jokisenja header

jokisenja header


Wednesday, November 30, 2011

Ramdan azam takluk Pulau Pinang

Ramdan azam takluk Pulau Pinang
PENGALAMAN menyertai pusingan terakhir siri Indoprix di Indonesia baru-baru ini menjadi bekalan buat Mohd Ramdan Mohd Rosli, beraksi lebih baik pada pusingan penutup tirai Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Padang Kota Lama, Pulau Pinang hujung minggu ini.

Pelumba berusia 15 tahun itu akan mempraktikkan kemahiran baru dipelajari di Indonesia dan berharap mampu menamatkan perlumbaan di atas podium.

“Matlamat saya pada perlumbaan CP130 di Pulau Pinang ini adalah untuk menaiki podium bagi menebus kegagalan di Sepang.

“Setakat ini saya yakin 80 peratus mampu melakukannya,” katanya.

Selepas sembilan pusi­ngan, Ramdan kini menghuni tangga kelapan dalam senarai keseluruhan CP130 dengan mengumpul 78 mata.

Siri MSS turut perkenalkan kelas Moto3 - SIC

 
Aksi pelumba PETRONAS Yamaha, Azlan Shah Kamaruzaman pada Pusingan Kedua Malaysian Super Series (MSS) di Litar Antarabangsa Sepang.

Kejohanan sukan permotoran terulung negara - Malaysian Super Series (MSS) - akan disusun semula musim depan selaras dengan pengenalan kategori baru Moto3 pada Kejohanan Grand Prix Motosikal Dunia (MotoGP) tahun depan.
Suruhanjaya Grand Prix Persekutuan Motosikal Antarabangsa (FIM) telah memperkenalkan kelas Moto3 bagi menggantikan kelas 125cc, dengan menggunakan enjin empat lejang berkuasa 250cc.
Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC) Datuk Razlan Razali berkata selaku penganjur siri MSS, pihaknya juga akan memperkenalkan acara 250cc untuk pelumba tempatan bagi memudahkan mereka menyertai saingan pada MotoGP Dunia.
"Mulai tahun depan, kelas 125cc akan diganti dengan kelas Moto3 dan juga terdapat tiket 'wildcard' dalam acara Moto3 disediakan. Oleh itu MSS merupakan platform terbaik untuk pelumba tempatan memburu tempat ke MotoGP Dunia," katanya dalam kenyataan hari ini.
Razlan berkata SIC sedang berbincang dengan Boon Siew Honda dan Kawasaki bagi mewujudkan platform 250cc demi dalam membantu pembangunan sukan permotoran negara. 

EMIR MAHU AKHIRI MUSIM DENGAN KEJAYAAN




Mohd Emir Firdaus Hasan mahu menebus kekecewaan dengan meraih kejayaan pada pusingan terakhir Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2011 di Padang Kota Lama, Pulau Pinang 3 dan 4 Disember ini.

Didorong oleh kegagalan melayakkan diri ke perlumbaan akhir (DNQ) ketika di Melaka (Pusingan 8) dan Sepang (Pusingan 9), pelumba M-Seki Liberty Honda Racing itu berazam untuk menamatkan perlumbaan hujung minggu ini di hadapan Mohd Rozaliman Zakaria (ZAR Racing Motorsport) yang mampu menghalang misinya menamatkan musim ini di kedudukan ketiga keseluruhan.

Berada di tangga ketiga kategori CP115 pada masa ini dengan pungutan 95 mata, pelumba kelahiran Terengganu, Rozaliman sekadar satu mata mengatasi Emir yang menduduki tempat keempat dengan 94 mata. Tempat pertama menjadi  milik Shahril Izzuwan Mohd Noor (PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM) di tangga teratas dengan 128 mata diikuti Zaidy Mohd Zaifaizal (Motul Yamaha YY Pang) kedua dengan 111 mata.

"Peluang merebut tempat kedua masih ada namun memandangkan Zaidy mempunyai kelebihan sebanyak 17 mata, risiko untuk mengejarnya agak tinggi jadi saya mengubah sasaran musim utuk menduduki tempat ketiga. Oleh itu adalah amat penting sekali untuk saya berada di hadapan Rozaliman pada perlumbaan akan datang kerana hanya satu mata yang membezakan kedudukan kami pada masa ini. Tiada ruang lagi  untuk melakukan sebarang kesilapan ini termasuk aspek teknikal ataupun kesilapan pasukan dan saya sendiri," jelas pelumba 22 tahun itu.

