadapi sesi saringan dan perlumbaan akhir nanti. Saya berharap dapat memulakan perlumbaan di barisan hadapan dan seterusnya dapat menjejakkan kaki di atas podium nanti," jelasnya.

Issued by Global PR Sdn Bhd
Copyright to Safe Aim Mutual Sdn Bhd

GILIRAN DARIMI UNGGULI KELAS PERSENDIRIAN




Peraturan kategori Persendirian yang tidak membenarkan tiga pelumba di tangga teratas musim 2011 kembali menyertai kelas yang sama bermakna kini, Wazir Abd Razak, Md Fhahmin Abd Mutalib serta Ang Beng Seang tidak akan menyertai kategori Persendirian pada musim 2012.

Dengan ketiadaan tiga pelumba hebat itu, Darimi Zikri Dazari kini bersedia mengisi ruang kosong yang ditinggalkan. Darimi tampil pelumba Persendirian terpantas dalam sesi ujian latihan pusingan pertama di Batu Kawan, Pulau Pinang dengan catatan masa 59.943s.

Di tempat ke-2 dan ke-3 terpantas, dengan catatan masa 59.953s dan 59.962s masing-masing dimiliki nama-nama yang tidak asing lagi, iaitu Izuaf Sirun dan Hilmi Affan Abd Malik.

AZLAN LAUNG AMARAN AWAL




Azlan Shah Kamaruzaman bermula cemerlang pada pusingan pembukaan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS apabila dia muncul pelumba terpantas dalam kategori CP130 di Litar Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang.

Azlan mencatat 53.792 saat pada pusingan kelima mengatasi rakan sepasukan, Mohd Affendi Rosli di kedudukan kedua dengan catatan 53.981s pada. Sementara itu, pelumba Yamaha Maju Motor Racing, Abdul Muhaimin Roslan ketiga dengan catatan 54.081s.

Beraksi di litar kegemarannya, sebelum itu pelumba Y-TEQ SCK Honda Racing itu  turut mencatat masa terpantas pada kedua-dua sesi latihan bebas sebelah pagi dengan catatan 55.013s dan 55.365s.

Mengulas mengenai prestasinya, Azlan berkata, "Faktor jentera memainkan peranan penting kepada persembahan saya hari ini. Segalanya berada dalam keadaan yang cukup baik dan saya cukup gembira kerana berjaya meletakkan pasukan kami di hadapan pada perlumbaan pertama musim ini," kata pelumba 28 tahun itu.

Menjelaskan tentang sasarannya pada perlumbaan sebenar esok, Azlan berkata, "Saya mahu menghadiahkan gelaran juara buat pasukan dan turut berharap agar pasukan kami dapat menguasai ketiga-tiga kedudukan podium nanti. Namun begitu, saya perlu berhati-hati pada sesi Superpole esok kerana sebelum ini saya seringkali melakukan kesilapan dan gagal beraksi dengan baik. Saya tidak mahu bertindak terburu-buru dan cuba untuk mengekalkan aksi sepertimana yang saya lakukan hari ini," jelas Azlan yang turut gembira kerana berjaya mengatasi catatan terbaik litar 54.418s milik Mohd Zamri Baba pada musim lepas.

Issued by Global PR Sdn Bhd
Copyright to Safe Aim Mutual Sdn Bhd

Friday, March 30, 2012

JUARA CP115 RAMDAN, SHAHRIL BERGANDING BAHU DALAM KELAS PERDANA




Dua juara CP115, Mohd Ramdan Mohd Rosli dan Shahril Izzuwan Mohd Noor bakal bergandingan semula bagi mengharungi cabaran Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2012 yang akan membuka tirai di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang hujung minggu ini.

2012 merupakan musim ketiga kedua-dua pelumba ini bekerjasama di bawah kem PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM. Pada musim 2010, gandingan mereka membuahkan hasil cemerlang buat pasukan satelit PETRONAS ini apabila Ramdan mencipta rekod bergelar juara individu CP115 paling muda pada usia 14 tahun pada masa sama meraih anugerah berpasukan terbaik musim itu.

Masuk musim 2011 walaupun pelumba remaja tersebut beralih ke kategori CP130, kecemerlangan pasukan berjaya diteruskan oleh Shahril yang mengikut jejak rakan sepasukannya itu untuk meraih gelaran juara keseluruhan CP115 di samping turut membantu pasukannya mempertahankan gelaran pasukan terbaik dua tahun berturut-turut.

Walau bagaimanapun, tidak seperti rakan sepasukannya, Shahril bukanlah pendatang baru di dalam kategori tertinggi ini. Sebaliknya, dia pernah beraksi satu musim penuh kategori CP130/Expert pada tahun 2009 bersama pasukan Idemitsu Honda Racing.

Gembira, pengurus pasukan, Kenny Chua cukup yakin gandingan Ramdan dan Shahril merupakan formula tepat buat pasukan merebut gelaran juara individu dan berpasukan CP130 yang di dominasi oleh pasukan lain. "Sudah dua tahun kami mencatat keputusan cemerlang dalam kategori CP115 jadi sekarang sudah tiba masa untuk memenangi kategori CP130 pula. Ia bukan mustahil kerana Ramdan dan Shahril merupakan dua pelumba berbakat, muda dan bertenaga serta mampu memberi saingan kepada para-pelumba handalan lain."