Emir turut percaya perubahan daripada litar yang lebar dan luas Sepang kepada litar sempit dan teknikal akan memberikan kelebihan kepadanya untuk menamatkan perlumbaan di atas podium.

Bercerita tentang harapannya pada kemuncak perlumbaan kali ini, Emir menambah, "Saya mempunyai perasaan baik untuk perlumbaan kali ini. Memandangkan kami berlumba di litar yang sempit, saya tidak perlu bimbang mengenai masalah berat badan saya sepertimana di Sepang. Tambahan pula, prestasi jentera Honda saya sama seperti pertengahan musim ketika saya memenangi perlumbaan di Putrajaya (Pusingan 4) dan dua kali di tempat kedua ketika di Alor Setar (Pusingan 6) dan Kluang (Pusingan 7). Mudah-mudahan kelebihan ini dapat membantu saya meraih podium di Pulau Pinang nanti.

Ketika di tanya mengenai strategi untuk perlumbaan terakhir musim ini, "Saya akan berusaha sedaya upaya pada perlumbaan ini untuk mencapai objektif saya. Di samping itu saya akan membuat perancangan bersama rakan sepasukan, Sasitharen Sukumaran. Sasi telah menunjukkan banyak peningkatan sejak kebelakangan ini dan saya mahu dia cuba menghalang pelumba-pelumba lain manakala saya memberi sepenuh perhatian untuk mendapatkan podium dan mengatasi Rozaliman," jelas Emir yang turut beraksi dalam kategori SuperSports 600cc Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS bersama pasukan Boon Siew Honda Racing Malaysia.

Issued by Global PR Sdn Bhd
Copyright to Safe Aim Mutual Sdn Bhd

Sunday, November 27, 2011

Promax X-Dot mahu nikmati perlumbaan akhir

Promax X-Dot mahu nikmati perlawanan akhir

SEDAR peluang untuk melakukan perubahan drastik sudah terlambat menjelang pusingan terakhir Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas, Honda Promax X-Dot Racing, tidak mahu memberi tekanan terhadap pelumba muda kategori Wira Bawah-17.

Pengurus pasukannya, Erwan Ahmad cuma mahukan pelumba, Mohd Solehin Mohd Sukor, Mohd Emir Fareez Hasan dan Mohd Hafiz Nor Azman tenang dan menikmati perlumbaan terakhir buat musim yang bakal berlangsung di Penang Esplanade, 3 dan 4 Disember nanti.

“Gelaran Wira telah menjadi milik Zulsyafiz Rosli (MOS Malaysia Racing) ketika perlumbaan di Sepang (Pusingan 9) dan jurang mata agak besar antara kami terutama bagi lima pelumba teratas dalam carta keseluruhan setakat ini,” katanya.

Percaya penurunan prestasi pemain disebabkan nasib mereka yang tidak begitu baik musim ini, Erwan berkata, ia adalah senario biasa dalam perlumbaan.

“Pasukan dan pelumba telah melakukan persediaan secukupnya, namun nasib tidak menyebelahi. Mudah-mudahan nasib malang kami akan berakhir di Pulau Pinang nanti.

“Mereka telah menunjukkan banyak peningkatan selain bekerja keras sepanjang musim. Selepas ini, kami akan berehat seketika sebelum kembali untuk menghadapi musim depan ,” katanya.

KLINIK MOTOR CUB PRIX PERCUMA KEPADA ORANG RAMAI


Bersempena dengan pusingan Grand Finale Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS yang akan berlangsung di Padang Kota Lama, minggu depan, Promoter Kejuaraan, Safe Aim Mutual Sdn Bhd (SAM) mengambil inisiatif menganjurkan Klinik Motor Cub Prix bersama Shahrol Yuzy Ahmad Zaini kepada orang ramai.

Klinik Motor Cub Prix ini akan diadakan secara percuma bertempat di  Dewan Sri Pinang, Lebuh Light pada 3 Disember (Sabtu) bermula jam 5.00 petang hingga 6.30 petang dan ia terbuka kepada peserta berumur 13 tahun dan ke atas.

Objektif utama penganjuran Klinik Motor Cub Prix ini adalah untuk mendidik orang ramai khususnya remaja terhadap sukan bermotor dan langkah-langkah betul yang boleh diambil untuk menyalurkan minat mereka. Cub Prix merupakan landasan terbaik untuk pendatang baru mencungkil bakat dan meneroka potensi yang ada pada mereka sekaligus dapat membantu melahirkan pelumba berbakat untuk sukan pemotoran negara pada masa akan datang.

Klinik Motor Cub Prix ini akan dikendalikan oleh bekas pelumba MotoGP, Shahrol Yuzy yang juga pengurus pasukan Pachie Yuzy Honda Racing. Program selama satu jam setengah ini akan memperkenalkan peserta kepada dunia sukan lumba motor, panduan mendapatkan lesen perlumbaan, keperluan asas dan peralatan perlumbaan, peraturan dan undang-undang, teknik perlumbaan serta sifat profesional yang perlu ada pada seorang pelumba.

Pengarah Promosi SAM, Ron Hogg menggalakkan orang ramai khususnya remaja agar mengambil kesempatan ini untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang sukan lumba motor. "Ia terbuka kepada semua dan dianjurkan secara percuma. Kepada remaja-remaja di Pulau Pinang, Perlis, Kedah dan Perak yang berminat ataupun ibu bapa sendiri dijemput untuk menyertai program ini," kata Ron.

Ron menambah, "Ini merupakan kali pertama kami mengadakan program seperti ini di Pulau Pinang dan peluang ini tidak boleh dilepaskan begitu sahaja. Sesi ini sangat menarik dan peserta juga turut dapat bersemuka dengan Shahrol Yuzy. Sebarang soalan mengenai perlumbaan boleh diajukan kepadanya dan peserta akan menerima jawapan yang dikehendaki daripada seorang pelumba yang berpengalaman."

Klinik Perlumbaan Cub Prix ini terbuka kepada 400 peserta sahaja. Pendaftaran sudah mula dibuka dan tarikh tutup pendaftaran pada 2 Disember jam 5.00 petang.  Mereka yang berminat boleh menghubungiSafe Aim Mutual Sdn Bhd (SAM) di talian 03-8733 8787 (waktu pejabat) ataupun melalui emel dengan menyertakan nama penuh, nombor kad pengenalan dan nombor telefon (telefon bimbit digalakkan) ke alamat info@twmr.com.my

Issued by Global PR Sdn Bhd
Copyright to Safe Aim Mutual Sdn Bhd

Wednesday, November 23, 2011

PELUMBA UTARA SEDIA TAWAN PADANG KOTA LAMA

Pelumba-pelumba utara tanah air kini bersedia dan bersemangat untuk mempamer aksi terbaik mereka pada pusingan penutup tirai musim 2011 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS yang bakal berlangsung di Padang Kota Lama, Pulau Pinang, 3 dan 4 Disember ini.

Pusingan ke-10 ini dijangka sengit memandangkan tidak ada seorang pun daripada para pelumba ini pernah memenangi perlumbaan di Padang Kota Lama sejak ia mula diperkenalkan ke dalam kalendar Cub Prix pada tahun 2009. Diantara mereka ialah Elly Idzlianizar Ilias (Global Bike Rock Oil Racing), Ahmad Fazli Sham dan Ahmad Fazrul Sham (Pennzoil Racing Malaysia)yang beraksi di dalam kategori CP130, pelumba CP115 Shahril Izzuwan Mohd Noor (PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM), Zaidy Mohd Zaifaizal dan Mohd Rozaiman Mohd Said dari Motul Yamaha YY Pang serta Emir Firdaus Hasan (M-Seki Liberty Honda Racing). 

Sementara itu, pelumba utara yang beraksi dalam kategori Wira pula terdiri daripada Mohd Emir Fareez Hasan dan Mohd Solehin Mohd Sukor (Honda Promax X-Dot Racing), Mohd Amin Azahar (MOS Malaysia Racing), Nurahmad Fariznazreen (Motul Yamaha YY Pang Racing) dan Mohd Razmal Mohd Rohizad.