Tambah Kenny lagi, "Walaupun yakin dengan kemampuan mereka, kami sepasukan tidak memandang mudah saingan musim ini. Sebaliknya, kami jangkakan banyak tekanan akan diterima daripada pesaing-pesaing lain, terutama pelumba senior yang jauh lebih berpengalaman."

Sementara itu, Ramdan, 16, yang menamatkan saingan musim 2011 di kedudukan ketujuh keseluruhan tidak sabar untuk kembali beraksi bersama Shahril, "Saya gembira kerana kembali bersama Shahril. Kami mempunyai hubungan yang sangat baik dan boleh bekerjasama tidak kira di dalam mahupun di luar litar dan saya percaya kami mampu melakukan sesuatu sebagaimana yang kami lakukan sewaktu beraksi di dalam kategori CP115. Apa yang perlu kami lakukan ketika ini adalah terus bekerja keras dan merancang strategi terbaik serta berusaha untuk mengurangkan kesilapan di samping berharap nasib  menyebelahi kami," jelas pelumba kelahiran Klang itu.

Sementara itu, Shahril tidak meletakkan sebarang harapan tinggi bagi perlumbaan hujung minggu ini. Dia menjelaskan, "Agak sukar untuk menjangkakan saingan hujung minggu ini tetapi saya memang teruja untuk memulakannya kerana Litar Stadium Batu Kawan merupakan kampung halaman saya. Kelebihan ini akan saya gunakan untuk membuktikan kebolehan bersaing dengan pelumba senior. Persediaan yang rapi turut meningkatkan keyakinan kami. Di samping pelarasan jentera yang mantap hasil usaha para mekanik, saya cukup bersedia dari segi fizikal dan mental. Memang tidak dapat dinafikan sedikit masa diperlukan sebelum sebelum saya boleh merebut podium tetapi saya tidak akan membiarkan ini menjadi isu berpanjangan," jelas Shahril yang berasal dari Pulau Pinang.

Issued by Global PR Sdn Bhd
Copyright to Safe Aim Mutual Sdn Bhd

Empat pelumba jadi taruhan kekalkan gelaran

Mohd Fitri Ashraf Razali ketika beraksi dalam kategori CP115 pada musim lalu. 



Selepas menamatkan musim 2011 dengan pelbagai kejayaan, empat pelumba menjadi harapan  pasukan Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing untuk mempertahankan gelaran dalam Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2012 yang bermula hujung minggu ini.
Selain daripada juara CP130, Norizman Ismail, Mohd Affendi Rosli dan Azlan Shah Kamaruzaman, Mohd Fitri Ashraf Razali bakal bergandingan bersama-sama pelumba senior dalam usaha mengekalkan gelaran pasukan terbaik walaupun hanya satu musim beraksi dalam kategori CP115 selepas beralih dari kategori Wira pada tahun 2010.
Dengan kemasukan Fitri, pasukan Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing menjadi pasukan terbesar dalam kategori perdana dengan empat pelumba diikuti Yamaha Maju Motor yang diwakili juara dua kali kategori Expert, Ahmad Fazli Sham, Abdul Muhaimin Roslan dan Mohd Taufiq Roslan.
Walaupun barisan baru ini dilihat meningkatkan peluang untuk mereka mempertahankan gelaran yang dimenangi musim lepas, pengurus pasukan, Soong Chee Kieong berpendapat ia bukan satu kelebihan buat mereka. Sebaliknya dia menjelaskan Fitri dinaikkan ke kelas CP130 supaya pelumba muda itu dapat berkembang dengan lebih pesat.
“Fitri menunjukkan peningkatan ketara dalam kategori CP115 sebelum ini jadi pada tahun ini kami mahu dia berkembang dengan lebih progresif apabila beralih ke kategori CP130. Tindakan ini tidak terlalu cepat baginya kerana lambat laun dia tetap akan beraksi dalam kelas ini.
"Tambahan lagi usiannya masih muda dan ini memudahkan dia menyesuaikan diri. Sebagai contoh, Hafizh Syahrin Abdullah. Dia mula beraksi dalam kategori ini pada usia 16 tahun begitu juga dengan Mohd Ramdan Mohd Rosli (PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM) yang mula beraksi pada usia 15 tahun dan kini kedua-duanya merupakan antara pelumba terbaik negara pada masa ini. Sebab itu kita juga berharap Fitri dapat menggunakan sepenuh peluang ini untuk menimba pengalaman berguna bagi dirinya,” katanya.
Tambah Soong Chee Kieong lagi, “Selain itu, kami akan menggunakan model baru iaitu Honda Dash pada musim ini. Bentuknya lebih aerodinamik dan kami mahu Fitri segera menyesuaikan diri dengan jentera baru ini. Cara terbaik untuk mencapai objektif ini adalah dengan meletakkannya bersaing bersama pelumba-pelumba handalan dalam Kejuaraan ini.” 
Ketika ditanya pelumba manakah yang berpeluang untuk bergelar juara CP130 2012, pengurus itu menjelaskan, “Mempertahankan gelaran adalah lebih sukar berbanding untuk memenanginya kerana semua orang akan memberi tumpuan kepada kami. Walaupun begitu, saya percaya Norizman, Affendi dan Azlan masing-masing mempunyai peluang sama rata untuk memenangi gelaran.
"Ia terpulang kepada nafsu masing-masing kerana keupayaan jentera mereka tidak berbeza. Moga-moga kami dapat memulakan musim ini dengan keputusan yang baik di Batu Kawan ini.”