Dua musim lepas pelumba kelahiran Selangor, Hafizh Syahrin Abdullah (PETRONAS Syntium Moto Yamaha Raceline) muncul juara kategori CP130 (Expert) manakala Mohd Farid Ahmad yang mewakili Modenas Yuzy Pachi Racing memenangi CP115 (Novis) pada tahun 2009 dan Mohd Ramdan Mohd Rosli (PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM) begelar juara CP115 di sini musim lalu. Mohd Azhar Abdul Jalil (Motul Yamaha YY Pang Racing) pula cemerlang di dalam kategori Wira apabila merampas kemenangan dua tahun berturut-turut.

Pengarah Promosi Promoter Kejuaraan Safe Aim Mutual Sdn bhd (SAM), Ron Hogg berkata, "Sepanjang sembilan pusingan yang telah berlalu kita telah melihat tujuh pemenang berbeza dalam kelas CP130 manakala Shahril dan Zaidy pula saling bertukar kedudukan pendahulu dalam carta keseluruhan CP115.  Selain itu, walaupun Zulsyafiz Rosli  (MOS Malaysia Racing) telah memenangi gelaran Wira musim ini, saya tidak fikir dia akan memandang mudah perlumbaan minggu depan. 

"Berdasarkan ini serta sebuah perlumbaan menarik di Sepang awal November lalu apabila tiga pengeluar berbeza Honda, Yamaha dan Suzuki memenangi tiga kelas utama, saya yakin perlumbaan akhir 2011 ini pasti sengit dan mendebarkan terutamanya dengan kehadiran ramai pelumba utara yang belum pernah mengecapi kejayaan di Padang Kota Lama," katanya.

Tambahan lagi, penyertaan dalam kategori Persendirian turut dijangka meningkat. Setakat ini, seramai 33 pelumba telah pun membuat pendaftaran awal berbanding tarikh akhir 28 November dan lebih ramai lagi yang akan membuat pendaftaran selepas ini. Jumlah penyertaan tertinggi dalam kategori Persendirian ialah seramai 47 pelumba pada Pusingan 2 di Batu Kawan.

Issued by Global PR Sdn Bhd
Copyright to Safe Aim Mutual Sdn Bhd

Monday, November 21, 2011

CUB PRIX KEMBALI KE PULAU PINANG DENGAN LEBIH KEMERIAHAN




Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS kembali ke Pulau Pinang dan kali ini dengan lebih besar, lebih meriah dan lebih banyak aktiviti untuk orang ramai ketika pusingan Grand Finale berlangsung di Penang Esplanade atau lebih dikenali Padang Kota Lama pada 3 dan 4 Disember ini.

Selain daripada aksi mendebarkan di litar, pengunjung-pengunjung pada musim ini dihidangkan dengan pelbagai aktiviti bukan hanya sesuai untuk penggemar-penggemar sukan pemotoran, malah untuk seisi keluarga. Ini termasuklah Klinik Perlumbaan Cub Prix, permainan, pertandingan, ujian tunggangan, persembahan dan juga tayangan layar gergasi di mana penonton-penonton boleh menyaksikan perlumbaan di kawasan strategic di kawasan promosi Cub Prix.

Ini merupakan kali ketiga Cub Prix berlangsung di Pulau Mutiara selepas sambutan menggalakkan ketika pertama kali diadakan pada 2009 dan pengalaman yang tidak dapat dilupakan pada tahun lalu apabila Hafizh Syahrin Abdullah (PETRONAS Syntium Moto Yamaha Raceline) mencatat sejarah sebagai pelumba termuda yang memenangi gelaran CP130 pada usia 16 tahun.

Exco Belia dan Sukan, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat, YB Lydia Ong Kok Foi memuji usaha Promoter Kejuaraan, Safe Aim Mutual Sdn. Bhd. (SAM) di atas usaha yang dilakukan dan berkata, "Seluruh kontinjen Cub Prix dan semua pelumba-pelumba dari seluruh negara akan berkunjung ke Pulau Pinang untuk memperagakan aksi terbaik dan meraih kejayaan untuk pasukan masing-masing.

"Menyaksikan pelumba profesional beraksi di tempat sendiri adalah sesuatu yang sangat menarik dan saya juga memuji usaha pihak penganjur mengadakan Klinik Perlumbaan Cub Prix untuk mendidik orang ramai mengenai perlumbaan dengan dikendalikan oleh bekas pelumba MotoGP negara, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini. Tambahan pula, adanya skrin besar (6m lebar x 4m tinggi) membolehkan pengunjung-pengunjung menikmati perlumbaan dan juga aktiviti-aktiviti lain."

Tambahnya lagi, "Dengan adanya semua itu, saya memberi jaminan kepada semua di mana pusingan Grand Finale Cub Prix pasti sangat menghiburkan dan pengalaman yang cukup menyeronokkan untuk semua. Saya berharap agar orang ramai tidak melepaskan peluang ini dan dapat meluangkan masa bersama rakan-rakan dan keluarga di Penang Esplanade pada 3 dan 4 Disember ini.Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada SAM kerana menjadikan Pulau Pinang sebagai pusingan terakhir Kejuaraan dan tidak dilupakan penaja utama, PETRONAS dan juga penaja-penaja bersama di atas sokongan penuh mereka."

Sama seperti dua musim lepas, bagi memastikan perlumbaan selama dua hari ini berjalan lancar dan untuk keselamatan orang awam, beberapa jalan di sekitar kawasan ini akan di tutup bermula jam 12 tengah malam 2 Disember (Jumaat) dan akan di buka semula pada jam 6 pagi 5 Disember (Isnin).

Antara laluan yang terlibat ialah Pengakalan Weld menuju ke Lebuh Light, Lebuh Farquhar menuju ke Lebuh Light, Lebuh Pantai menuju ke Lebuh Light, Jalan Tun Syed Barakbah dan Pengkalan Weld, Lebuh King menuju ke Lebuh Light dan Lebuh Light menuju ke Lebuh Penang.

Issued by Global PR Sdn Bhd
Copyright to Safe Aim Mutual Sdn Bhd

Monday, November 14, 2011

Zulsyafiz juarai Wira


ZULSYAFIZ Rosli bukan sahaja gembira kerana berjaya menjejakkan kaki di atas podium, malah turut mengesahkan gelaran juara keseluruhan kategori Wira pada perlumbaan Pusingan 9 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Litar Antarabangsa Sepang (Litar Selatan), semalam.
Pelumba Mos Malaysia Racing itu menamatkan perlumbaan sembilan pusingan di kedudukan ketiga dengan masa keseluruhan 12 minit 59.207 saat.

16 mata yang diperoleh, dia kini mengumpul 152 mata, 32 mata mengatasi Mohd Hafiza Roza (Faito YSP Racing) yang berada di kedudukan kedua dengan 120 mata.
“Sasaran saya hanyalah untuk mengutip mata bagi mengukuhkan lagi kedudukan saya di tangga teratas namun setelah pesaing utama saya, Adib gagal beraksi di pusingan akhir, keyakinan saya mula bertambah dan saya sedar jika berjaya meraih kedudukan podium saya akan bergelar juara keseluruhan,” katanya.

Perlumbaan dimenangi Mohd Khairul Azhar dari pasukan Suzuki Fortyone Racing dengan masa keseluruhan 12:59.207s diikuti Hafiza di tempat kedua, 12:59.532s.

Sementara itu, penentuan gelaran juara keseluruhan CP130 berterusan sehingga ke Pusingan 10 apabila pendahulu keseluruhan, Norizman Ismail dari pasukan Harian Metro TEQ SCK Honda Racing sekadar menamatkan perlumbaan di kedudukan kelima untuk memungut tambahan 11 mata menjadikan 113 mata keseluruhan.
Perlumbaan 13 pusingan yang berlangsung dalam keadaan hujan dimenangi oleh rakan sepasukannya, Mohd Affendi Rosli dengan masa keseluruhan 19:58.427s sekali gus menghidupkan peluangnya untuk mengejar kedudukan Norizman di tangga teratas. Tempat kedua dimenangi oleh Abdul Muhaimin Roslan dari pasukan Yamaha Maju Motor Racing 19:58.467s diikuti Mohd Zamri Baba (Petronas Syntium Moto Yamaha AHM), 19:58.532s.