Norizman tekad pertahanan kejuaraan


Norizman Ismail (tengah) ketika meraikan gelaran juara selepas memenangi Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2011 di Penang. 

Berbekalkan semangat wajah baru jentera, Juara CP130 tahun lalu, Norizman Ismail bertekad mahu mempertahankan kejuaraannya musim ini walaupun sedar persaingan cukup terbuka.
Pelumba Harian Metro Teq Sck Honda Racing ini berjaya mengumpul 129 mata dengan kelebihan 18 mata meninggalkan rakan sepasukan Affendi Rosli untuk bergelar juara kategori CP130 musim 2011.
Bagi juara pusingan ke-4 dan ke-5 ini, kehadiran Affendi dan Azlan tidak akan mengugat keyakinan Norizman, sebaliknya akan memastikan semangat berpasukan terjalin bagi menjelmakan peluang untuk menaiki podium seberapa banyak mungkin buat musim ini.
Kalau musim lalu jentera mereka dihiasi warna merah saga tapi kali ini jentera mereka diberi wajah baru, dihiasi dengan warna biru dan hijau bagi menzahirkan semangat baru buat pasukan kendalain Soong Chee Kieong ini.
Dalam pada itu, pelumba remaja berbakat, Ramdan Rosli dari pasukan Petronas Syntium Moto Yamaha Raceline berazam untuk mencabar kedudukan Norizman selaku juara bertahan.
Pusingan pembukaan Cub Prix 2012 akan membuka tirai pada 31 Mac hingga 1 April di Litar Batu Kawan, Pulau Pinang.

Unisel tawar biasiswa kepada 5 pelumba terbaik

      

Penunggang PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM, Ramdan beraksi semasa Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2011 di Teluk Intan, Perak.

Menjelang musim Cub Prix 2012 yang bakal berlangsung, Universiti Selangor, Unisel menawarkan biasiswa Unisel Cub Prix buat lima pelumba terbaik keseluruhan bermula 2012 hingga 2014.
Naib Canselor Unisel, Prof. Dr. Anuar Ahmad mengumumkan tawaran biasiswa itu pada majlis pelancaran Cub Prix musim 2012 diibu negara, dengan hasrat mahu pelumba berbakat negara melanjutkan pelajaran ke menara gading disamping bergiat aktif dalam sukan permotoran.
"Ini merupakan satu biasiswa yang baik dimana kita juga melihat kepada pelajaran seseorangan pelumba. Kita sangat berharap lima biasiswa ini akan diambil  kesempatan oleh pelumba-pelumba," kata Pengarah Promosi Safe AIM Mutual.
Tawaran ini akan ditawarkan kepada lima pelumba terbaik dalam tiga kategori iaitu CP130, CP115 dan Wira dengan bermula musim 2012 untuk pengajian 2013, musim 2013 bagi pengajian 2014 dan musim 2014 untuk pengajian 2015.
Bagaiamanapaun pelumba perlu mendapat keputusan yang baik dalam SPM, SPVM STPM ataupun memenuhi syarat-syarat kelayakan minimum untuk mengikuti mana-mana program ijazah pertama.

Rozaliman Bersama Pachie Yuzy Honda Racing


Rozaliman (depan) telah membuktikan kemampuannya sebagai salah seorang pesaing hebat dalam kategori CP115 musim lalu. 

Gandingan dan strategi baru jadi taruhan Pachie Yuzy Honda Racing bagi menghadapi Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2012 yang bakal membuka tirai di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang pada 31 Mac dan 1 April ini.
Perubahan utama yang dilakukan adalah kehadiran Mohd Rozaliman Zakaria ke dalam barisan pelumba pasukan. Bekas pelumba ZAR Racing Motorsports yang muncul tempat keempat keseluruhan tahun lalu itu akan berganding dengan Mohd Amirul Ariff Musa dalam kategori CP115 manakala Mohd Zaqhwan Zaidy dan Wan Mohd Hadri Wan Mokhtar akan membawa cabaran dalam perlumbaan CP130.
Bukan sekadar beraksi di peringkat kebangsaan, Rozaliman dan Amirul turut mengambil bahagian di pentas Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) PETRONAS dengan menunggang jentera Honda dalam kategori Underbone 115cc.
"Kehadiran Rozaliman mampu mengukuhkan prestasi  dan turut membangkitkan semangat semua ahli pasukan Pachie Yuzy Honda Racing untuk terus berkembang maju pada tahun ini,” jelas pengurus pasukan, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini yang jelas gembira dengan gandingan baru musim ini.
Mengulas mengenai keupayaan Rozaliman untuk menyesuaikan diri bersama mereka, Yuzy berkata, “Saya fikir tidak ada masalah baginya kerana dia seorang pelumba berbakat dan cepat belajar.
"Sebelum ini, dia tampil dengan prestasi cukup konsisten apabila sentiasa berada di kelompok hadapan walaupun mengalami pelbagai rintangan sejak mula beraksi pada tahun 2007 lagi. Saya percaya dengan pengalaman yang ditimba selama ini, dia akan membawa impak positif kepada kami semua terutama Amirul.”
Menceritakan tentang prestasi musim lepas di dalam kelas CP115, Yuzy menjelaskan, “Kami melalui satu musim yang sukar namun semuanya telah berlalu. Sekarang ini, kami optimis untuk menghadapi musim 2012. Mekanik pasukan telah bekerja keras untuk menghasilkan pelarasan terbaik bagi memastikan pelumba-pelumba berada di tahap tertinggi sebaik perlumbaan bermula minggu ini.
"Kami juga mengharapkan Amirul dapat memberikan aksi cemerlang sebagaimana ketika beraksi dalam kategori CP130 musim lepas,” kata bekas pelumba MotoGP itu.