Affendi kini sekadar sembilan mata ketinggalan kepada Norizman dengan mengumpul 104 mata manakala Muhaimin naik ke kedudukan ketiga dengan mengumpul 88 mata.
Kemenangan Affendi membantu Harian Metro TEQ SCK Honda Racing mengesahkan gelaran Anugerah Berpasukan Keseluruhan menjadi milik mereka dengan mengumpul 209 mata diikuti pasukan Yamaha Maju Motor Racing kedua, 158 mata dan Petronas Syntium Moto Yamaha AHM ketiga, 157 mata.

“Setelah lama menunggu akhirnya saya berjaya meraih kemenangan pertama saya dan saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada pasukan kerana telah menyediakan jentera yang menjadi penyumbang utama kepada kejayaan saya hari ini,” kata juara Novis 2007 itu.

Dalam kategori CP115, Mohd Rozaliman Zakaria berjaya meraih kemenangan pertamanya diikuti Mohd Rozaiman Mohd Said kedua, 15:47.755s dan Shahril Izzuwan Mohd Noor (Petronas Syntium Moto Yamaha AHM) ketiga, 15:53.591s.

Pusingan ke-10 akan berlangsung di Padang Kota Lama, Pulau Pinang pada 3 dan 4 Disember depan.

Saturday, November 12, 2011

MUHAIMIN CIPTA KEJUTAN CATAT MASA TERPANTAS



Abdul Muhaimin Roslan mencipta kejutan apabila muncul pelumba terpantas sesi ujian masa kategori CP130 pada Pusingan 9 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2011 yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (Litar Selatan), Sepang, hari ini.

Pelumba Yamaha Maju Motor Racing itu mencatatkan masa terpantas 1 minit 19.786 saat yang dilakukannya pada pusingan kelapan, 0.357s lebih pantas berbanding catatan ketika mendahului sesi latihan bebas kedua sebelum itu dengan catatan 1:20.143s.

Azlan Shah Kamaruzaman dari pasukan Harian Metro TEQ SCK Honda Racing muncul pelumba kedua terpantas dengan catatan 1:19.936s manakala rakan sepasukan Azlan, Mohd Affendi Rosli ketiga, 1:20.030s.

Muhaimin yang tidak menyangka mampu mencatat masa terpantas berkata, "Sasaran utama saya pada hari ini hanyalah untuk melayakkan diri beraksi di peringkat Superpole. Lagipun catatan masa saya pada sesi latihan bebas pertama pada sebelah pagi  yang berlangsung dalam keadaan litar basah agak jauh di belakang apabila saya ketinggalan 1.840s kepada Affendi yang muncul sebagai pelumba terpantas. Namun ketika sesi latihan bebas kedua, saya dapati keadaan jentera saya begitu baik dan mempunyai banyak kelebihan berbanding jentera lain terutama di laluan lurus dan juga di selekoh. Selepas itu saya tidak melakukan sebarang perubahan lagi, cuma membuat pertukaran spoket bagi menghadapi sesi ujian masa," jelas  Muhaimin yang masih belum meraih sebarang gelaran juara pada musim ini.

Menjawab tentang sasaran pada perlumbaan esok, pelumba 20 tahun itu berkata, "Saya mahu mencatat kemenangan peribadi pertama untuk musim ini memandangkan selepas lapan pusingan, saya masih gagal meraih sebarang gelaran juara. Sebarang keadaan cuaca pada hari esok juga tidak membimbangkan saya kerana saya cukup yakin dengan kelebihan yang ada pada jentera saya," kata juara Novis musim 2008 itu.

Keputusan ini juga meletakkan Muhaimin akan bertindak sebagai pelumba terakhir untuk sesi Superpole esok.

Dalam kategori CP115, Sasitharen Sukumaren mahu menamatkan penantian untuk bergelar juara buat pertama kali pada musim ini apabila mengungguli sesi ujian masa dengan catatan terpantas 1:21.692s.

Shahril Izzuwan Mohd Noor dari pasukan PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM di kedudukan kedua dengan catatan 1:22.257s diikuti Mohd Rozaliman Zakaria (ZAR Racing Motorsport) ketiga, 1:22.832s.