Tuesday, March 27, 2012

SAM UMUM BARISAN PELUMBA 2012




Semakin hampir ke pusingan pembuka tirai Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2012, promoter Kejuaraan, Safe Aim Mutual Sdn Bhd (SAM) mengumumkan barisan pelumba yang bakal bertarung di dalam kelas terbuka CP130, CP115 dan WIRA di Litar Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang hujung minggu ini.

CP130

1. Norizman Ismail (Harian Metro TEQ SCK Honda Racing)
2. Md Affendi Rosli (Harian Metro TEQ SCK Honda Racing)
3. Azlan Shah Kamaruzaman (Harian Metro TEQ SCK Honda Racing)
4. Md Fitri Ashraf Razali (Harian Metro TEQ SCK Honda Racing)
5. Elly Idzlianizar Ilias (Suzuki Fortyone Racing)
6. Md Zaqhwan Zaidi (Pachie Yuzy Honda Racing)
7. Ahmad Fazrul Sham (Faito Motobert Racing)
8. Ahmad Fuad Baharudin (Faito Motobert Racing)
9. Wan Md Hadri Wan Mukhtar (Pachie Yuzy Honda Racing)
10. Md Amin Md Azahar (Suzuki Fortyone Racing)
11. Ahmad Fazli Sham (Yamaha Maju Motor Racing)
12. Md Zamri Baba (PETRONAS Syntium Moto Yamaha Raceline)
13. Md Hafieenaz Md Ali (PETRONAS Syntium Moto Yamaha Raceline)
14. Shahril Izzuwan Md Noor (PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM Racing)
15. Md Taufiq Roslan (Yamaha Maju Motor Racing)
16. Abdul Muhaimin Roslan (Yamaha Maju Motor Racing)
17. Md Ramdan Md Rosli (PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM Racing)

CP115

1. Md Emir Firdaus Hassan (M-Seki Liberty Honda Racing)
2. Md Solehin Md Sukor (Team Honda Promax Racing)
3. Md Rozaliman Zakaria (Pachie Yuzy Honda Racing)
4. Elly Idzliaikmal Ilias (Suzuki Fortyone Racing)
5. Md Fhahmin Abd Mutalib (PETRONAS Syntium Moto Yamaha Raceline)
6. Zaidy Md Zaifaizal (Motul Yamaha YY Pang Racing)
7. Md Iskandar Raduan    (PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM Racing)
8. Ahmad Afif Amran (CKJ Yamaha Racing Team)
9. Shariffudin Shamsuddin (CKJ Yamaha Racing Team)
10. Ridwan Bakri (AAP Mazoil Armstrong Motorsport)
11. Md Firdaus Musa (Koyoko KC Racing)
12. Md Adib Rosley (Motul Yamaha YY Pang Racing)
13. Ahmad Abdul Kadir (Apido Yamaha Boon Kui Racing)
14. Yusnor Juraimie    
15. Md Syawal Md Noor (PETRONAS Syntium Moto Yamaha Raceline)
16. Sasitharen Sukumaran (M-Seki Liberty Honda Racing)
17. Md Haiekal Akmal Zakaria (AAP Mazoil Armstrong Motorsport)
18. Md Azhar Abd Jalil (Motul Yamaha YY Pang Racing)
19. Md Syawalludin Md Zaki (Suzuki Fortyone Racing)
20. Md Farid Ahmad (CKJ Yamaha Racing Team)
21. Zulsyafiz Rosli (PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM Racing)
22. Md Amirul Ariff Musa (Pachie Yuzy Honda Racing)
23. Md Imran Zulkifli (Modenas Ltd Racing)
24. Shazuan Azrulizam Salim (Koyoko KC Racing)
25. Md Ilham Md Kamal    (PETRONAS Syntium Moto Yamaha Raceline)
26. Md Adli Salihin (Motul Yamaha YY Pang Racing)
27. Md Zulzaki Kipli (Apido Yamaha Boon Kui Racing)

WIRA

1. Md Hafizuddin Azahar (Unisel-Gems)
2. Md Razmal Md Rohizad (Team Honda Promax Racing)
3. Suhaizarul Suhaizat     
4. Md Afiki Supaat (Unisel-Gems)
5. Tengku Amirul Haffiruddin (Motul YY Pang Racing Team)
6. Md Hafiza Rofa (Faito YSP Racing Team)
7. Md Rabirfirli Nooral Azmin (M-Seki Liberty Honda Racing)
8. Arif Abd Rahman     
9. Ahmad Syukran Aizat Yusoof     
10. Che Ku Amriq Asyraff (CKJ Yamaha Racing Team)
11. Md Fairuz Nasir     
12. Md Emir Fareez Hasan (Team Honda Promax Racing)
13. Md Nasri Md Ishak (Apido Yamaha Boon Kui Racing) 
14. Md Hafiz Nor Azman (Team Mos Malaysia Racing)
15. Noor Edrin Ezurin Noor Asmara (Modenas Ltd Racing Team)
16. Md Saiful Aiman Shahrul Izwady     
17. Md Iqbal Amri     
18. Md Shafiq Rasol (Faito YSP Racing Team)
19. Nasha Edziera Md Bahauddin (Unisel-Gems)
20. Nurahmad Fariznazreen (Motul Yamaha YY Pang Racing Team)
21. Md Amim Abu Osman
22. Khairul Idham Pawi
23. Muizz Al-Atrash Abd Ghani (CKJ Yamaha Racing Team)
24. Md Nirwan Faris Amil
25. Md Fitri Md Sukor (Team Honda Promax Racing)
26. Fakhrusy Syakirin Rostam (AAP Mazoil Armstrong Motorsport)
27. Md Izzat Zaidi Md Salehan (Motul Yamaha YY Pang Racing Team)

Issued by Global PR Sdn Bhd
Copyright to Safe Aim Mutual Sdn Bhd

Saturday, March 24, 2012

PROFIL: SEJENAK BERSAMA HAFIZUDDIN




Minggu ini kita ikuti temu bual bersama Mohd Hafizuddin Azahar tentang persediaannya menghadapi musim 2012 ini sewaktu ditemui di majlis pelancaran pasukan Unisel Racing Team baru-baru ini.

Tahniah Hafizuddin kerana terpilih sebagai pelumba utama pasukan Unisel Racing Team. Apa perasaan Hafizuddin?

Saya berasa gembira dengan peluang yang diberikan oleh pasukan ini.

Bagaimana persediaan Hafizuddin untuk menghadapi musim 2012 ini?

Saya menjalani latihan seperti biasa terutama untuk menjaga stamina saya. Namun begitu, sebelum ini saya tidak menjalani latihan bersama jentera mereka kerana pemilihan ini dilakukan agak lewat.

Bagaimana agaknya prestasi Hafizuddin bersama pasukan baru pada musim ini?

Setakat ini saya tidak dapat mengagak bagaimana keupayaan pada musim ini kerana kami tidak mengetahun prestasi kemampuan pasukan lain. Namun begitu, saya yakin kami semua mampu memberikan saingan terhadap pasukan-pasukan lain.

Apa sasaran Hafizuddin pada musim ini?

Saya tidak meletakkan sebarang sasaran tinggi namun saya akan cuba untuk berikan saingan sengit kepada pelumba-pelumba lain. Kalau boleh saya mahu berada di kelompok lima pelumba terbaik keseluruhan.

Bagaimana gandingan Hafizuddin bersama dua lagi pelumba lain iaitu Nasha Edziera Bahaudin dan juga Mohd Afiki Supaat?

Mengikut perancangan pasukan, saya akan bertindak sebagai pelumba utama dan akan bergandingan dengan Nasha dan Afiki. Saya tidak ada sebarang masalah mengenainya. Selain itu, dengan bantuan jurulatih pasukan, Suhadi Ali Rahmat, kami yakin dapat meningkatkan prestasi masing-masing musim ini.

Issued by Global PR Sdn Bhd
Copyright to Safe Aim Mutual Sdn Bhd
 

FEATURE: FAITO YSP RACING BERALIH KE JENTERA HONDA




Bagi menjamin kejayaan dalam Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS, 2012 pelbagai rombakan telah dilakukan dan diumukan oleh pasukan-pasukan bertanding termasuk Faito YSP Racing.


Selepas mencatat keputusan memberansangkan tahun lalu, pasukan ini bakal beralih menggunakan jentera Honda bagi menghadapi saingan musim baru bermula pada Pusingan 1 di Litar Batu Kawan, Pulau Pinang pada 31 Mac dan 1 April ini.

Walau bagaimanapun, tiada perubahan dilakukan pada barisan pelumba pasukan ini. Sebaliknya ia akan terus diwakili Mohd Hafiza Rofa dan Mohd Shafiq Rasol dan kedua-dua pelumba ini akan meneruskan misi merebut gelaran juara keseluruhan kategori Wira.

Walaupun akur peralihan jentera sedikit-sebanyak pasti akan menyukarkan usaha mereka menghadapi musim baru, pengurus pasukan, Lee Waye Siang tetap positif Hafiza serta Shafiq mampu menghadapi segala cabaran bersama jentera baru.

"Penting bagi kami untuk terus mencari cabaran baru dalam perlumbaan seperti ini bagi memastikan kami terus kompetitif di dalam Cub Prix. Walaupun pelumba dan juga mekanik terpaksa bermula dari peringkat awal semula, namun ini dapat memberi mereka pengalaman baru dan pemahaman teknikal yang lebih baik."