Pelumba M-Seki Liberty Honda Racing yang juga naib juara Pusingan 8 di Melaka itu menjelaskan, "Saya memang yakin mampu untuk mencatat masa terpantas hari ini berdasarkan catatan yang saya lakukan ketika sesi ujian di sini pada minggu lepas. Malah catatan saya ketika itu lebih pantas daripada apa yang saya lakukan hari ini. Selepas melakukan catatan terpantas pada pusingan ketiga, kami mengambil keputusan supaya saya tidak meneruskannya lagi kerana mahu menjaga ketahanan enjin bagi menghadapi perlumbaan akhir nanti, Saya mahu meraih kemenangan pada perlumbaan kali ini kerana masih belum berjaya meraih sebarang gelaran juara setakat ini," jelas pelumba berusia 20 tahun itu.

Sementara itu, dalam kategori Wira, Mohd Khairul Adli Azhar muncul pelumba terpantas buat pertama kali pada musim ini dengan catatan 1:25.182s yang dilakukannya pada pusingan keenam.

Catatan pelumba Suzuki FortyOne Racing itu 0.201s lebih pantas berbanding catatan Nurahmad Fariznazreen dari pasukan Motul Yamaha YY Pang yang mencatatkan 1:25.383s. Juara Pusingan 8 di Melaka, Fakhrusy Syakirin Rostam (AAP Mazoil Faito Racing merekodkan catatan ketiga terpantas dengan masa 1:26.035s.

Adli, 17 tahun menjelaskan, "Catatan yang dilakukan hari ini masih tidak begitu baik namun ia sudah memadai untuk sesi ujian masa pada hari ini.  Saya yakin mampu untuk mencatat masa yang lebih pantas lagi pada ujian saringan hari esok. Pada pusingan lepas di Melaka, saya gagal untuk mencapai keputusan yang baik kerana jentera saya mengalami masalah di bahagian brek dan ia sudahpun diatasi oleh mekanik pasukan," jelas Adli yang mengidamkan kemenangan pertamanya untuk musim ini pada perlumbaan kali ini.

Dalam kategori Piala Yamaha EgoLC PETRONAS, Mohd Shafiq Rasol muncul pelumba terpantas dengan catatan 1:42.087s yang dilakukannya pada pusngan ketiga. Pesaing terdekatnya, Mohd Nasri Ishak di kedudukan kedua dengan catatan 1:43.905s dan Mohd Amirul Rasol ketiga, 1:44.179s.

Kategori Cabaran Honda Wave pula dikuasai oleh Suhaizarul Suhaizat apabila pelumba itu mencatatkan masa terpantas 1:32.098s diikuti Mohd Zulfakri Rosli, 1:33.253s dan Mohd Firdaus Zainol ketiga dengan catatan 1:34.126s.

Gelaran juara keseluruhan kategori Persendirian yang sudah menjadi miliknya tidak menghalang Wazir Abdul Razak untuk muncul pelumba terpantas apabila mencatatkan 1:29.612s diikuti Mohd Haziri Othman kedua dengan 1:30.556s dan Ang Beng Seang ketiga, 1:30.592s.

Issued by Global PR Sdn Bhd
Copyright to Safe Aim Mutual Sdn Bhd

Thursday, November 10, 2011

Zaidy optimis ubah nasib

Zaidy Mohd Zaifaizal

GAGAL menjejakkan kaki di atas podium dalam separuh musim kedua kejuaraan, Zaidy Mohd Zaifaizal optimis mengubah nasibnya pada pusingan kedua terakhir Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 12 hingga 13 November ini.
Ketinggalan tujuh mata kepada pendahulu, Shahril Izzuwan Mohd Noor dari pasukan Petronas Syntium Moto Yamaha AHM, pelumba Motul Yamaha YY Pang Racing itu berharap kea­­daan akan memihak kepadanya selepas menghadapi beberapa masalah teknikal.

“Aksi saya begitu konsisten pada peringkat awal musim dan berjaya mencipta kejayaan secara berterusan di mana menduduki tempat ketiga ketika pusingan pembukaan di Kangar dan meraih kemenangan berturut-turut di Batu Kawan (Pusingan 2) dan Kuala Terengganu (Pusingan 3). Walaubagaimanapun, selepas itu perjalanan saya tidak begitu lancar.

“Berbaki dua pusingan sahaja lagi dengan perlumbaan di litar minggu ini, saya tidak boleh membiarkan gela­-ran terlepas begitu sahaja. Sasaran saya menamatkan perlumbaan di atas podium,” kata pelumba 19 tahun itu.

Mengulas mengenai strategi yang akan digunakan, Zaidy memilih untuk bekerja sebagai sebuah pasukan bersama Mohd Rozaiman Mohd Said, Mohd Adli Salihin, Mohd Azhar Abdul Jalil.

“Pada masa ini, kami masih belum membuat sebarang perancangan kerana ia bergantung kepada kedudukan di petak mula nanti. Bagus sekiranya kami semua dapat bermula di kedudukan yang baik,” katanya yang menjangkakan pertarungan sengit dalam perlumbaan itu nanti.

PUSINGAN 9: LITAR ANTARABANGSA SEPANG (SELATAN)

(12-13 November 2011)


RAMDAN MAHU PERBAIKI KEDUDUKAN DI SEPANG




Mohd Ramdan Mohd Rosli berhasrat untuk memperbaiki kedudukan keseluruhannya pada pusingan kedua terakhir Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS yang akan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (Litar Selatan) pada 12 dan 13 November ini. 

Rentetan nasib malang yang dialami pelumba PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM itu pada musim ini bagaimanapun tidak menghalangnya melonjak ke kedudukan kelima dari tangga ke-13 dengan mengumpul 72 mata pada perlumbaan sebelum ini. Walau bagaimanapun, dia berkongsi kedudukan dengan Mohd Taufiq Roslan (Yamaha Maju Motor Racing) yang turut mengumpul jumlah mata sama.

Mendahului kedudukan keseluruhan ialah Norizman Ismail dari Harian Metro TEQ SCK Honda Racing dengan 102 mata diikuti Hafizh Syahrin Abdullah (PETRONAS Syntium Moto Yamaha Raceline), Ahmad Fazli Sham (Pennzoil Racing) dan rakan sepasukan Norizman, Mohd Affendi Rosli yang terikat di tangga kedua dengan mengumpul 79 mata.

Ramdan yang ketinggalan tujuh mata kepada ketiga-tiga pelumba di tangga kedua itu percaya dia masih mampu untuk merapatkan jurang perbezaan dan seterusnya menduduki tangga ketiga keseluruhan.

"Pada peringkat ini jurang mata di kalangan 10 pelumba teratas begitu rapat dan melihat kepada keadaan semasa, saya masih berpeluang untuk memperbaiki kedudukan," kata pelumba 15 tahun yang memenangi pusingan pembukaan di Kangar dan menduduki tempat kedua di Teluk Intan (Pusingan 5) dan Melaka (Pusingan 8).


"Walaupun ini merupakan musim pertama saya bersaing dengan pelumba-pelumba handalan dan lebih berpengalaman namun saya tetap mahu menamatkan perlumbaan musim ini dengan keputusan yang terbaik. Saya tidak meletakkan harapan terlalu tinggi atau tidak realistik namun sasaran saya adalah untuk berada di tiga kedudukan teratas. Jika bukan kerana nasib malang yang saya lalui sepanjang musim ini, sudah pasti saya berada dalam kedudukan yang lebih baik," tambah Ramdan yang tidak beraksi sebanyak tiga pusingan akibat mengalami kecederaan buku lali sewaktu menjalani latihan motocross.

Selain itu, dia terbabas sewaktu saling bersaing dengan Hafizh di Alor Setar (Pusingan 6) dan mengalami masalah jentera sewaktu di Kluang (Pusingan 7).

Bertanya tentang sasaran pada perlumbaan minggu ini, dia berkata, "Hanya kedudukan podium menjadi sasaran saya kerana hanya itu yang dapat mengukuhkan kedudukan keseluruhan saya. Tahun lepas saya menamatkan perlumbaan di tempat ketiga sewaktu beraksi dalam kategori CP115 dan pada tahun ini saya yakin untuk mencatat keputusan yang lebih baik."

Issued by Global PR Sdn Bhd
Copyright to Safe Aim Mutual Sdn Bhd