Waye Siang turut menambah, "Kami memerlukan masa sebelum dapat benar-benar memahami jentera baru ini namun saya percaya selepas beberapa ujian di tambah perancangan rapi, kami akan dapat menghasilkan jentera yang kompetitif. Tambahan pula peraturan teknikal Wira yang agak ketat dan terhad, jadi tidak banyak perubahan yang kami boleh lakukan," katanya.

Mengulas tentang harapan terhadap Hafiza dan Shafiq, Waye Siang percaya kedua-duanya mampu menjadi pencabar utama bagi merebut gelaran juara Wira berdasarkan persembahan hebat musim lalu.

"Sukar untuk kami meletakkan sasaran kerana kami masih belum tahu mengenai kemampuan pencabar-pencabar lain pada waktu ini. Namun begitu, ia tidak mustahil untuk meletakkan sasaran gelaran juara Wira kerana persembahan Hafiza dan Shafiq pada tahun lepas begitu baik.

"Hafiza muncul naib juara keseluruhan pada tahun pertamanya manakala pada tiga pusingan terakhir pula, Shafiq menunjukkan banyak peningkatan. Tetapi sebelum mereka boleh merebut gelaran juara, mereka perlu memberi tumpuan untuk menyesuaikan diri dengan jentera Honda di samping membantu mekanik menghasilkan pelarasan yang terbaik," katanya.

Issued by Global PR Sdn Bhd
Copyright to Safe Aim Mutual Sdn Bhd
 

HONDA PROMAX RACING BELAJAR DARI KESILAPAN




Pasukan Honda Promax Racing menjadikan kegagalan pada saingan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2011 sebagai pengajaran berguna kepada mereka bagi menghadapi saingan musim 2012 ini.

Pada peringkat awal musim 2011, mereka mencatat beberapa kejayaan apabila Mohd Emir Fareez Hasan berjaya menaiki podium di tempat kedua pada Pusingan 3 (Kuala Terengganu) dan tangga ketiga pada pusingan berikutnya di Putrajaya.

Selepas dua kedudukan podium tersebut, segala tampak tidak menjadi apabila Emir Fareez sekadar menambah tujuh mata pada baki enam perlumbaan berikutnya. Begitu juga rakan sepasukannya, Mohd Solehin Mohd Sukor, yang sekadar menaiki podium di tempat ketiga pada perlumbaan Pusingan 6 (Alor Setar) walaupun seringkali memulakan perlumbaan di barisan hadapan pada setiap perlumbaan.

Namun bagi pengurus pasukan, Erwan Ahamad, keputusan mengecewakan itu dijadikan sebagai pengalaman yang sangat berharga kepada mereka.

"Pengurusan pasukan tidak begitu teratur pada penghujung musim. Kami kurang menitik-beratkan beberapa perkara terutama untuk menguruskan pelumba-pelumba dengan baik. Ini menjadi punca utama kenapa prestasi mereka semakin merosot pada penghujung musim. Saya akui kesilapan tersebut dan akan memperbaikinya pada musim ini."

Menceritakan tentang persiapan untuk menghadapi saingan musim baru ini, Erwan menjelaskan tumpuan mereka tetap kepada mengejar gelaran juara kategori Wira. "Pada musim ini harapan kami diletakkan di bahu Emir Fareez. Solehin pula akan beralih ke kategori CP115 atas tiket persendirian kerana dia telah melebihi had umur 17 tahun.

"Kami menggantikan tempat Solehin dengan dua pelumba baru iaitu Mohd Fitri Mohd Sukor dan juga Mohd Razmal Mohd Rohizad. Sebagai persediaan awal, kami sudah mula menjalani latihan bersama-sama terutama untuk membantu meningkatkan kecergasan fizikal dan juga mental mereka," jelasnya.

Sementara itu, Emir Fareez turut tidak sabar untuk memulakan saingan musim ini. "Pada tahun lepas mungkin nasib saya tidak begitu baik, saya sering terjatuh dan juga gagal untuk menamatkan perlumbaan.

"Jadi pada tahun ini saya akan berusaha memberi sepenuh tumpuan terhadap perlumbaan dan juga  berharap semuanya akan bertambah baik pada tahun ini. Saya yakin dapat memberikan saingan sengit kepada pelumba-pelumba lain sebaik perlumbaan bermula nanti," jelas pelumba berusia 17 tahun itu.

Issued by Global PR Sdn Bhd
Copyright to Safe Aim Mutual Sdn Bhd

Saturday, March 17, 2012

KELAS PERSENDIRIAN DIBUKA UNTUK PENDAFTARAN




Pusingan pembukaan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2012 akan berlangsung. Seluruh kontinjen Cub Prix pastinya sudah tidak sabar untuk bergerak ke Stadium Batu Kawan, Seberang Perai, iaitu gelanggang pembuka musim tahun 2012 pada 31 Mac dan 1 April ini.

Tidak ketinggalan juga bagi pelumba-pelumba kategori Persendirian. Pendaftaran kategori Persendirian sudah mula dibuka dan mereka yang berminat perlu mendaftarkan nama dengan segera kepada Promoter Acara, Safe Aim Mutual Sdn Bhd (SAM).

Selepas berlangsung selama tiga tahun berturut-turut, kategori yang dianjurkan mengikut kemampuan pelumba-pelumba di lihat semakin mendapat tempat di kalangan peminat-peminat sukan pemotoran yang tidak ketinggalan mahu memperagakan aksi dan bakat mereka. Jelas, peserta kategori ini dilihat berada di landasan tepat apabila terdapat diantara mereka yang kini terpilih untuk beraksi bersama pasukan profesional.

Jadi berita baik buat pelumba-pelumba, SAM turut mengekalkan peraturan teknikal sedia ada bagi memastikan kos perlumbaan setiap pelumba kekal munasabah di samping mahu melihat kategori ini terus berkembang dan mendapat penyertaan menggalakkan.

Berpuas hati dengan peningkatan yang ditunjukkan saban tahun, Pengarah Promosi SAM, Ron Hogg memberitahu, "Pengenalan dua sesi perlumbaan Persendirian yang membenarkan 48 pelumba berada di atas grid tahun lalu menjadi tanda aras baru kepada kategori ini. Peningkatan ketara ditunjukkan apabila 90 pelumba keseluruhan menyertai kategori ini berbanding hanya 47 pelumba pada 2010," kata Ron.

"Sewaktu kami memulakan kategori ini, tujuannya adalah untuk melihat ada diantaranya dapat membuktikan bakat mereka juga setanding dengan pelumba-pelumba kategori lain. Ia terbukti apabila ada diantaranya kini dapat beraksi bersama pasukan-pasukan ternama. Misalnya, naib juara 2011, Abdul Fhahmin Mutalib dan peserta tahun 2010, Mohd Syawal Mohd Noor kini mewakili PETRONAS Syntium Moto Yamaha Raceline. Wan Mohd Hadri Wan Mukthar yang turut beraksi pada musim 2010 pula akan membawa cabaran Pachie Yuzy Honda Racing pada musim ini."

Ron turut menyatakan saingan musim ini pasti berbeza memandangkan tiga pelumba terbaik keseluruhan 2011, di mana juara, Wazir Abdul Razak diikuti Abdul Fhahmin Mutalib dan Ang Beng Seang tidak lagi dibenarkan beraksi pada musim 2012.

"Bagi memastikan saingan lebih adil dan bertambah sengit, Wazir, Fhahmin dan Ang  akan beralih ke kategori lain, jadi pelumba-pelumba Persendirian tidak perlu bimbang mengenainya. Apa yang penting adalah untuk membuat pendaftaran dengan segera kerana penyertaan hanya dihadkan kepada 48 pelumba terawal sahaja."

Pendaftaran terbuka kepada pelumba berumur diantara 17 hingga 45 tahun yang memiliki lesen perlumbaan kelas "C" yang dikeluarkan oleh AAM/MAM sahaja. Penyertaan berdasarkan siapa yang membuat pendaftaran terawal dengan yuran penyertaan berjumlah RM100.  Tarikh tutup penyertaan pada 26 Mac (Isnin). Kepada yang berminat, sila hubungi Safe Aim Mutual Sdn Bhd (SAM) di talian 03-8733 8787 pada waktu pejabat untuk membuat pendaftaran.


Issued by Global PR Sdn Bhd
Copyright to Safe Aim Mutual Sdn Bhd
 

Zamri terlepas aksi pembukaan Cub Prix



Zamri Baba ketika beraksi dalam pusingan ARRC musim lalu. 

Di saat seluruh kontinjen sudah tidak sabar untuk memulakan saingan  Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS, lain pula ceritanya bagi pelumba handalan, Mohd Zamri Baba.
Pelumba itu bakal terlepas aksi pusingan pembukaan yang akan berlangsung di Stadium Batu Kawan, Sebarang Jaya pada 31 Mac hingga 1 April ini kerana dia akan meluangkan masa selama tiga minggu di Jepun untuk menjalani latihan SuperSports 600c.
Selain itu, dia turut dijadualkan beraksi di Pusingan Pembukaan Kejuaraan Seluruh Jepun MFJ yang akan berlangsung di Litar Twin Ring Motegi atas tiket wildcard pada tarikh yang sama dengan perlumbaan di Batu Kawan.
Pelumba PETRONAS Yamaha Malaysia itu akan menjalani latihan di bawah bimbingan jurulatihnya, Youichi Ui yang banyak membantu meningkatkan prestasinya di Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) PETRONAS musim lepas.
Walaupun kecewa kerana tidak dapat beraksi di Batu Kawan, Zamri terpaksa berkorban demi untuk merealisasikan hasratnya merebut mahkota Kejuaraan pada musim ini.
“Kami jangkakan saingan pada musim ini semakin sengit. Selain juara 2011, Katsuaki Fujiwara (Manual Tech BEET Kawasaki Racing) dan naib juara, Azlan Shah Kamaruzaman (Boon Siew Honda Racing Malaysia), beberapa nama-nama besar seperti Ryuichi Kiyonari turut bersaing pada musim ini, jadi sebab itulah persediaan perlu bermula dari sekarang,” kata Zamri yang berangkat ke Jepun Isnin lepas.
“Sudah tentu saya agak kecewa kerana terlepas aksi pembukaan Cub Prix. Namun, pada masa sama, saya mahu merebut peluang ini untuk meningkatkan karier perlumbaan SuperSports 600cc dan berharap dapat bersaing merebut gelaran juara. Saya percaya dengan latihan kendalian Ui dan menyertai Kejuaraan Seluruh Jepun di Motegi, peluang saya akan bertambah,” katanya.
Bercakap tentang sasarannya di litar Motegi, Zamri hanya berharap sekurang kurangnya dapat berada di kelompok 10 pelumba terbaik. “Sukar untuk meletakkan sebarang sasaran kerana ini merupakan aksi pertama saya di Kejuaraan Seluruh Jepun namun saya berharap dapat menamatkan perlumbaan di kedudukan 10 teratas.
"Kami jangkakan perlumbaan pasti sukar memandangkan perlumbaan di dalam cuaca sejuk, jadi saya perlu menggunakan tempoh tiga minggu ini untuk menyesuaikan diri dengan cuaca di samping meningkatkan kemahiran tunggangan dan pengetahuan teknikal jentera 600cc ini,” kata pelumba 29 tahun itu.
Berada di tangga ketiga keseluruhan SuperSports 600cc musim lepas, pelumba kelahiran Klang itu bukan pelumba pertama menyertai Kejuaraan Seluruh Jepun.
Pelumba ARRC lain yang turut mengambil bahagian ialah duo Yamaha Thailand Racing, Chalermpol Polamai dan Decha Kraisat serta rakan sepasukan Fujiwara dari Indonesia, M.Fadli.

MODENAS ACE 115 MELAKAR EVOLUSI IMPIAN



Kuala Lumpur, 1 Mac  2012  - Mengambil kira pandangan serta ‘trend’ terkini motosikal, 
Motosikal dan Enjin Nasional Sdn. Bhd. (MODENAS), hari ini melancarkan motosikal model 
terbaru  MODENAS ACE 115 yang menampilkan rekabentuk serba baharu berlandaskan 
rekabentuk skuter yang sentiasa ranggi dan digabungkan dengan ciri-ciri motosikal “moped” 
yang tangkas dan berkuasa di jalanraya. 
Hasil dari lakaran impian yang bakal mencetuskan evolusi, motosikal ini dijangka akan 
mengungguli kelasnya yang tersendiri serta menerajui segmen terbaru dalam industri 
motosikal Malaysia.  


Motosikal terbaru yang dikuasakan oleh enjin 120cc berteknologi Kawasaki ini dilengkapi 
dengan penyerap hentak tunggal (monoshock), Brek Cakera Hadapan Dwi Piston untuk kuasa 
membrek yang lebih sempurna dan tangki minyak berukuran 5.3 liter yang mampu mencatat 
perjalanan sehingga 250km pada kelajuan purata 80kmj. Ciri-ciri istimewa lain yang terdapat 
pada motosikal MODENAS ACE 115 ialah Rim Sport (Alloy Rims) yang bergaya, Transmisi Empat 
Kelajuan dengan sistem berputar, rekabentuk ekzos yang “sporty” serta lampu hadapan yang 
unik dengan nyalaan yang lebih terang dan lebar. Dengan tempat duduk dua tona warna, 
motosikal ini didatangkan dengan dua corak warna  yang menarik iaitu putih dan merah. Model 
ini mampu menepati citarasa golongan pengguna berusia diantara 18 hingga 35 tahun yang 
mahukan keterampilan ”sporty”,  berani dan berevolusi.  2
“Setiap penyelidikan yang dijalankan adalah untuk menjamin motosikal buatan MODENAS 
dilengkapi dengan rekabentuk yang bermutu tinggi, melepasi ujian ketahanan yang paling 
sukar, dan mampu berdaya saing di pasaran. Kami telah meningkatkan ujian ketahanan di 
jalanraya dari 10,000km ke 20,000km dan ujian dynamometer dari 200jam ke 300jam.” ujar 
Encik Abd. Halim Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif MODENAS dalam ucapan beliau di majlis 
tersebut. 


Dengan pengenalan model terbaru ini, MODENAS yakin akan dapat memperbaiki penguasaan 
pasaran ke tahap 15 peratus, di akhir tahun kewangan 2012/13, dengan sasaran anggaran 
purata jualan keseluruhan sebanyak 7 ribu unit sebulan.  
“Bersandarkan evolusi yang dicetuskan dari satu impian, kami yakin model ini bakal 
mencetuskan satu fenomena baru dalam industri motosikal tempatan,” kata Encik Abd. Halim 
Ismail. 


Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh YB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakub, Menteri 
Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan. Turut hadir ialah YBhg. Dato’ Syed 
Mohamad Syed Murtaza, Pengerusi DRB-HICOM Berhad merangkap Pengerusi MODENAS serta 
YBhg. Dato’ Sri Hj. Mohd. Khamil Jamil, Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom Berhad.  
Bertepatan dengan seruan kerajaan Malaysia yang menggesa ke arah penjimatan dan harga 
yang berpatutan, MODENAS telah menetapkan harga yang amat kompetitif bagi model 
MODENAS ACE 115 iaitu RM4,600.00.